Sunday, February 27, 2011

Hati yang paling indah

CINTA 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk ayah ibumu?Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu pada suamimu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk anak-anakmu?
Pasti jawapanku 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu untuk saudara seakidahmu?
Pasti jawapanku, 100%.

Andai mereka bertanya, lalu berapa pula peratus cintamu untuk dirimu sendiri?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai mereka keliru lantas tertanya-tanya, masakan begitu?
Bukankah setelah dibahagi, cinta itu pasti berkurang peratusannya?
Pasti jawapanku, beserta senyum malu-malu,
Ada satu di dunia ini, walau dibahagi seberapa banyakpun, ia tetapkan sama..
Tidak berkurang walau sedikitpun,
Itulah CINTA…

Anugerah paling berharga dari Yang Maha Esa.

KETIDAKADILAN
Saya akui, dalam melewati pertengahan usia tiga puluhan ini, dari sehari ke sehari kian kerap saya mengimbas pengalaman masa lalu, mengutip pengajaran dari kehidupan, terutama kenangan-kenangan yang pahit dan mencabar. Yang banyak merobek hati dan menitiskan airmata kepedihan.

Walau siapa pun saya, saya tetap seorang manusia biasa yang adakalanya tewas dengan emosi sendiri. Dan saya yakin, tiada seorang pun yang terkecuali dari mengalami situasi ini.

Telah banyak kita membaca, mendengar dan menyaksikan, bagaimana sebahagian orang mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada anak-anak; makan minumnya dijaga rapi, pakaian, permainan, hiburan dan segala yang diinginkan oleh si anak dari kecil hingga menginjak dewasa diberi tanpa banyak soal.

Namun, bila melihat sikap si anak yang bagai melupakan budi orang tua, mereka kecewa. Limpahan kasih mereka kepada si anak dibalas dengan curahan kata-katanya yang menyakitkan, memberontak, tidak mendengar nasihat dan seumpamanya.

Berapa ramai pula para isteri yang meluah masalah, telah melakukan yang terbaik untuk suami tercinta. Memasak makanan kesukaannya, menatahias kediaman mereka agar bersih dan selesa, membasuh dan menyediakan pakaiannya, mengasuh dan mendidik anak-anak sewaktu ketiadaan suami di rumah, berusaha menenangkannya saat suami berhadapan masalah, merawat kesakitannya dan lain-lain khidmat bakti seorang isteri buat suami yang dikasihi.

Namun, bila satu-satu ketika, isteri juga memerlukan perhatian serupa, suami bagaikan tidak perasan, lebih bersikap acuh tak acuh dalam mempamerkan penghargaan. Lalu, isteri makan hati dan merajuk kerana merasa dirinya tidak dihargai dan disayangi.

Demikian seterusnya, suami menjeruk rasa terhadap isteri, rakan sesama rakan, jiran antara jiran, pendakwah terhadap mad’unya, kakitangan bawahan terhadap majikan/pihak atasan mereka dan lain-lain lagi.

Di satu pihak mereka merasa hanya banyak memberi, tetapi tidak terlalu kerap menerima.

Terbit justifikasi, adilkah keadaan sebegini?

KISAH SEKEPING HATI

Suatu ketika, seorang pemuda yang tampan berdiri di tengah-tengah kota dan mendakwa bahawa dia memiliki sekeping hati yang paling cantik. Lalu diangkat hatinya setinggi yang boleh agar kilauan dari hati yang indah itu dapat dilihat oleh orang lain di sekitarnya.

Tersebar bicara kekaguman orang ramai. Sememangnya hati pemuda itu, tiada cacat celanya. Tidak carik walau sedikitpun. Permukaannya licin sempurna. Warnanya juga segar dan menyerlah pesona seorang anak muda.

Pemuda tampan itu mulai merasa bangga dengan pujian yang diterima. Sorakannya semakin kuat mewar-warkan betapa indah sekeping hati yang dimilikinya.

Tiba-tiba, di tengah-tengah keriuhan itu, muncul seorang tua. Langkahnya perlahan menuju ke arah pemuda tampan. Lagaknya, seolah dia mahu membicarakan sesuatu.

“Wahai anak muda, mengapa kulihat hatimu hampir tidak seindah hatiku?” Orang tua tersebut bertanya dalam nada suara yang agak lemah tetapi penuh keyakinan. Orang ramai dan si pemuda mulai berkeliling mengerumuni orang tua.

Mereka mendengar degup yang kuat tercetus dari hatinya, tetapi hati itu dipenuhi luka. Di satu sisi, kelihatan permukaannya bertampal-tampal. Ada potongan hati yang diambil dan potongan yang lain dimasukkan ke dalamnya, tetapi ia kelihatan tidak berpadanan. Pada satu sudut yang lain, terdapat pula beberapa tanda patah. Bahkan, di beberapa tempat, terdapat lubang yang dalam, di mana seluruh bahagian permukaannya telah hilang.

Melihat itu, orang ramai saling berpandangan.

TERTANYA-TANYA
"Bagaimana orang tua ini boleh mengatakan bahawa hatinya lebih indah?" fikir mereka.
Sementara itu, pemuda tampan tertawa.

"Tentu engkau bergurau, wahai orang tua," katanya.

"Kalau dibandingkan hatimu dengan hatiku, apa yang aku ada ini adalah sangat sempurna, sedangkan kepunyaanmu begitu berantakan dengan bekas-bekas luka dan air mata," lanjutnya lagi.

"Ya, memang benar" tukas si tua penuh kesabaran.

"Kepunyaanmu adalah sempurna, namun aku tidak sesekali akan menukarnya dengan hatimu. Andai saja kau lihat wahai anak muda, setiap bekas luka di hatiku ini mewakili setiap seorang yang telah aku berikan cintaku buat mereka. Aku merobek sepotong hatiku dan memberikannya kepada mereka, dan setiap kali itu juga mereka memberiku sepotong dari hati mereka untuk mengisi tempat kosong di hatiku ini, tetapi kerana potongan-potongan itu tidak tepat, lalu menyebabkan ketidaksempurnaannya, bahkan ia kelihatan kasar dan tidak rata.

Namun, aku tetap menghargainya, kerana pemberian mereka mengingatkanku pada cinta yang terbina bersama antara kami. " Panjang lebar bicara orang tua. Si pemuda tampan terpaku mendengar patah katanya.

"Kadang-kadang aku telah memberikan potongan hatiku, tetapi orang yang kuberikan potongan hatiku itu, tidak memberikan kembali sepotong hatinya kepadaku. Inilah yang mengakibatkan wujudnya lubang-lubang ini. Kau tahu wahai anak muda, sesungguhnya memberikan cinta adalah bermakna memberikan peluang dan kesempatan. Walaupun bekas robekan itu menyakitkan, ia akan tetap terbuka lantas mengingatkanku tentang cinta yang masih aku miliki untuk mereka. Dan aku berharap suatu ketika nanti mereka akan kembali dan mengisi lompong-lompong kosong yang sekian lama kutunggu-tunggu agar ia diisi.

Nah, sekarang fahamkah engkau tentang kecantikan sejati? " Si tua mengakhiri kata-katanya.

Pemuda tampan itu terus terdiam. Dia menundukkan kepala dengan air mata mengalir di pipinya. Dia menghampiri orang tua, mengambil hatinya yang sempurna, muda dan cantik itu dan merobek keluar satu potongan darinya. Dia menawarkan potongan tersebut kepada orang tua dengan tangan gementar.

Si tua itu menerima pemberian tersebut lalu meletakkannya pada hatinya dan kemudian mengambil pula sepotong dari bekas luka lama di hatinya dan menempatkannya untuk menutup luka di hati pemuda itu.

Sungguhpun ia sesuai, tetapi ia tidak sempurna, kerana ada beberapa tanda patahan.
Orang muda itu menatap hatinya yang tidak lagi sempurna tetapi kini lebih indah dari sebelumnya, lantaran cinta dari hati orang tua itu kini mengalir kepada hatinya. Mereka bergandingan dan berjalan bersama meninggalkan orang ramai terus terpaku dengan peristiwa menginsafkan itu.

HATI YANG PALING INDAH
Saya menangis. Seakan terpancar kefahaman di dalam diri ini bagaimana anjuran ‘mencintai’ yang dimaksudkan oleh junjungan mulia, Muhammad SAW menerusi sabdanya yang bermaksud :

“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ia bermaksud, memberi sepenuh hati. 100%. Yang terbaik!

Sebagaimana kita menginginkan yang terbaik buat diri sendiri, begitulah juga sewajarnya yang kita lakukan/berikan kepada orang di sekitar.

Tetapi, dengan satu ingatan. Jangan pula mengharap balasan yang sama, 100% , terhadap apa yang telah diberikan itu, kerana bila pemberian mengharap balasan, maka dibimbangi tiada lagi keikhlasan padanya.

Justeru itu, tidak hairan mengapa Rasulullah SAW diiktiraf oleh ALLAH SWT sebagai semulia-mulia insan. Setelah sekian banyak hinaan, cacian dan penderitaan yang dialami, baginda tetap tampil menyebar salam beserta senyuman.

Tujahan batu-batu, diganti dengan kalungan doa, lemparan najis, diganti dengan untaian budi.

Firman ALLAH SWT :

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya : “Dan sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad ) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” ( Surah al Qalam ayat 4 )

Justeru itu, mari bersama kita usahakan, walau kasih tidak dihargai, kita tetap memberi. Walau khidmat tidak dipeduli, kita terus mencurah bakti.

Ingatlah, andai satu ketika kita tidak mengenal erti kehancuran, kita tidak akan pernah tahu apa yang membuatkan kita utuh dan teguh untuk hari-hari seterusnya.

Yakinlah :

ALLAH mahu mendidik kita, DIA ingin mengingatkan kita bahawa tiada cinta yang sempurna selain cinta-NYA, yang hanya dapat dirasakan oleh pemilik hati-hati yang mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Hati yang sering dilukai lalu sembuh setelah dirawat dengan zikir kepada ilahi, adalah hati yang indah, bercahaya dengan kasih dan sayang dari Yang Maha Esa. Walaupun luka masih ada, namun sifat sabar, reda dan bersedia memaafkan menjadi ‘antiseptik’ yang menahan luka itu dari dijangkiti kuman dendam yang membawa derita berpanjangan.

Akhirnya, bersyukurlah andai memiliki hati yang sering dilukai, kerana dengannya kita belajar menjadi seorang yang lebih mengerti, memahami dan menghargai.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.


Saturday, February 26, 2011

Kisah benar tentang solat berjemaah

Berjalan menuju solat berjemaah di masjid merupakan salah satu cara memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Hal itu didasarkan pada firman Allah (lihat kitab Tuhfatu al-Ahwadzi bi Syarhi Jami' at-Turmudzi, IX/104);
"Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan." - QS. An-Nahl: 97

Ini adalah kisah benar dari daerah Bekasi, Jawa Barat.
Seorang lelaki bernama Haris (bukan nama sebenar) adalah dahulunya seorang pemuda yang jarang solat berjemaah di masjid. Dia ke masjid hanya untuk solat Jumaat atau solat di Hari Raya. Malah dia dulu dikenali dengan panggilan 'Playboy'. Setiap tahun dia berganti pasangan. Dia juga dahulu bermain muzik (drummer). Tidak pula memperhatikan sunnah Rasul. Padahal dia adalah anak Pak Haji dan Ketua majlis keamanan Masjid di perumahannya.

Baru ketika dia belajar, hidayah Allah menggiringnya untuk melakukan solat zohor berjemaah di masjid kampusnya. Setelah selesai solat, ada tazkirah yang didengar Haris. Pemberi tazkirah itu menyebutkan hadits Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah shalat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi keduanya sekalipun dengan merangkak." - Shahih Muslim, V/160

Sejak saat itulah Haris mulai memikirkan apa yang sebenarnya terkandung di dalamnya sehingga Rasulullah bersabda manusia akan mendatanginya meskipun dengan merangkak.
Haris pun mulai melaksanakan solat Isyak berjemaah di masjid malam harinya, dan dilanjutkan dengan Subuh berjemaah di masjid dekat rumahnya untuk mencuba merasakan apa yang sebenarnya dimaksudkan Nabi.

Selalu terlindung dari musibah

Haris ketika itu masih belajar di jurusan sastera Inggeris. Setiap kali setelah dia pulang kuliah, dia mengajar kelas tuisyen kepada anak-anak kecil maupun orang dewasa. Hampir lulus ijazah pertama, dia sudah ditawarkan pekerjaan melalui panggilan telefon dari sebuah syarikat untuk menjadi wartawan.
Haris mulai merenungkan apakah ini yang dimaksud manfaat dari solat Isyak dan Subuh berjemaah di masjid, rezeki begitu mudah diraih tanpa susah-susah mencari sedangkan banyak temannya yang mencari ke mana-mana tapi tidak diterima.

Akhirnya Haris lulus ijazah dan sempat menjadi wartawan di syarikat tersebut. Tetapi pekerjaan menjadi wartawan tidak menentu waktunya. Hari Sabtu dan Minggu harus bersedia untuk dipanggil bekerja. Pulang dari kerja selalu lewat. Haris jadi jarang solat Isyak di masjid. Waktu subuh dia perlu bertolak ke tempat kerja agar tidak terlewat.

Sejak itu pula dia mula meninggalkan kebiasaannya mendengar dan bermain muzik. Semuanya terlalu memenatkan dan tidak sesuai dengan jiwa Haris yang terbiasa mengajar. Kalau sudah kepenatan, dia sering mengantuk ketika menunggang motor. Dia bernasib baik kerana Allah masih menjaganya walaupun Haris mulai leka dalam melaksanakan solat berjemaah di masjid kerana pekerjaannya itu. Allah sedang mengujinya. Harris pun keluar kerja agar tidak terlalu penat, boleh berjamaah di masjid, dan berniat memulakan perniagaan sendiri.

Sebelum dia sempat memulakan perniagaannya, Allah telah memberinya rezeki yg telah dijanjikan. Dia mendapat pesanan menerjemahkan buku luar negeri dari sebuah penerbit yang hasilnya boleh membuat dia bertahan beberapa bulan sampai dia mendapat pekerjaaan tetap yang lain. Bekerja dari rumah membuat Haris makin rajin solat berjemah di masjid. Dia mulai merasakan perubahan ke arah yang lebih baik dibanding dengan ketika dulu ia jarang solat berjemaah di masjid.

Ditinggikan Darjatnya oleh Allah

Allah memuliakan orang yang mendatangi masjid;
"Barangsiapa berwudhu di rumahnya kemudian dia mendatangi masjid, maka dia sebagai orang yang mengunjungi Allah, dan merupakan kewajiban bagi yang dikunjungi untuk memuliakan pengunjung-Nya." HR. Thabrani, VI/253, nombor 6139 dan 6145

Haris tetap sabar dan tekun terhadap terjemahannya. Malah dia berpikir dan bersyukur masih diberi rezeki dan anugerah menerjemahkan buku seperti itu. Berkat kesabaran dan rasa syukurnya, Allah kembali memberinya pekerjaan tetap dalam waktu terdekat.

Kali ini dia bekerja sebagai guru di sebuah sekolah antarabangsa, sebagai guru Bahasa Inggeris. Tempat kerja Haris cukup jauh dari rumahnya. Tapi dia menjalankannya dengan senang dan semangat, kerana serasi dengan jiwanya. Dia juga masih boleh menjalankan solat Isya dan Subuh berjemaah di masjid.

Haris mulai merasakan inilah yang dimaksud Allah melalui sabda Nabi tadi. Banyak manfaat yang terkandung di dalam solat Isyak dan Subuh berjemaah di masjid. Bagi Haris, mendapat ganjaran pahala kerana mengajarkan ilmu-ilmunya adalah suatu balasan dari Allah yang sangat baik.

Meskipun bekerja dengan senang hati dan penuh semangat, tidak bererti Haris tidak pernah kepenatan. Kerana lokasinya yang jauh, setiap kali pulang kerja Haris selalu mengantuk di motor. Sudah lebih dari tiga kali dia hampir mengalami kemalangan motor.

"Dan (dirikanlah pula solat Subuh). Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat)" - QS Al Isra: 78

Dia bercerita, pada ketika itu, dia tertidur di motor, dia hampir, melanggar pembahagi jalan raya dan masuk ke tol. Allah mengirimkan malaikat-Nya untuk membelokkan motornya ke jalan yang benar. Di waktu yang lain, dia juga pernah menaiki motor sambil tidur dan mengarahkan motornya ke arah yang berlawanan dan dia bernasib baik kenderaan dari arah bertentangan tidak melanggarnya dan Allah segera membangunkannya.

"... Dan seseorang yang berangkat ke masjid, dia akan selalu berada dalam jaminan Allah sehingga Dia mewafatkannya lalu memasukannya ke surga atau menyerahkan kepadanya pahala dan ganjaran yang diperolehnya. ..." - Shahih Sunan Abi Dawud, II/473


Dari Jundab bin Abdullah ra., dia bercerita, Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa mengerjakan sholat subuh, maka dia akan selalu berada dalam jaminan Allah." - Syarhu an-Nawawi 'alaa Shahih Muslim, V/164

Sekarang Haris sudah menjadi pengetua Sekolah di tempatnya bekerja. Saat Haris ditawarkan jawatani menjadi pengetua, umur Haris saat itu baru 24 tahun dan dia baru bekerja di situ dua tahun! Maha Besar Allah lagi Maha Penyayang.

Mari kita semua berdoa agar diberi hidayah oleh-Nya, diberi rezeki dari-Nya, diberi kemudahan untuk melangkahkan kaki ke masjid, dan boleh mengajak orang lain untuk melaksanakan sholat berjamaah di masjid.

Nabi Nuh tidak mampu memberikan petunjuk kepada anak lelakinya, Kan'am; Ibrahim tidak mampu memberikan hidayah dalam hati ayahnya; dan Rasulullah tidak sanggup memberikan hidayah kepada pakciknya, Abu Thalib. Maka tugas kita semua adalah memohon petunjuk kepada Allah.

Dia berfirman, "Maka mintalah hidayah kepada-Ku, nescaya Aku akan memberikan kalian hidayah."

Siapa sahaja yang meminta hidayah kepada Allah, Dia akan memberinya hidayah. Hidayah ini meliputi hidayah ilmu dan hidayah taufik. Berapa banyak waktu terbuang untuk bermain di depan komputer sama ada bermain game atau melayari laman sesawang? Sedangkan betapa sukarnya untuk kita meluangkan waktu beberapa minit saja untuk melangkahkan kaki kita ke masjid yang begitu hampir dengan tempat kediaman kita (asrama), padahal melangkahkan kaki ke masjid satu langkahnya menghapus dosa dan langkah lainnya mengangkat darjat.

"Tidaklah seseorang bersuci lalu dia melakukannya dengan sebaik-baiknya kemudian dia berangkat menuju ke salah satu masjid melainkan Allah telah menetapkan baginya kebaikan bagi setiap langkah yang diayunkannya, dengannya Dia akan meninggikan dirinya satu derajat, serta menghapuskan darinya satu kesalahan..." - HR. Muslim

Renung-renungkan..=)

Wednesday, February 23, 2011

Membelai hati sang bidadari

Aku takut engkau tergoda,
Kerana itu aku diam.
Aku takut engkau goyah,
Kerana itu aku diam.

Aku takut ada yang kecewa,
Aku takut ada yang terluka,
Aku takut ada yang terhina,
Kerana itu aku diam.

Aku takut tidak dapat menjaga,
Aku takut potensi yang tak dapat diduga,
Aku takut jatuh ke dalam dosa,
Kerana itu aku diam.

Aku takut melanggar larangan-Nya,
Aku takut tak lagi peka akan peringatan-Nya,
Aku takut tak lagi taat kepada-Nya,
Kerana itu aku diam.

Aku takut tak lagi indah pada saatnya,
Aku takut tak lagi mesra seharusnya,
Aku takut tak lagi terjaga, hina di dua dunia,
Kerana itu aku diam.

Aku takut hatiku tertipu nafsu,
Aku takut taqwaku tergadaikan logika semua,
Aku takut perasaanku tertutup emosi sesaatku,
Kerana itu aku diam.

Aku takut jauh dari-Nya,
Aku takut tidak kerana-Nya,
Aku takut tak lagi dapat pertolongan dari-Nya,
Tak lagi mengamalkan Firman-Nya,
Tak lagi mengikuti Nabi-Nya,
Kerana itu aku diam.

Aku takut tak didengar dalam do'a,
Aku takut tak ditolong dalam musibah,
Aku takut tak dilihat-Nya di padang mahsyar penuh galau dan gundah,
Kerana itu aku diam.

Aku takut tak dapat memegang amanah-Nya,
Aku takut tak dapat memetik sakinah, mawaddah dan rahmat-Nya,
Aku takut tak dapat mengabadikan redha kedua orang tua,
Kerana itu aku diam.

Dalam diam aku berikhtiar,
Mempersiapkan mental, modal, hati dan fikiran,
Dalam diam aku berdo'a,
Memohon petunjuk, pertolongan dan kekuatan dari-Nya,

Dalam diam aku menghormatimu dengan petunjuk-Nya,
Dalam diam aku menjagamu dengan cinta-Nya,
Dalam diam aku mengurai rahsia tulisan di Luhmahfudz-Nya,
Dalam diam aku menjaga cinta sebagai anugerah dan amanah.

Dalam diam aku memperbaiki diri,
Dalam diam aku mempersiapkan hati,
Dalam diam aku mengumpulkan ilmu untuk saat bersatu nanti,
Dalam diam aku berusaha memberikan yang terbaik dengan redha Ilahi.

Dalam diam aku mengukir cinta abadi,
Cinta dengan cara yang diajarkan Rasul-Nya,
Cinta penuh taqwa dan tawakkal kepada-Nya,
Cinta yang datang dan akan kita kembalikan hanya pada-Nya.

Bersabarlah dalam diamku.
Berdo'alah untuk menguatkan hatimu,
Bersyukurlah atas suka dan duka-Nya untuk kuatmu,
Kerana engkaukan menjadi bahagian penting perjuanganku.

Sungguh Dia mendengar keluh kesahmu,
Sungguh Dia melihat gundah dan sedihmu,
Sungguh Dia telah mempersiapkan yang terbaik untukmu,
Sungguh Dia telah menyediakan pahala yang melimpah, atas solehahmu.

Tautkan hati kita dalam do'a,
Ikhtiarkan jiwa dan raga kita dalam ilmu dan ibadah,
Kuatkan potensi kita dengan menjalankan FirmanNya, Sunnah NabiNya,
Yakinlah...kan indah pada saatnya,
Kerana kita...menuju redha-Nya.

Wednesday, February 16, 2011

Mata siapa yang tidak pernah menangis?

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain. 

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun. 


Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia" 


Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah" 


"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat" 


"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika 
hujan turun" 


Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca 
sebegini" 


Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?" 


Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!" 


"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu. 


Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. 


Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal. 


Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang pemegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka. 


Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.  Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?" 


Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi. 


"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut.
Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam  memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu" 

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya. 


"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi  lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi". 

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu" 


"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar". 


"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu  dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi". 


"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka" 

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! 

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. 

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat. 


Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang..=)


TAKBIR!! ALLAHUAKBAR! 

Monday, February 14, 2011

Makna cinta kepada Allah..=)

Apa makna cinta pada Allah? Apa dia? Ia adalah perasaan apabila Anda melakukan sesuatu untuk mendapat keredhaannya, untuk mendapat perhatian Allah, untuk mendapat cintanya juga untuk mendapat rahmatnya supaya hidup Anda berkat sentiasa. Orang yang cinta pada Allah biasanya sanggup melakukan sesuatu secara percuma simply sebab dia mahu perbuatannya itu mendapat perhatian Allah.

Orang sebegini berkasih sayang kerana Allah, mencintai kekasih hatinya kerana Allah, bekerja kerana Allah, menolong orang kerana Allah, bersahabat kerana Allah, menggembirakan seseorang kerana Allah, berbakti kepada ibu bapa kerana Allah, belajar kerana Allah, berniaga kerana Allah.

Dia tidak melakukan semua itu kerana duit tapi untuk berbakti. Dia berbakti pada orang sekeliling supaya Allah kasih kepadanya. Dia menjaga hubungannya dengan Allah melalui yang fardhu, dia menjaga hubungannya dengan orang sekeliling melalui berbuat kebaikan selalu. Dia adalah seorang yang baik di hati, di perbuatan, di dalam kata-kata dan di dalam fikirannya.

Cinta pada Allah tidak hanya dengan duduk di dalam masjid, banyak membaca Al-Quran, berzikir, berpuasa, menunaikan umrah, beriktikaf atau bersembahyang sunat. Semua itu hanya luaran. Allah hanya akan memandang HATI Anda.

Ini samalah seperti kita mahu mendapat perhatian orang yang kita cinta. Apabila hati sudah suka pada seseorang, pasti Anda berhabis untuk mendapat perhatiannya, kan? Anda beli hadiah, berkirim salam, mengutus surat cinta, meng’add’ dia di Facebook Anda, bertanya pada ID Twitter dia, bertanya apa nombor telefon dia supaya Anda boleh hantar sms padanya untuk menyatakan rasa cinta Anda padanya.

Untuk apa Anda sembahyang selain dari menunaikan suruhannya? Untuk apa Anda bersolat selain dari menunaikan kewajipan? Jawapannya, bersembahyanglah kerana Anda mahu menambah rasa ketakwaan pada Allah, supaya Allah sayang Anda, supaya Anda menonjol di kalangan hamba-hambanya yang lain. Rasa takwa adalah rasa apabila Anda mahu melakukan sesuatu kerana mahu mendapat perhatian Allah, bila sudah buat, Anda rasa cukup puas hati.

Bila Anda tolong orang dengan niat mahu menambah rasa takwa, kesannya Anda akan menolong sehabis baik didorong oleh fikiran positif sebab mahu melihat ornag yang Anda tolong itu jadi gembira menjalani kehidupannya. Anda berharap moga dengan kegembiraan yang orang tu perolehi, Allah melihat apa yang Anda lakukan lantas melihat Anda sebagai seorang yang layak untuk mendapat kasih sayangnya.

Apa petanda kasih sayang Allah? Rezeki Anda dimurahkan, hidup Anda dibahagiakan, urusan Anda dipermudahkan, masalah Anda dikurangkan, pergaulan Anda diperluaskan. Semuanya jadi lancar sahaja.

Sunday, February 13, 2011

Semuanya untukMu..

Bagaimana kiranya...?

Situasi 1.

Seseorang pernah bertanya kepada salah seorang sahabatku; apakah ciri-ciri lelaki idamannya. Bagaimanakah ciri-ciri pria yang dia mahukan. Dia benar2 ingin tahu sebab musabab sahabatku itu tidak mahu berpacaran. Almaklumlah, umur pun sudah meningkat. Kalau tidak bercinta pun, sekurang-kurangnya sudah patut ada calon kata mereka.

“Apa yang kau cari? Nak yang beserban ka? 24 ke masjid? Alim waro’ macam pak imam?” nada perli di situ.

“Kau tak menyesal, tak rasa rugi ka andaikata suatu masanya nanti, kau begini sabar menahan diri, jaga itu, jaga ini. Tapi akhirnya kelak kau dapat jodoh yang biasa-biasa saja. Buaya darat. Bekas banyak perempuan. Solat pun tak sempurna. Agak-agaknya macam mana tu?”

“...... yala. Kau kata kapel pon kau tak pernah. Tapi entah-entah esok lusa suami kau tu pernah ber-kapel punyala banyak kali. Kau yang kononnya suci ni dapat bekas-bekas orang lain ja macam tu. Ha.. apa nak kata? ”

Situasi 2.

“Rajinnya belajar, tak lokek ilmu pula tu.. baik akhlak, kuat ibadah. Tak pernah sakitkan hati orang.. macam mana ea, kalaulah bila result keluar nanti, kamu tak dapat DL? Atau result kita yang jahat2 ni lagi tinggi dari kamu yang beria dok ajar kami ni. Kamu mesti sakit hati kan? Yela... macam tak adil.” Kata dia pula kepada sahabat yang ketika itu duduk di sebelahku.

Aku lihat wajah sahabatku itu. Dia memang solehah. Baik, sopan, rajin belajar & jarang menyakiti hati manusia yang berada di sisinya.

Dalam kedua-dua situasi ini, aku pasti, ada juga di antara kita semua yang pernah mengalami perkara yang sama seperti yang dialami oleh sahabatku itu.

Waktu itu, kami hanya tinggal berdua. Aku pandang wajahnya. Dia juga pandang aku. Lalu, dia senyum.

“Jangan buruk sangkalah... mereka tak tahu tu. Setiap apa yang ada di dalam hati kita, apa yang kita fikir, tidaklah sama antara satu sama lain.” Katanya lembut.

Aku senyum. Senang dengan kata-katanya. Jelas kejernihan hatinya yang tergambar melalui bicara katanya yang baik itu.

Betul. Jangan berburuk sangka tidak tentu hala. Jangan fikir apa yang kita fikir, sama dengan cara orang lain berfikir atau apa yang orang lain fikir.

Ada manusia, jadi soleh, jadi solehah, dengan niat untuk mendapatkan bakal zauj atau bakal zaujah yang soleh & solehah juga.

Ada manusia, jadi soleh, solehah, beramal banyak, berakhlak baik, berulang alik ke masjid semata-mata kerana mahu mendengar pujian daripada manusia lain di sekelilingnya. Dia mahu orang puji dia baik & sebagainya.

Ada yang kuat belajar kerana nak dapat kerja bagus. Nak capai cita-cita. Nak banggakan mak ayah, adik, family. Ataupun kerana dicabar oleh orang lain.

Ada yang buat kerana itu. Ataupun kerana ini. Ya. Mana kita tahu apa yang tersirat di hati orang lain. Jadi seboleh-bolehnya perlu letak sangka yang baik pada toplist kita. Sebab kadangkala, hati sendiri pun kita tak dapat nak tafsirkan & faham hakikatnya.

Manusia ini sifatnya suka berubah & memang sangat senang berubah. Ibarat pantai yang dihambat oleh ombak.

Mungkin saja, kita ini yang kononnya kita sangkakan benar sudah baik rupanya lebih hina dari orang yang kita buruk sangkakan itu. Nauzubillah.

Setiap apa yang kita lakukan adalah berbalik semula kepada niat kita. InsyaAllah, kalau betul kita kenal Allah, insyaAllah kita kenal diri kita. Bila kita kenal diri kita, kita akan tahu, kita akan rasa samada dalam hati kita itu hitam kah, putihkah, kuningkah atau ungukah dia.. :D

Mudah-mudahan, hati kita & niat kita adalah jernih & lillahi taala semata-mata.

Bila Badai Melanda. Allah Mahu Menguji.

Bila mana kita lakukan sesuatu itu beralasan, yakni bukan kerana Allah. Nescaya bila kita tidak dapat apa yang kita hendak itu, kita akan kecewa. Kita akan putus asa.

“Penat aku jadi baik. Penat dah aku tahan semua keinginan aku. Mana pernah aku kapel. Mana pernah aku pegang tangan gf macam orang lain. Mana aku pernah dating, buat maksiat semua tu! Tapi kenapa last-last aku dapat kau? Aku dapat perempuan yang dah tak suci macam kau ni sebagai isteri...?” [dialog drama. Skrip semata2. :D]

Hancur berkecai sudah hati kita.

“Punyalah penat aku stay up, study 24 jam. Solat tak tinggal. Nak jawab xm pun baca doa. Solat hajat tak lupa. Yasin setiap minggu aku join kat masjid. Tapi kenapa at last aku tak dapat capai target aku...? unfair!” [sekali lagi skrip drama semata2. :D]

Bersepai sudah harapan kita.

Kesimpulan

Mari kita duduk sejenak. Renungkan sebentar hadis Rasulullah saw ini; yang bermaksud:

"Tidak (diterima) amal-amal itu, melainkan menurut niat. Seseorang tidak akan dapat, melainkan apa yang ia niatkan. Lantaran itu barang siapa berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka pahalanya itu ialah (pahala amalan) kerana Allah dan RasulNya dan barang siapa berhijrah kerana dunia, nanti ia dapat dunia itu, atau kerana perempuan nanti ia kahwin dengan perempuan itu, (singkatnya) ganjaran hijrah itu menurut niat ia berhijrah". (HR Bukhari)

Lalu, kita cuba fahami pula kata2 as-syahid imam Hassan al-Banna ini;

"Niat yang ikhlas adalah seluruh ucapan, perbuatan, ibadah, dakwah dan jihadnya semata-mata demi Allah & mengharap keredhaanNya serta ganjaran baik, tanpa memandang keuntungan, kemasyhuran, kedudukan (kemuliaan), gelaran, kemajuan ataupun kemunduran. Dengan demikian, ia menjadi "pejuang fikrah dan aqidah", bukan "pejuang kepentingan dan cita-cita peribadi".

Anda perasan tak, kita perasan tak..? Dalam apa jua permasalahan yang kita hadapi di dunia ini, kesudahannya tetap akan kembali kepada Allah swt.

Kembalilah pada Allah, insyaAllah, kita tidak akan kecewa.

Niatkan kerana Allah dalam setiap apa yang kita lakukan. Jadi baik, belajar, tidur, minum, mandi, solat, pergi ceramah, pergi masjid, buat kerja persatuan.. semua-semua pun, niatkanlah kerana Allah.

Ingat semula janji kita dalam doa iftitah yang kita lafazkan di dalam solat kita saban waktu. Juga telah Allah peringatkan janji itu dalam firmanNya;

Katakanlah: "Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan Dengan Yang demikian sahaja Aku diperintahkan, dan Aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam Yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)." [Al An'aam : 162-163]

Perbetulkan niat kita.

Kenapa kita sanggup lakukan apa saja demi kekasih gelap kita, sanggup bazir duit, sanggup gadai itu, gadai ini.. kita berkorban tanpa merungut & mengharapkan apa-apa balasan pun. Semuanya demi cinta itu.

Persoalannya, kenapa dengan Allah kita mahu berkira? Kenapa kita banyak merungut dan meminta balasan itu & ini daripada Allah? Sedangkan memang itu sudah tanggungjawab kita ini sebagai hambaNya. Astaghfirullah hal adzhim.. biadapnya kita...

Kalaulah kita sedar kita ini hanya hamba, tentu kita malu untuk meminta apa-apa pun daripada Allah.

Akhir kalam, kembalilah semula ke posisi kita sebagai hamba. Lakukanlah apa yang Allah suruh & jauhkan apa yang Allah larang. Selebihnya, jika Allah mahu memberi kita ganjaran, itu terpulanglah kepada Dia.

Ayuh semua. Berhentilah merungut, berhenti bersikap ‘demand’. Kita langsung tak layak untuk itu. Ingatlah, dunia ini hanyalah sementara. Hakikatnya, akhirat itu jualah yang kekal abadi.

Mudah2an hingga ke saat ini, Allah masih redha dengan setiap nikmat yang diberikanNya kepada kita... 

ya Allah, semua ini untukMu. semuanya untukMu kerana segala-galanya adalah milikMu..

Wallahu ‘alam.