Iktibar
Oleh NUR HIDAYAH
KETIKA Rasulullah s.a.w. berkumpul dengan para sahabat, seorang pemuda yang tegap dan gagah melintas di hadapan mereka, salah seorang sahabat berkata, ``Alangkah baiknya kalau pemuda itu menggunakan tenaganya untuk berjihad fi sabilillah, membela agama Allah.''
Rasulullah yang mendengar kata-kata itu bersabda, Kalau dia bekerja mencari nafkah, hidupnya adalah jihad di jalan Allah. Kalau dia bekerja untuk memenuhi keperluan ibu bapanya yang sudah tua, itu juga jihad di jalan Allah. Kalau dia berusaha untuk kepentingan dirinya sendiri, agar kehormatan dirinya terpelihara, adalah jihad di jalan Allah. Tetapi, apabila dia bekerja untuk kemegahan dan riak, maka langkahnya itu adalah menempuh jalan syaitan.
Sabda Rasulullah s.a.w itu menunjukkan kepada kita betapa luasnya erti jihad sebenarnya tetapi malangnya majoriti umat Islam kini hanya menganggap jihad adalah langkah untuk berperang.
Perkataan jihad berasal daripada kata `jahada' (bahasa Arab) yang maknanya secara umum ialah bersungguh-sungguh mencurahkan segenap fikiran, kekuatan dan kemampuan untuk mencapai sesuatu tujuan. Prof Dr. Sheikh Mahmoud Syaltout, bekas rektor Universiti Al Azhar, Mesir, dalam bukunya `Min Taujihatil Islam' menyimpulkan, ``Jihad fi sabilillah adalah satu kalimat yang umum. Di dalamnya terkandung pengertian jihad terhadap diri sendiri dan hawa nafsu, jihad menghancurkan kemaksiatan, jihad membanteras kemiskinan dan kebodohan serta penyakit, sama ada penyakit jasmani atau rohani. Malah usaha untuk membasmi perpecahan dan perselisihan di kalangan umat Islam juga dianggap jihad.
Akibat tafsiran salah mengenai istilah jihad, sejak kebelakangan ini imej umat Islam semakin terjejas dan dikaitkan dengan keganasan. Sebagai umat Islam kita seharusnya tidak menyalahkan pihak yang membuat tuduhan berkenaan, sebaliknya mengkaji kenapakah tuduhan sedemikian dilemparkan kepada kita.
Semua ini terjadi kerana terdapatnya kelompok yang mentafsirkan jihad dalam sudut yang sempit, mereka melilit bom di badan untuk melakukan serangan berani mati kononnya atas nama jihad, mereka memasang bom di tempat awam kononnya atas nama jihad dan mereka juga mengaku berjihad apabila membunuh insan yang tidak berdosa setelah tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Adalah sesuatu yang malang apabila mereka yang melakukan perbuatan kejam ini mengaku diri mereka mewakili Islam, sedangkan agama Islam tidak pernah mengajar umatnya melakukan kekejaman sesama manusia apa tah lagi membunuh mereka yang tidak berdosa.
Allah melarang sama sekali umat Islam membunuh mereka yang tidak berdosa atas apa juga alasan, justeru itu sebagai umat Islam yang taat, sudah pastilah kita merasa kecewa apabila saban hari kita sering mendengar peristiwa bagaimana mereka yang mengaku Islam menyembelih seorang demi seorang tebusan mereka semata-mata kerana tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Kelompok ini tidak berhak mengaku diri mereka pejuang Islam kerana apa yang mereka lakukan bertentangan dengan apa yang diperintah oleh Allah dalam al Quran. Semua ini terjadi kerana mereka sudah taksub kepada pemimpin atau ulama yang berjaya meracuni pemikiran mereka supaya mempercayai kekejaman yang dilakukan walaupun di luar batas kemanusiaan adalah satu jihad.
Mereka yang bersikap seumpama itu sudah pasti akan menerima pembalasan sewajarnya di Akhirat kelak. Masalah jihad turut ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Hajj ayat 39 hingga 40 yang bermaksud; Diizinkan bagi orang-orang yang diperangi (untuk berperang) kerana mereka dianiaya. Dan sesungguhnya Allah Maha Kuasa menolong mereka. Iaitu orang-orang yang diusir dari negeri mereka tanpa (alasan) yang benar, hanya kerana mereka berkata, ``Tuhan kami adalah Allah.''
Dan kalau tidak kerana perlindungan Allah kepada manusia antara sebahagian mereka dengan sebahagian lain, nescaya diruntuhkan biara-biara, gereja-gereja dan masjid-masjid yang banyak disebut nama Allah di dalamnya. Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolongNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat Lagi Maha Perkasa.'' Peringatan ini sudah jelas disebut oleh Allah dalam al-Quran, oleh itu bagi golongan yang kononnya berjuang untuk Islam mereka sudah pasti memahami erti ayat ini.
Kesudahannya tercemarlah imej Islam, agama Islam kini tidaklah lagi dilihat sebagai agama yang cinta kedamaian dan ketenangan serta menggalakkan persaudaraan tetapi lebih dekat dikaitkan dengan keganasan. Mungkin tulisan ini tidak akan dibaca oleh kelompok yang terlibat tetapi sekurang-kurangnya ia memberi peringatan kepada umat Islam di negara ini bahawa fahamilah erti jihad sebenar yang berlandaskan kepada al-Quran dan hadis, bukannya akibat dipengaruhi tafsiran sempit oleh mana-mana pihak.
No comments:
Post a Comment