Sunday, February 13, 2011

Semuanya untukMu..

Bagaimana kiranya...?

Situasi 1.

Seseorang pernah bertanya kepada salah seorang sahabatku; apakah ciri-ciri lelaki idamannya. Bagaimanakah ciri-ciri pria yang dia mahukan. Dia benar2 ingin tahu sebab musabab sahabatku itu tidak mahu berpacaran. Almaklumlah, umur pun sudah meningkat. Kalau tidak bercinta pun, sekurang-kurangnya sudah patut ada calon kata mereka.

“Apa yang kau cari? Nak yang beserban ka? 24 ke masjid? Alim waro’ macam pak imam?” nada perli di situ.

“Kau tak menyesal, tak rasa rugi ka andaikata suatu masanya nanti, kau begini sabar menahan diri, jaga itu, jaga ini. Tapi akhirnya kelak kau dapat jodoh yang biasa-biasa saja. Buaya darat. Bekas banyak perempuan. Solat pun tak sempurna. Agak-agaknya macam mana tu?”

“...... yala. Kau kata kapel pon kau tak pernah. Tapi entah-entah esok lusa suami kau tu pernah ber-kapel punyala banyak kali. Kau yang kononnya suci ni dapat bekas-bekas orang lain ja macam tu. Ha.. apa nak kata? ”

Situasi 2.

“Rajinnya belajar, tak lokek ilmu pula tu.. baik akhlak, kuat ibadah. Tak pernah sakitkan hati orang.. macam mana ea, kalaulah bila result keluar nanti, kamu tak dapat DL? Atau result kita yang jahat2 ni lagi tinggi dari kamu yang beria dok ajar kami ni. Kamu mesti sakit hati kan? Yela... macam tak adil.” Kata dia pula kepada sahabat yang ketika itu duduk di sebelahku.

Aku lihat wajah sahabatku itu. Dia memang solehah. Baik, sopan, rajin belajar & jarang menyakiti hati manusia yang berada di sisinya.

Dalam kedua-dua situasi ini, aku pasti, ada juga di antara kita semua yang pernah mengalami perkara yang sama seperti yang dialami oleh sahabatku itu.

Waktu itu, kami hanya tinggal berdua. Aku pandang wajahnya. Dia juga pandang aku. Lalu, dia senyum.

“Jangan buruk sangkalah... mereka tak tahu tu. Setiap apa yang ada di dalam hati kita, apa yang kita fikir, tidaklah sama antara satu sama lain.” Katanya lembut.

Aku senyum. Senang dengan kata-katanya. Jelas kejernihan hatinya yang tergambar melalui bicara katanya yang baik itu.

Betul. Jangan berburuk sangka tidak tentu hala. Jangan fikir apa yang kita fikir, sama dengan cara orang lain berfikir atau apa yang orang lain fikir.

Ada manusia, jadi soleh, jadi solehah, dengan niat untuk mendapatkan bakal zauj atau bakal zaujah yang soleh & solehah juga.

Ada manusia, jadi soleh, solehah, beramal banyak, berakhlak baik, berulang alik ke masjid semata-mata kerana mahu mendengar pujian daripada manusia lain di sekelilingnya. Dia mahu orang puji dia baik & sebagainya.

Ada yang kuat belajar kerana nak dapat kerja bagus. Nak capai cita-cita. Nak banggakan mak ayah, adik, family. Ataupun kerana dicabar oleh orang lain.

Ada yang buat kerana itu. Ataupun kerana ini. Ya. Mana kita tahu apa yang tersirat di hati orang lain. Jadi seboleh-bolehnya perlu letak sangka yang baik pada toplist kita. Sebab kadangkala, hati sendiri pun kita tak dapat nak tafsirkan & faham hakikatnya.

Manusia ini sifatnya suka berubah & memang sangat senang berubah. Ibarat pantai yang dihambat oleh ombak.

Mungkin saja, kita ini yang kononnya kita sangkakan benar sudah baik rupanya lebih hina dari orang yang kita buruk sangkakan itu. Nauzubillah.

Setiap apa yang kita lakukan adalah berbalik semula kepada niat kita. InsyaAllah, kalau betul kita kenal Allah, insyaAllah kita kenal diri kita. Bila kita kenal diri kita, kita akan tahu, kita akan rasa samada dalam hati kita itu hitam kah, putihkah, kuningkah atau ungukah dia.. :D

Mudah-mudahan, hati kita & niat kita adalah jernih & lillahi taala semata-mata.

Bila Badai Melanda. Allah Mahu Menguji.

Bila mana kita lakukan sesuatu itu beralasan, yakni bukan kerana Allah. Nescaya bila kita tidak dapat apa yang kita hendak itu, kita akan kecewa. Kita akan putus asa.

“Penat aku jadi baik. Penat dah aku tahan semua keinginan aku. Mana pernah aku kapel. Mana pernah aku pegang tangan gf macam orang lain. Mana aku pernah dating, buat maksiat semua tu! Tapi kenapa last-last aku dapat kau? Aku dapat perempuan yang dah tak suci macam kau ni sebagai isteri...?” [dialog drama. Skrip semata2. :D]

Hancur berkecai sudah hati kita.

“Punyalah penat aku stay up, study 24 jam. Solat tak tinggal. Nak jawab xm pun baca doa. Solat hajat tak lupa. Yasin setiap minggu aku join kat masjid. Tapi kenapa at last aku tak dapat capai target aku...? unfair!” [sekali lagi skrip drama semata2. :D]

Bersepai sudah harapan kita.

Kesimpulan

Mari kita duduk sejenak. Renungkan sebentar hadis Rasulullah saw ini; yang bermaksud:

"Tidak (diterima) amal-amal itu, melainkan menurut niat. Seseorang tidak akan dapat, melainkan apa yang ia niatkan. Lantaran itu barang siapa berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka pahalanya itu ialah (pahala amalan) kerana Allah dan RasulNya dan barang siapa berhijrah kerana dunia, nanti ia dapat dunia itu, atau kerana perempuan nanti ia kahwin dengan perempuan itu, (singkatnya) ganjaran hijrah itu menurut niat ia berhijrah". (HR Bukhari)

Lalu, kita cuba fahami pula kata2 as-syahid imam Hassan al-Banna ini;

"Niat yang ikhlas adalah seluruh ucapan, perbuatan, ibadah, dakwah dan jihadnya semata-mata demi Allah & mengharap keredhaanNya serta ganjaran baik, tanpa memandang keuntungan, kemasyhuran, kedudukan (kemuliaan), gelaran, kemajuan ataupun kemunduran. Dengan demikian, ia menjadi "pejuang fikrah dan aqidah", bukan "pejuang kepentingan dan cita-cita peribadi".

Anda perasan tak, kita perasan tak..? Dalam apa jua permasalahan yang kita hadapi di dunia ini, kesudahannya tetap akan kembali kepada Allah swt.

Kembalilah pada Allah, insyaAllah, kita tidak akan kecewa.

Niatkan kerana Allah dalam setiap apa yang kita lakukan. Jadi baik, belajar, tidur, minum, mandi, solat, pergi ceramah, pergi masjid, buat kerja persatuan.. semua-semua pun, niatkanlah kerana Allah.

Ingat semula janji kita dalam doa iftitah yang kita lafazkan di dalam solat kita saban waktu. Juga telah Allah peringatkan janji itu dalam firmanNya;

Katakanlah: "Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan Dengan Yang demikian sahaja Aku diperintahkan, dan Aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam Yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)." [Al An'aam : 162-163]

Perbetulkan niat kita.

Kenapa kita sanggup lakukan apa saja demi kekasih gelap kita, sanggup bazir duit, sanggup gadai itu, gadai ini.. kita berkorban tanpa merungut & mengharapkan apa-apa balasan pun. Semuanya demi cinta itu.

Persoalannya, kenapa dengan Allah kita mahu berkira? Kenapa kita banyak merungut dan meminta balasan itu & ini daripada Allah? Sedangkan memang itu sudah tanggungjawab kita ini sebagai hambaNya. Astaghfirullah hal adzhim.. biadapnya kita...

Kalaulah kita sedar kita ini hanya hamba, tentu kita malu untuk meminta apa-apa pun daripada Allah.

Akhir kalam, kembalilah semula ke posisi kita sebagai hamba. Lakukanlah apa yang Allah suruh & jauhkan apa yang Allah larang. Selebihnya, jika Allah mahu memberi kita ganjaran, itu terpulanglah kepada Dia.

Ayuh semua. Berhentilah merungut, berhenti bersikap ‘demand’. Kita langsung tak layak untuk itu. Ingatlah, dunia ini hanyalah sementara. Hakikatnya, akhirat itu jualah yang kekal abadi.

Mudah2an hingga ke saat ini, Allah masih redha dengan setiap nikmat yang diberikanNya kepada kita... 

ya Allah, semua ini untukMu. semuanya untukMu kerana segala-galanya adalah milikMu..

Wallahu ‘alam.

No comments:

Post a Comment