Monday, February 1, 2010

Sambutan Maal Hijrah 1431H

Sambutan Maal Hijrah merupakan salah sebuah program yang wajib untuk dilaksanakan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Keningau, Sabah. Bagi memastikan agar program tersebut mampu dilaksanakan dengan lancarnya, satu organisasi AJK Pelaksana telah dibentuk untuk mengendalikan program tersebut. AJK Pelaksana yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Unit Biro Agama dan Kerohanian 2010 serta beberapa kumpulan guru pelatih telah bekerjasama dengan pihak Jabatan Pengajian Islam dan Moral dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar, IPGM Kampus Keningau Sabah untuk membuat semua persiapan dan perancangan bagi pengisian program tersebut.

Tarikh Maal Hijrah jatuh pada 18 Disember 2009 yang lalu dan sambutan di peringkat IPGM Kampus Keningau telah diadakan pada 22 Januari 2010 bersamaan 6 Safar 1431H. Sambutan diadakan di Dewan Besar IPGM Kampus Keningau pada pukul dua petang yang dihadiri oleh semua guru pelatih, para pensyarah, beberapa jemputan luar dan Timbalan Pengarah IPGM Kampus Keningau, Encik Baharom Bin Mohd Noor.

Majlis Sambutan Maal Hijrah 1431H dimulakan dengan bacaan Asmaul-Husna secara beramai-ramai diikuti dengan bacaan doa oleh pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Ambilan Januari 2010. Semua hadirin kemudiannya dipedengarkan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dari Surah At-Taubah ayat 38 hingga ayat 41 oleh Saudara Mukhlis, pelatih KPLI Pendidikan Agama Islam Ambilan Januari 2010. Bacaan ayat tersebut ternyata memberi kesan yang mendalam kepada hadirin untuk terus dihayati dalam kehidupan seharian mereka.

Sambutan Maal Hijrah diteruskan dengan slot forum yang mengangkat tema “Memantapkan Ukhwah, Memperkasakan Ummah”. Forum ini dipengerusikan oleh Ustaz Sobri Bin Othman. Forum ini menampilkan tiga orang panel jemputan iaitu Ustaz Mohd Rosli Bin Ismail selaku panel pertama, Ustaz Zulwaqar Bin Hj. Mumtaz selaku panel yang kedua dan Ustaz Mohd Haziq Bin Abd. Rahman selaku panel yang ketiga. Saudari Norashikin Binti Mohd Johan telah diberi kepercayaan untuk menjadi pengerusi pelajar dalam forum ini. Ternyata kolaborasi ini berjaya mencuri tumpuan para hadirin untuk mengajukan soalan. Terdapat beberapa keraguan telah diutarakan oleh guru-guru pelatih dalam mendapatkan penjelasan terbaik terhadap isu yang diutarakan.

Para panel telah diberi cenderahati sebagai tanda penghargaan dari warga IPGM Kampus Keningau yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Encik Baharom Bin Mohd Noor. Acara kemuncak sambutan Maal Hijrah 1431H adalah penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah kepada guru-guru pelatih yang terpilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Seramai empat orang telah terpilih untuk menerima anugerah tersebut iaitu dua orang lelaki dan dua oran perempuan. Anugerah ini diharap dapat menjadi pendorong kepada mereka untuk terus bekerja keras dalam memartabatkan Islam di IPGM Kampus Keningau ini.

Majlis Sambutan Maal Hijrah kali ini diakhiri dengan jamuan istimewa bubur lambuk yang disediakan oleh guru-guru pelatih IPGM Kampus Keningau di bawah seliaan pensyarah bertugas. Jamuan ini juga turut disertai oleh guru-guru pelatih bukan Islam sebagai salah satu usaha mengeratkan hubungan silaturrahim sesama guru pelatih di IPGM ini. Sambutan yang diterima amat menggalakkan di samping kerja keras yang dilakukan oleh para ahli jawatankuasa pelaksana Sambutan Maal Hijrah kali ini.

Secara keseluruhan, semua program yang dirancang, telah dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut perancangan yang ditetapkan. Tema kali ini ternyata bersesuaian dengan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Hijrah mengajak umat Islam untuk bermuhasabah dan menilai diri, hati dan jiwa serta usaha-usaha untuk memiliki sifat-sifat mahmudah dalam masa yang sama menghindari sifat-sifat mazmumah untuk tidak diamalkan dalam kehidupan. Dalam konteks “memperkasakan ummah gemilang” untuk jangka masa panjang proses pendidikan dan pengilmuan adalah tumpuan paling penting. Ia menghasilkan sumber tenaga yang berkualiti, berdaya saing dan memiliki kreativiti yang tinggi.

Akhir kata, kami mewakili Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah 1431H peringkat IPGM Kampus Keningau merakamkan penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi IP Keningau, JAPIM, JHEP dan semua staf IPGM Kampus Keningau yang telah banyak membantu dan menyokong Jawatankuasa Induk ini dalam setiap program yang dianjurkan. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan tuan-tuan dan tuan-puan, hanya Allah jualah yang dapat membalasnya.

Sekian Terima Kasih,


“BERSATU PERKUKUH INSTITUSI MASJID”

No comments:

Post a Comment