Sunday, January 23, 2011

Jangan Jadi Orang Yang Sibuk

Awal bismillah....
Alhamdulillah, tiga minggu sesi interaksi di kampus telah pun berlalu. Banyak perkara yang perlu dibuat dalam masa singkat ini. Paling dekat, Minggu Pengurusan Pelajar Baharu, Kursus Kepimpinan Jawatankuasa Masjid, seterusnya praktikum, siapkan portfolio untuk MQA, sambutan Maulidur Rasul dan banyak lagi. (tak dapat nak senaraikan satu-satu). Sibuk? Ya, memang sangat sibuk. Pikul amanah, bukan satu perkara yang mudah. Selagi kita mampu, selagi kita berdaya, laksanakan amanah itu dengan sebaik mungkin. Kadang-kadang ia memerlukan pengorbanan tenaga dan juga masa yang banyak daripada kita.


Namun, apa-apa pun, mudah-mudahan kita bukan golongan yang melupakan tarbiyah diri meskipun dibelenggu dengan kesibukan dunia yang pelbagai. Pengurusan masa pun sangat penting. Perlu susun sebaik mungkin agar tidak ada perkara yang menjadi prioriti kita terlepas pandang.

Masa usrah bersama Tok Guru, kami dihidangkan dengan bermacam-macam nasihat dan pesanan. Alhamdulillah, masih ada lagi insan yang sudi memberi peringatan buat diri yang selalu leka dan alpa. Antara perkara yang ditekankan adalah berkenaan dengan ayat 44 daripada Surah Al-Baqarah:

"Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca Kitab? Tidakkah kamu mengerti?"

Ayat ini memang 'ngam' sungguh dengan situasi yang bakal berlaku. Terutamanya dalam MPPB. Seperti sebelum ini, para AJK akan bertugas mengendalikan siswa siswi guru baharu, dan pastinya aspek disiplin banyak ditekankan bagi memastikan program berjalan dengan lancar. Antara pesanan yang pasti akan kita dengar:-

1.            Tolong tepati masa! Jangan datang lewat ke dewan.
2.            Semua siswa-siswi yang beragama Islam wajib datang ke Masjid untuk solat berjemaah. Jangan ponteng!

Banyak lagi pesanan yang diberikan cuma yang ingin ditekankan di sini cuma dua perkara ini sahaja. Pesanan ini sangat berguna. Penting buat diri yang mendengar, tapi sebenarnya LEBIH PENTING bagi orang yang memperdengarkannya. Ramai dalam kalangan kita, bila ada MPPB, mampu tepati masa, mampu datang ke Masjid untuk solat berjemaah. Namun, itu semua akan 'hilang' bila MPPB selesai. Pelik, bukan? Selesai sahaja MPPB, datang lewat ke kuliah, datang lewat ke mesyuarat, dan tak datang pun ke Masjid masa BIG, solat berjemaah apatah lagi. Apakah semua ini sekadar lakonan tika MPPB menjelma. Pada ana, adalah sangat baik jika amalan-amalan menepati masa dan mengimarahkan masjid diteruskan walaupun bukan pada waktu-waktu yang telah diprogramkan. Susah? Ya, memang susah. Tapi kena paksa diri. Nak jadi golongan soleh solehah kena berani. Berani paksa diri, berani menegakkan pendirian diri yang benar dan berani lawan nafsu sendiri.

"Saya berusaha untuk jadi orang yang tidak sibuk sekarang ini. Semuanya untuk meluangkan masa bersama kamu semua."

Alhamdulillah, ini peluang yang ana tunggu-tunggu dari dulu lagi. Cuma bezanya sekarang, ana yang terpaksa sibuk. Kalau berterusan, mungkin sedikit sebanyak mengganggu proses tarbiyah secara 'direct' daripada beliau.

Sempat lagi dia pesan pada ana, "Aishah, jangan jadi orang yang sibuk ya..". InsyaAllah, pesanan ini akan ana pegang sampai bila-bila. Mungkin tidak mahu ana melupakan tarbiyah diri di saat-saat genting seperti ini. Terima kasih kerana sudi mengingatkan..

Penulis merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid IPG Kampus Keningau.

No comments:

Post a Comment