Friday, November 13, 2009

FOKUS: KEKELIRUAN IDENTITI

Bayangkan anda terserempak dengan seorang gadis cantik di tepi jalan. Rupa ayu, lenggoknya saja mengancam. Niat untuk mendekatinya timbul. Lantas rancangan untuk beramah mesra dengannya disusun rapi. Akan tetapi, sebaik sahaja ditegur, keluar pula suara ‘jantan’! Alahai, lelaki rupanya!

Fenomena kekeliruan identiti ini memang sedia wujud sejak dulu lagi. Ia umpama penyakit barah dalam badan kita. Semakin hari, semakin parah dan kian bernanah. Tambah merisaukan, gejala ini sebenarnya punca kepada timbulnya fenomena yang lebih parah dan teruk lagi dahsyat iaitu gejala kecenderungan kepada kaum sejenis atau lebih sinonim dikenali sebagai ‘gay’. Satu persoalan khas ditujukan buat anda semua. Wujudkah gejala ini di institut kita? Tepuk dada, tanyalah selera. Anda merupakan guru pelatih yang tinggal bersama rakan-rakan guru pelatih yang lain dan pastinya anda memang dekat dengan rakan-rakan serta tahu, sama ada fenomena ini wujud atau tidak.

Bercakap mengenai gejala ini, tidak semua yang kita nampak seperti ‘sotong’ ini menjadi sedemikian atas keinginan atau kehendak mereka sendiri. Ada yang memiliki fizikal seperti itu namun jiwanya seperti lelaki normal yang lain. Namun, fokus kita pada kali adalah tertumpu kepada golongan lelaki lembut yang ‘berlakon’ lembut bukan atas ketidakrelaan dirinya, tetapi atas dorongan nafsu semata-mata.

Jika diteliti, fenomena ini wujud atas beberapa faktor. Antaranya adalah faktor latar belakang keluarga, contohnya anak lelaki bongsu yang dilahirkan dalam adik-beradik yang kesemuanya perempuan. Gejala ‘lembut’ senang untuk terpalit pada diri individu sebegini.

Selain itu, faktor rakan sebaya dan persekitaran juga sangat berpengaruh. Pokoknya, kita mestilah kuat jati diri. Ajaran agama juga haruslah diamalkan supaya diri kita tidak mudah terjebak dalam kancah ini dengan mudahnya. Semua ajaran agama yang ada di dunia ini mengajak kepada kebaikan, dan kita percaya bahawa tidak ada satu agama pun yang mengajar penganutnya supaya mengamalkan budaya ‘pondan’ ini. Kepada yang sudah terjebak, ingatlah dan sedarlah bahawa tidak ada manfaat yang anda peroleh daripada perbuatan tersebut. Bukan sahaja tidak dapat pahala, tapi menambahkan dosa. Jika kita teliti, gejala ini sangat memberikan kesan yang negatif pada diri ‘lelaki lembut’ dan masyarakat sekelilingnya.

Ada yang sanggup menghabiskan duit elaun semata-mata untuk membeli alat solek bagi memastikan diri mereka tampil lebih menarik daripada guru-guru pelatih wanita yang ada di institut ini. Yang membimbangkan, golongan ini juga merupakan bakal pendidik kepada anak-anak kita pada masa akan datang. Apa akan jadi pada generasi kita pada masa akan datang jika dididik dengan ‘acuan’ yang memang telah pun sedia sumbing?

Apa pun, sebagai seorang masyarakat yang prihatin, kita seharusnya berganding bahu untuk sama-sama menangani gejala ini. Teguran berhikmah yang berterusan seharusnya diberikan kepada mereka, bukannya tohmahan dan makian.

No comments:

Post a Comment