Thursday, October 8, 2009

Keletihan dalam Hidup

Bismillahirrahmanirrahim..

Awal bismillah pembuka bicara,
Ungkapan alhamdulillah diucap indah
Salam dihulur maaf dipinta
Bersama kita eratkan ukhwah



Alhamdulillah, akhirnya diberi kesempatan untuk m'update serba sedikit info dan perkongsian yang pada ana bermanfaat buat semua.InsyaAllah..

Pernahkah sahabat sekalian merasa letih untuk meneruskan hidup? Putus asa dengan semuanya? Kekecewaan yang menggunung hingga merasakan mati lebih baik saat itu?

Pernahkah sahabat sekalian merasa diri anda tidak berguna sedikitpun pada sesiapapun hingga merasa anda bukan siapa-siapa untuk berkata-kata, bukan siapa-siapa untuk terus berdiri di depan dan bukan siapa-siapa untuk memberi?

Pernahkah sahabat sekalian merasa tidak mampu untuk menanggung semuanya lagi? Setiap saat dihimpit dengan ujian, cabaran, dan dugaan yang seakan menjerut leher, membuatkan anda sesak nafas?

Pernah merasa letih untuk memperbaiki diri kerana persekitaran yang terlalu mencengkam?

Seandainya pernah, bersyukurlah kerana sahabat sekalian merasa apa itu kehidupan. Bayangkan hamba yang sentiasa bergelumang dengan keseronokan tanpa mengenal kesusahan dan keperitan, hatinya sebenarnya kosong dalam hakikat kehidupan.

'Hidup hanya sekali, mesti enjoiii' kata seseorang yang lain. Hidup hanya sekali? Mesti enjoy? Andai kata tengah enjoy, nyawa di tarik..apa yang kita ada untuk dibawa menjadi bekal ke alam yang satu lagi? Apa yang kita mampu jawab jika ditanya apa yang kita lakukan dengan kesempatan, dengan peluang yang diberikan selama bernafas di bumiNya?

Hidup ni memang sentiasa dipenuhi keletihan. Persoalannya, kita letih kerana apa? Sebab enjoy? Letih ketawa berdekah-dekah mengata orang?
Letih dalam berfikir dan menyusun terbaik, ayat terindah untuk diucapkan pada si dia, insan pujaan yang sering membuatkan kita lupa pada Sang Kekasih Agung?
Letih dalam memujuk si dia bila merajuk sebab tak dihubungi untuk semalam?
Letih bermain game?
Letih kerana bermain bola?
Letih kerana terlebih tidur?
Atau letih kerana berusaha memberi yang terbaik dalam segala hal agar mendapat yang terbaik dariNya?

Merasa letih,tertekan,sakit hati, kecewa adalah lumrah dalam hidup. Dalam kehidupan ini, suatu kemanisan dan kebaikan tidak akan mampu kita capai dengan mudah melainkan melalui cabaran dan dugaan yang menggunung. Hendak lulus dalam exam pun kena bersengkang mata mengulangkaji pelajaran, demikian juga kanak-kanak yang baru belajar bertatih pun kena jatuh beratus kali sebelum boleh berjalan. Itu resam kehidupan. Itu konsep kehidupan. Bukan mudah untuk terus istiqamah dalam ketaatan, dalam perjuangan memartabatkan Islam dalam diri khususnya dalam masyarakat luar amnya.

Keletihan yang bertujuan ke arahNya itulah yang perlu dikejar. Hayati saja sirah perjuangan Nabi bersama para sahabat dalam menyebarkan seruan tauhid. Perjuangan mereka tidak pernah senang, tidak pernah mudah, malah perlu berkorban darah dan nyawa. Bandingkan dengan kita, hanya berkorban sedikit masa untuk membaca Al-Quran pun tak mampu. Menghadiri tazkirah pun tak mampu. Melangkah ke masjid untuk solat berjemaah pun payah. Tapi kemampuan itu ada bila si sia mengajak keluar berjam-jam lamanya. Menghabiskan masa bermain game berjam-jam tidak mengapa...Fikirkanlah, jika sampai ke tahap itu, di mana kita meletakanNya dalam hati kita?

Itulah manusia, penuh dengan keangkuhan dan kesombongan. Sentiasa kufur dengan nikmat yang dikurniakan. Hakikatnya, bila terasa sedih, kehilangan sesuatu barulah kita akan teringat padaNya. Kerana itulah kita diuji. Untuk mendidik hati dan jiwa yang sentiasa tunduk pada nafsu. Supaya kita sedar akan tujuan kehidupan didunia.

" Eleh..hidup aku.Suka hatilah..Kau nak buat baik, tunjuk alim, kau punya pasal..! Mati pun kubur masing-masing..!!" Pernah seseorang menujukan ayat tersebut buat sahabat sekalian? Agaknya, apa perasaan kita ketika itu? Penat, letih bukan menegur manusia seperti ini? Ya..kubur masing-masing. Tapi, yang memandikan, yang mengkafankan, yang mengusung kekubur dan memasukkan ke dalam liang lahad, siapa? Sendiri juga kah? Orang lain bukan...
Dalam keadaan kaku, kita memandikan, memakai kain kafan dan berjalan sendiri serta masuk sendiri ke dalam lubang kubur kah?

Bila nak pakai tudung? Bila nak solat? Orang lain berlumba-lumba kerah tenaga untuk bantu martabatkan Islam, kita bila lagi?
"Tunggu sampai seru..!" Jawapan yang padat. Bilalah seru tu akan sampai? Kot2 belum sampai seru tu, seruan kubur dah sampai lebih awal. Seruan azan jelas ditelinga pun ada lagi yang bergelak ketawa, dan pura-pura tak dengar. Nak tunggu seru apa sahabatku?

Mungkin kita memandang remeh sesetengah perkara, kerana tidak menyedari betapa besarnya impak perkara tersebut terhadap masa depan di akhirat kelak.
" Tak apalah usrah tu..bukan ada apa juga, balik-balik hal yang sama.Bosan ja.." Pernah terdengar ungkapan seperti ini? Bukan mudah nak mengajak orang. Jangan kata orang lain, diri sendiri pun payah untuk dididik supaya berusaha mentaatiNya, bukan? Kesimpulannya, memang letih..

Justeru itu, jangan jatuh dek keletihan yang menguasai perasaan. Selagi ada kesempatan, berusahalah meletihkan diri untuk sesuatu yang bermanfaat buat diri dan masyarakat. Jangan pernah berhenti hanya kerana ujian yang menimpa bertalu-talu. Perjuangan tidak akan pernah berhenti selagi ada peluang yang diberikanNya. Memetik kata-kata tokoh motivasi terkenal, Dr. Hj Mohd Fadzilah Kamsah, seorang Muslim yang cemerlang ialah Muslim yang berjaya menghadapi setiap tekanan dalam kehidupan. Sejauh mana dia mampu menghadapi tekanan itu, sebanyak itulah ganjaran yang bakal diperolehinya. Semakin besar tekanan yang dihadapi, semakin besar nilai pahala di sisi Allah S.W.T.

Antara pesan seorang hamba Allah ketika suatu ekspidisi ukhwah pada Ramadhan baru-baru ini,
a) Jika tak mampu menjadi serba boleh, jadilah serba tahu
b) Teruskan berlari dan berlari dan berlari tanpa berhenti untuk beramal di jalanNya. Walau hanya dengan amal yang sedikit, berusahalah untuk istiqamah...

Kepada semua sahabat di luar sana, fikir dan renungilah...Letih itu memang sebahagian dari hidup..

2 comments:

  1. hampir semua keletihan itu pernah di rasakan.. terasa ingin mati.. terasa ingin berhenti.. terasa ingin segala-galanya.. tidak mampu berhadapan lagi.. insyaAllah semoga diri ini mampu terus dan terus berlari tanpa berhenti untuk beramal di jalanNya.. ayuh istiqamah..;)

    ReplyDelete
  2. JANJI TUHAN PASTI BERLAKU....xkan ada rasa sedih hati andai kita yakin dengan petunjuk Allah..

    ReplyDelete