"Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka akanku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah"(Imam Hassan Al-Banna)
Moga kita semua sentiasa di dalam redha Allah sepanjang hari ini…Dah baca tajuk di atas? Ini merupakan sebuah seruan kepada diri ini terutamanya dan seterusnya kepada pemuda-pemuda Islam yang sedang membaca blog ini..Kenapa perlu berjemaah kat masjid?
Solat kat rumah sudahlah…solat sorang2 lagi best…aduh, tengah best cerita ni…nantilah..dah tua nanti aku pergi masjid la….penatlah..baru balik kuliah ni!dan pelbagai lagi alasan yang kita letakkan di hati kita untuk tidak pergi berjemaah kat masjid…
Baiklah, menjawab kepada persoalan yang ditanyakan di atas. Kenapa perlu berjemaah kat Masjid bagi orang lelaki Islam terutamanya? Yelah, itukan sunnah baginda, cuba kita kaji sirah Baginda S.A.W… baginda solat fardhu kat mana? Rasa semua tahu jawapannya…
Di sini ada beberapa sabda Nabi berkenaan orang yang solat berjemaah di masjid…moga kita lebih bersemangat untuk selalu berjemaah di masjid selepas ini…. “Sesiapa bersuci di rumahnya, kemudian berjalan menuju ke salah sebuah rumah Allah swt bagi melaksanakan salah satu kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah swt, maka salah satu daripada dua langkahnya akan menggugurkan kesalahan yang dilakukannya dan langkahnya yang satu lagi akan meninggikan darjatnya......“Sesiapa yang selalu ke masjid, Allah akan menyediakan baginya tempat persinggahan baginya di dalam syurga bagi setiap kali dia pergi.
“Orang yang paling besar ganjarannya dalam sembahyang ialah orang yang paling jauh berjalan (untuk ke masjid). Dan orang yang menunggu sesuatu sembahyang lalu dia menunaikannya bersama dengan imam lebih besar ganjarannya daripada seorang yang sembahyang kemudian dia tidur.”...“Setiap orang muslim yang apabila tiba waktu sembahyang fardu lalu dia memperelokkan wuduk, khusyuk dan rukuknya, maka sembahyangnya itu akan menjadi penghapus dosa yang dilakukan sebelum daripada itu selagimana dia tidak melakukan dosa-dosa besar. Keadaan ini berlaku sepanjang masa.”
Apa lagi mari sama-sama tekadkan di hati sanubari ini untuk mengimarahkan rumah Allah swt… Jom Solat Jemaah kat Masjid IPG.
Suatu ketika beliau sedang sibuk dengan satu pekerjaan yang penting. Pada ketika itu, datang seorang membawa pengaduan mengenai suatu hal kecil agar beliau dapat menyelesaikannya. Umar r.a lalu memukul bahu pemuda itu sambil berkata:
“Apabila aku duduk untuk menerima perkara tersebut, kamu tidak datang menemuiku tetapi apabila aku sibuk dengan lain-lain perkara yang penting kamu mencelahiku dengan perkara remeh temeh”.
Pemuda itu pun pergi dari situ. Tetapi Umar r.a memanggilnya kembali dan memberinya cemeti lalu berkata:
“Pukullah aku dengan cemeti ini supaya kesalahanku terbalas”.
Pemuda itu berkata;
“Aku maafkan kamu kerana Allah”.
Umar r.a pulang ke rumahnya lalu bersolat taubat dua rakaat serta mencela dirinya sendiri:
“Wahai Umar! Kamu dahulukan hina maka Allah mengangkat darjatmu, kamu sesat tetapi Allah telah memberikan kamu hidayah kepadamu, kamu dulu sangat mengaibkan tetapi Allah memuliakan kamu serta mengurniakan kamu kekuasaan terhadap orang lain. Sekarang apabila salah seorang datang kepadamu mengadu mengenai sesuatu kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya untuk diselesaikan, kamu memukulnya? Apakah jawapan yang akan kamu berikan di hadapan Allah kelak?”.
Beliau menangis begitu lama seperti tangisan kanak-kanak kecil.
Suatu hari Umar membuat rondaan biasanya ke Harrah bersama hambanya Aslam. Nun jauh di sana kelihatan suatu cahaya api. Beliau berkata:
“Mungkin di sana ada sebuah khemah. Mungkinkah suatu khalifah yang tidak dapat memasuki Bandar kerana waktu telah gelap. Marilah kita melihat hal mereka dan menguruskan keselamatan yang perlu untuk mereka”.
Apabila tiba di sana didapati seorang wanita dan beberapa orang kanak-kanak sedang menangis. Sebuah periuk berisi air sedang terjerang. Umar menyapanya dengan salam dan dengan keizinan daripada wanita itu beliau datang menghampirinya. Lalu Umar bertanya:
“Mengapa kanak-kanak itu menangis?”.
Wanita itu tidak mengenali Umar dan dia menjawab pertanyaan Umar dengan sedih:
“Mereka lapar”.
“Apakah yang ada dalam periuk?”. Umar bertanya.
“Hanyalah air dijerang bagi mendiamkan kanak-kanak itu agar mereka pergi tidur dengan harapan makanan sedang disiapkan untuk mereka apabila meraka bangun nanti. Ah! Allah akan mengadili Umar pada hari kiamat kelak kerana membiarkan aku dalam kesusahan”, kata wanita itu.
Umar menangis apabila mendengar kata-kata wanita itu.
“Semoga Allah merahmatimu. Bagaimanakah Umar dapat mengetahui kesusahanmu ini?’.
Wanita itu menjawab:
“Apabila dia menjadi amir kami, dia perlulah tahu mengenai kami”.
Umar pun kembali ke Bandar dan terus ke Baitul Mal. Beliau mengisi tepung, kurma, lemak dan pakaian serta wang dinar ke dalam karung. Apabila telah siap diisi beliau berkata kepada Aslam:
“Sekarang letakkanlah karung ini di belakangku wahai Aslam”.
Aslam enggan lalu menjawab:
“Wahai Amirul Mukminin, biarlah aku sahaja yang memikulnya”.
Umar enggan mendengar kata-kata Aslam malah beliau mendesaknya agar membenarkannya memikul barang itu di atas pundaknya sambil berkata:
“Apa! Mahukah kamu memikul beban dosaku pada hari akhirat? Aku mesti membawa karung ini kerana aku akan disoal mengenai wanita ini pada hari akhirat kelak”.
Dengan perasaan yang berat Aslam meletakkan barang tersebut di atas belakang Umar lalu bergerak pantas ke khemah wanita tadi. Aslam mengikut beliau dari belakang. Beliau memasukkan sedikit tepung, kurma dan lemak ke dalam periuk dan mengacaunya. Beliau menghidupkan api untuk memasaknya.
Aslam berkata;
“Aku lihat asap melalui celah-celah janggut Umar yang tebal”.
Seketika kemudian masakan tersebut siap. Beliau sendiri yang melayani keluarga itu. Setelah kenyang beliau menyimpan bakinya untuk kegunaan mereka di kemudian hari. Kanak-kanak tersebut sangat gembira setelah memperolehi makanan dan mereka bermain dengan riangnya selepas itu. Wanita itu sangat gembira dan berkata:
“Semoga Allah memberi ganjaran kepadamu kerana kebaikanmu. Selayaknya kamulah yang mengambil tempat Umar sebagai khalifah”.
Beliau duduk seketika di suatu penjuru yang berdekatan sambil memerhatikan kanak-kanak tersebut. Kemudian kembali ke Madinah. Dalam perjalanan pulang beliau berkata kepada Aslam:
“Tahukah kamu Aslam, mengapa aku duduk di situ? Aku telah melihat kesusahan mereka, maka begitulah juga aku mahu melihat mereka riang dan ketawa untuk seketika”.
Dikatakan bahawa tatkala Umar mengimami solat Fajar, beliau selalu membaca Surah Kahf, Thaha dan lain-lain surah sambil menangis begitu kuat sehingga kedengaran tangisannya sehingga ke beberapa saf di belakangnya. Suatu ketika beliau membaca Surah Yusuf dalam solat Fajar sampailah beliau ayat 86 yang bermaksud:
“Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui”.
Lantas beliau menangis bersungguh-sungguh sehingga tidak boleh meneruskannya lagi. Dalam solat Tahajjudnya kadang kala beliau akan jatuh dan mendatangkan keuzuran disebabkan terlampau banyak menangis.
Imam Abdullah bin Al Mubarak lah.a telah meriwayatkan di dalam kitab Al Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang lelaki (iaitu Khalid bin Maadan) yang pernah berkata kepada Muaz bin Jabal: "Wahai Muaz! Ceritakanlah kepadaku sebuah hadis yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah s.a.w."
Berkata Rawi hadis tersebut (Khalid bin Maadan) lalu Muaz menangis sehingga aku sangka ia tidak dapat berhenti tetapi akhirnya Muaz berhenti daripada tangisannya kemudian lalu Muaz berkata. Aku mendengar Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepadaku: Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu menceritakan kepada kamu sebuah hadis jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manfaat akan dikau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujjahmu di hadapan Tuhan pada hari kiamat nanti.
Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah s.w.t telah menjadikan 7 orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi kemudian lalu ditentukannya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu langit tersebut. Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan tersebut mempunyai nur bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila malaikat Hafazhah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit yang pertama.
Mereka menganggap bahawa amalan itu baik dan sangat banyak lalu bekata malaikat penjaga langit pertama itu bagi malaikat Hafazhah: "Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui aku untuk terus naik ke atas."
Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak (Malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama) sehingga mereka sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit yang kedua itu:"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia menghendaki dengan amalannya akan mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas. Selain daripada itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran."
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, solat, puasa. Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu (melintasi langit pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yang ketiga maka berkata malaikat penjaga langit ketiga itu:"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takkabur. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takkabur dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai."
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip. Baginya suara tasbih, solat, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke langit pintu yang keempat maka berkata malaikat penjaga langit keempat itu: "Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ujub (bangga dengan diri sendiri). Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan ujub terhadap dirinya."
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah amalan itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah suaminya (maksudnya amalannya itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga langit yang kelima: "Berhenti kamu dan pukulkan dengan amal ini akan muka orang yang mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkoknya. Akulah malaikat hasad ia sangat hasud kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya. Ia hasut akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadat, ia juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasud ini melintasi aku."
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada solat, zakat, umrah, jihad dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut: "Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia tidak belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan demikian. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang seperti ini dapat melintasi aku."
Kemudian naiklah pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Amalan itu ialah solat, puasa, nafkhah, jihad dan warak. Baginya bunyi (maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu 3000 orang malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit yang ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintu langit tersebut: "Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat sum’ah (ingin masyhur). aku akan menghalang amalan orang yang riak dari sampai kepada Tuhanku. Ia beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan supaya masyhur namaya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riak."
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seseorang hamba. Amalan itu berupa solat, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam (daripada yang tidak berguna) dan banyak berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah berfirman kepada para malaikatnya: "Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya dan aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hambaKu ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas kepadaKu dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu aku. Aku adalah Maha Mengetahui”.
“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagiKu apa sahaja yang terlindung. PengetahuanKu atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuanKu atas apa yang bakal terjadi".
“PengetahuanKu atas orang yang terdahulu adalah sama dengan pengetahuanKu atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hambaKu ini menipu aku dengan amalnya ini?” "Ia sebenarnya tidak menghendaki akan aku dengan amalan tersebut. Ia hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKu. Oleh kerana itu maka aku turunkan ke atasnya akan laknatKu." Dan ketujuh-tujuh malaikat berserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata, “Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknatMu dan laknat kami sekelian bagi mereka." Dan semua yang di langit turut berkata, “Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat”.
Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis teresak-esak dan berkata, “Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat dan apa yang diceritakan ini?”
Sabda Rasulullah saw., "Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan”.
Muaz bertanya kembali, “Ya, tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanya si Muaz bin Jabal (hamba Allah bukan Rasul), bagaimana saya boleh selamat dan boleh lepas dan bahaya tersebut?”
Bersabda Rasullullah, “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain”. “Jangan riak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabbur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut kepadamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan, jangan merobekkan (pecah belah) peribadi orang lain dengan mulutmu kelak engkau akan dirobek-robek oleh anjing-anjing api neraka jahanam”.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Di neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia”.
Jawab Rasulullah SAW., “Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar”.
Wallahu'alam....
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat Muslim)
Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Az-Zumar: 53)
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin (hati) yang ada dalam dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman.” (Surah Yunus: ayat 57).
Sambutan Maal Hijrah merupakan salah sebuah program yang wajib untuk dilaksanakan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Keningau, Sabah. Bagi memastikan agar program tersebut mampu dilaksanakan dengan lancarnya, satu organisasi AJK Pelaksana telah dibentuk untuk mengendalikan program tersebut. AJK Pelaksana yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Unit Biro Agama dan Kerohanian 2010 serta beberapa kumpulanguru pelatih telah bekerjasama dengan pihak Jabatan Pengajian Islam dan Moral dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar, IPGM Kampus Keningau Sabah untuk membuat semua persiapan dan perancangan bagi pengisian program tersebut.
Tarikh Maal Hijrah jatuh pada 18 Disember 2009 yang lalu dan sambutan di peringkat IPGM Kampus Keningau telah diadakan pada 22 Januari 2010 bersamaan 6 Safar 1431H. Sambutan diadakan di Dewan Besar IPGM Kampus Keningau pada pukul dua petang yang dihadiri oleh semua guru pelatih, para pensyarah, beberapa jemputan luar dan Timbalan Pengarah IPGM Kampus Keningau, Encik Baharom Bin Mohd Noor.
Majlis Sambutan Maal Hijrah 1431H dimulakan dengan bacaan Asmaul-Husna secara beramai-ramai diikuti dengan bacaan doa oleh pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Ambilan Januari 2010. Semua hadirin kemudiannya dipedengarkan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dari Surah At-Taubah ayat 38 hingga ayat 41 oleh Saudara Mukhlis, pelatih KPLI Pendidikan Agama Islam Ambilan Januari 2010. Bacaan ayat tersebut ternyata memberi kesan yang mendalam kepada hadirin untuk terus dihayati dalam kehidupan seharian mereka.
Sambutan Maal Hijrah diteruskan dengan slot forum yang mengangkat tema “Memantapkan Ukhwah, Memperkasakan Ummah”. Forum ini dipengerusikan oleh Ustaz Sobri Bin Othman. Forum ini menampilkan tiga orang panel jemputan iaitu Ustaz Mohd Rosli Bin Ismail selaku panel pertama, Ustaz Zulwaqar Bin Hj. Mumtaz selaku panel yang kedua dan Ustaz Mohd Haziq Bin Abd. Rahman selaku panel yang ketiga. Saudari Norashikin Binti Mohd Johan telah diberi kepercayaan untuk menjadi pengerusi pelajar dalam forum ini. Ternyata kolaborasi ini berjaya mencuri tumpuan para hadirin untuk mengajukan soalan. Terdapat beberapa keraguan telah diutarakan oleh guru-guru pelatih dalam mendapatkan penjelasan terbaik terhadap isu yang diutarakan.
Para panel telah diberi cenderahati sebagai tanda penghargaan dari warga IPGM Kampus Keningau yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Encik Baharom Bin Mohd Noor. Acara kemuncak sambutan Maal Hijrah 1431H adalah penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah kepada guru-guru pelatih yang terpilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Seramai empat orang telah terpilih untuk menerima anugerah tersebut iaitu dua orang lelaki dan dua oran perempuan. Anugerah ini diharap dapat menjadi pendorong kepada mereka untuk terus bekerja keras dalam memartabatkan Islam di IPGM Kampus Keningau ini.
Majlis Sambutan Maal Hijrah kali ini diakhiri dengan jamuan istimewa bubur lambuk yang disediakan oleh guru-guru pelatih IPGM Kampus Keningau di bawah seliaan pensyarah bertugas. Jamuan ini juga turut disertai oleh guru-guru pelatih bukan Islam sebagai salah satu usaha mengeratkan hubungan silaturrahim sesama guru pelatih di IPGM ini. Sambutan yang diterima amat menggalakkan di samping kerja keras yang dilakukan oleh para ahli jawatankuasa pelaksana Sambutan Maal Hijrah kali ini.
Secara keseluruhan, semua program yang dirancang, telah dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut perancangan yang ditetapkan. Tema kali ini ternyata bersesuaian dengan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Hijrah mengajak umat Islam untuk bermuhasabah dan menilai diri, hati dan jiwa serta usaha-usaha untuk memiliki sifat-sifat mahmudah dalam masa yang sama menghindari sifat-sifat mazmumah untuk tidak diamalkan dalam kehidupan. Dalam konteks “memperkasakan ummah gemilang”untuk jangka masa panjang proses pendidikan dan pengilmuan adalah tumpuan paling penting. Ia menghasilkan sumber tenaga yang berkualiti, berdaya saing dan memiliki kreativiti yang tinggi.
Akhir kata, kami mewakili Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah 1431H peringkat IPGM Kampus Keningau merakamkan penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi IP Keningau, JAPIM, JHEP dan semua staf IPGM Kampus Keningau yang telah banyak membantu dan menyokong Jawatankuasa Induk ini dalam setiap program yang dianjurkan. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan tuan-tuan dan tuan-puan, hanya Allah jualah yang dapat membalasnya.
Alhamdulillah, satu mesyuarat Biro Agama IPGM Kampus Keningau telah diadakan. Mesyuarat ini adalah bagi membincangkan beberapa agenda penting. Antara agenda utama mesyuarat pada kali ini ialah rombakan ahli jawatankuasa biro Agama Kerohanian sesi 2009.
AJK Tertinggi bagi tahun ini masih dikekalkan seperti tahun lepas, cuma terdapat perubahan pada ketua dan ajk bagi setiap lujnah. Berikut merupakan organisasi baru Biro Agama Kerohanian sesi 2010.
Pengerusi : Harsidi bin Junick Timbalan Pengerusi : Asdar bin Siri Setiausaha : Norhayati Othman Lujnah Dakwah dan Tarbiyyah : Amir Hazwan bin Mamoo Lujnah Ekonomi : Mohamad Aliff Safran bin Ramli Lujnah Perhubungan : Mohammad Noorsharizam Abidin Lujnah Penerbitan : Siti Aishah binti Reni Lujnah Kebajikan : Muhamad Amirudin bin Abu Lujnah Kesenian,Kebudayaan&Rekreasi : Nor Afiqah Gahamat Lujnah Hal Ehwal Wanita : Suziani Sapin
* Semoga semua AJK dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik. InsyaAllah.
Sebagai penutup, mari kita renungkan firman Allah :
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” Surah As-Saff ayat 10-13.
Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam
- hadis riwayat Bukhari dan Muslim-
MERANCANG PERUBAHAN By: Ir Ahmad Jais Alias
1. ANALISA JURANG
-bandingan sekarang dengan perubahan yang dihajatkan
-bagaimana jurang ini perlu diatasi
-apa halangan2 yang menanti dihadapan
2. PENENTUAN MATLAMAT
-beberap matlamat ditetapkan bagi menjayakan perubahan
-matlamat perubahan perlu digariskan dengan betul
-apakah bayangan2 usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat
3. PENETAPAN LALUAN & MARHALAH
-perangkaan kearah matlamat
-kenalpasti bentuk laluan samada susah atau senang
-perjuangan & usaha diperlukan untuk mencapainya
-susun mengikut peringkat2nya
4. PERANCANGAN STRATEGI
-perancangan mestilah bijak dan mampu membuahkan hasil
-strategi mestilah mampu dibuat dan realistic
-Perlu kepada kaedah yang pelbagai agar matlamat tercapai
5. PENILAIAN (MUHASABAH) & PENAMBAHBAIKAN
-penilaian perlu dibuat dari semasa ke semasa
-penilaian di setiap peringkat perlu dibuat
-buat postmortem dan dapatkan pelan tindakan