Saturday, December 11, 2010

Maal Hijrah


1432 Hijrah.
Berapa kali sudah meraikan Ma’al Hijrah?
Tahun Baru Azam Baru adalah ayat wajib pada setiap tahun. Ucapan-ucapan agar kita melakukan lebih baik pada tahun baru adalah ayat yang memang akan berkumandang.
Akhirnya itu semua boleh disimpulkan sebagai rutin.
Setiap tahun, itulah yang kita laksanakan. Baik datang Awal Muharram, mahupun 1 Januari Masihi.
Satu persoalan yang kita patut tanyakan kepada diri kita adalah, sepanjang kita melalui tahun-tahun yang baru, apakah peningkatan yang berlaku kepada diri kita?
Itu yang menjadikan kehidupan seorang mukmin bermakna.
Yang sepatutnya berlaku kepada seorang mukmin
Mukmin bukan malaikat. Mukmin adalah manusia. Mukmin juga melakukan kesilapan. Dia juga berdosa. Tetapi seorang mukmin yang sebenar tidak akan redha dengan kesilapannya. Maka setiap kali dia tersilap, setiap kali dia terjatuh, dia akan bersegera naik dari kejatuhannya. Apabila dia naik, dia akan naik lebih tinggi daripada sebelumnya.
Begitulah seterusnya.
Kerana apa?
Kerana dia tahu bahawa Allah sedang menilainya.
Dia tahu bahawa Allah memberikan cabaran kepadaNya adalah untuk menguji keimanannya.
Maka graf kita sepatunya adalah seperti di atas. Naik dan turun. Tetapi dalam bentuk yang meningkat. Bukan semakin merudum.
Persoalan, apakah tahun-tahun yang telah berlalu, graf keimanan kita sebegitu?
Belajar daripada kesilapan, jarang manusia melakukan
Benar-benar belajar dan mengambil hikmah daripada kesilapan, itu adalah perkara yang jarang manusia lakukan. Walaupun berulang kali diperingatkan.
Hal ini kerana, manusia mudah lupa akan keburukannya. Dia tidak ambil peduli dengan kesilapannya. Sangkanya esok masih ada.
Tetapi bagi mukmin, hari baru, waktu baru, adalah hadiah daripada Yang Esa. Seorang mukmin tidak sepatutnya membiarkan dirinya jatuh ke lubang yang sama berkali-kali. Sebab seorang mukmin akan peka dengan segala perkara yang membawanya dekat kepada Allah, begitulah juga dia sensitif dengan segala perkara yang menjauhkannya daripada Allah SWT.
Maka untuk membuatkan diri kita dapat melakukan peningkatan, belajar daripada kejatuhan yang telah berlaku, belajar daripada kesilapan yang telah kita laku, itu adalah antara seninya yang sebenar. Belajar daripada kesilapan orang lain juga adalah perkara yang penting.
Tetapi kita jarang memerhati dan mengambil pengajaran bukan?
Sebab itu kita asyik mengulang kesilapan kita yang sama, dan mengulang juga kesilapan yang sama yang dilakukan oleh orang sebelum kita. Menjadikan graf kita turun dan menurun.
Azam tanpa perancangan, itu omongan.
Lafaz-lafaz tahun baru yang membakar semangat, biasanya dilepaskan tanpa keseriusan. Sekadar menjadi tradisi tahunan. Akhirnya kelihatanlah awal tahun seakan membakar semangat diri menjadi raksasa yang bakal menggemparkan dunia pada tahun itu. Namun di pertengahan, yang berlaku hanyalah penurunan demi penurunan.
Seorang mukmin yang serius, akan meluahkan azamnya dengan serius juga. Serius di sini bermaksud dia sudah menjadi jurutera kepada tahun itu. Dia sudah mendesign apa yang hendak dibina pada tahun itu. Apa perkara yang hendak dicapai. Apa peningkatan yang mesti dia usahakan untuk berlaku. Apa kekuatan yang mesti dia tambah.
Seterusnya gerak kerja ke arah itu semua.
Bukan sekadar lafaz-lafazan. Lafaz-lafazan yang terlaung kemudian sebulan kemudian, apabila ditanya semula, lupa. Atau apabila ditanya semula, gerak kerjanya belum bermula.
Bagaimana hendak menumbangkan jahiliyyah jika mukmin terus bersikap demikian?
Keseriusan mengisi kehidupan kerana Allah SWT
Masa terus berlalu, waktu terus berjalan. Semua itu adalah kehidupan. Tidak akan kembali. Walau bergunung emas kita tawarkan untuk membeli sesaat, tetap tidak akan mampu menjadi ganti.
Mukmin sepatutnya paling memahami perkara ini apabila wujud sudah pesanan Allah khas akan perkara ini.
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.” Surah Al-’Asr ayat 1-2.
Rugi kerana itu semua tidak akan kembali walau apa yang dilakukan. Dan Allah mendeklarasikan bahawa yang tidak akan rugi hanyalah mereka yang beriman. Mereka yang beriman inilah yang akan menggerakkan diri mengisi masa dengan amal kebaikan. Amal kebaikan yang membawa manusia sabar menjalani kehidupan dalam ketaatan, dan memandu pula manusia lain ke arah kebenaran.
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”Surah Al-’Asr ayat 3.
Persoalannya, apakah keimanan kita berfungsi sehingga kita mampu bergerak sedemikian?
Atau tahun ini akan terbiar sebagaimana tahun-tahun yang lepas?
Jika benar serius, maka apakah bukti keseriusan?
Seperti kita serius hendak menawan kota, apakah serius itu dibuktikan dengan terus menyerang masuk tanpa perancangan, atau menyusun strategi sebaik mungkin sebelum merempuh mencapai kemenangan?
Hadiah yang kita lempar-lempar
Berapa tahun sudah ma’al hijrah? Berapa kali kita lihat poster baru ma’al hijrah dilukis tayang? Berapa banyak tazkirah ma’al hijrah kita dengar?
Setiap hari baru adalah hadiah, bagaimana kita gunakan?
Setiap bulan baru adalah anugerah, bagaimana kita manfaatkan?
Setiap tahun baru adalah masa tambah, bagaimana kita gerakkan?
Bukankah orang-orang yang membiarkan semua ini berlalu begitu sahaja, tidak melayan semua ini sebaiknya, sama sahaja dengan orang yang melempar hadiah daripada orang yang pemurah? Dan waktu bukanlah hadiah yang boleh dibeli di tepi jalan. Hanya Pemilik Waktu yang mampu memberikannya kepada kita.
Sekarang kita berada di tahap mana?
Islam sekarang berada di tahap apa?
Persoalan, apa yang kita telah lakukan?
Persoalan, apa yang kita sedang lakukan?
Persoalan, apa yang kita sudah rancang untuk lakukan?
Berikan jawapan itu kepada hati kita.
Atau kita ini hakikatnya tergolong di kalangan yang melempar hadiah Tuhan?
Penutup: Ma’al Hijrah pada saya bukan rutinan kosong.
Tidak sama 1432H dengan 1431H. Saat ini tidak sama dengan saat lepas. Hari ini tidak akan pernah sesekali sama dengan hari yang lepas. Bulan ini tidak akan pernah sama dengan bulan yang lepas. Apatah lagi setahun yang mengandungi 31104000 saat, setahun yang mengandungi 8640 jam, setahun yang mempunyai 365 hari, dan setahun yang mempunyai 12 bulan itu?
Tidak akan sesekali sama.
Maka tidak sepatutnya kita melayan Ma’al Hijrah kali ini dengan kebodohan kita yang sama juga.
Peningkatan adalah satu kewajipan sebenarnya untuk kita usahakan.
Jangan sekadar menjadikan 1 Muharram, peralihan tahun ini, satu rutinan kosong, yang kita isi perkara sama, dengan diri kita yang nampaknya sama tetapi sebenarnya, hakikatnya, merudum jatuh.
Marilah kita duduk sebentar pada 1 Muharram ini.
Berfikir, muhasabah dan melakukan perubahan.
Dipetik dan diubahsuai : http://ms.langitilahi.com/perkongsian-maal-hijrah-rutin-kosongan

No comments:

Post a Comment