Thursday, December 23, 2010

Berdoalah

Firman Allah S.W.T yang bermaksud
“Dan Tuhanmu berfirman : `Berdoalah kepadaKu nescaya akan aku perkenankan bagimu.’ Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembahKu akan dimasukkan ke neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir 40 : 60).
Syeikh Abul Qasim al-Qusyairi telah menyatakan dalam risalah Qushairiahnya :
“Doa adalah kunci segala hajat, penghibur orang miskin, pelindung orang kesempitan dan pemberi ketenangan buat manusia yang berkeinginan.”
Kata-kata Syeikh Ibn Athaillah seperti yang dinyatakan dalam al-Hikam :
Maksudnya : “Jangan berputus asa jika Allah s.w.t. melewatkan penerimaan doa sekalupun kamu sudah bersungguh-sungguh berdoa kerana Allah menjamin penerimaan semua doa menurut yang Dia tentukan untukmu bukannya menurut kehendakmu dan (akan dikabulkan) pada waktu yang ditentukanNya bukan pada waktu yang ditentukan olehmu.”
Allah pasti mengabulkan doa hambaNya mengikut keinginannya, dan jangan sekali-kali kita berputus asa. Oleh sebab itu, berdoa dan bersangka baiklah.  

Wasiat Hassan Al-Banna

IMAM Hassan al-Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di sebuah desa al-Mahmudiyyah dalam al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal oleh ketaatan ajaran dan nilai Islam. Keluarganya juga ulama yang dihormati.
Bapanya, Sheikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna adalah seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal.

Hassan al-Banna menjadi pemimpin dan pengasas gerakan Ikhwan Muslimin yang dihormati. Melalui kepemimpinan dan didikannya, Ikhwan Muslimin menjadi penggerak kebangkitan semula Islam abad ini.

Antara wasiat beliau yang terkenal ialah:
  • Apabila mendengar azan, maka bangunlah sembahyang serta-merta walau dalam keadaan apa sekali pun.
  • Bacalah al-Quran, tatapilah buku ilmu, pergilah ke majlis ilmu, dan amalkan zikrullah serta jangan membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
  • Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam.
  • Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekali pun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa kebaikan.
  • Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
  • Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
  • Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah perkara yang sia-sia, malah menyakiti hati orang.
  • Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan yang memberi kebajikan.
  • Berkenal-kenalan dengan setiap Muslimin yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
  • Kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu, gunakan masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskan pelaksanaannya.

Beradablah pada dirimu

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita dipenuhi berbagai perbuatan dan tingkahlaku yang memerlukan adab. Adab ini perlu untuk kesejahteraan diri dan supaya orang lain menyenangi kita. 
Ø  Menjaga kebersihan secara menyeluruh dengan cara mandi dan menyucikan diri.
Ø  Memotong kuku tangan dan kaki sekali setiap seminggu. Janganlah memanjangkannya walaupun sebahagian darinya kerana dikuartiri tersimpan najis dan perbuatan demikian menyerupai haiwan yang buruk.
Ø  Memotong rambut setiap kali panjang, menjaga kebersihannya dan menyisir selalu yakni jangan pula sampai berlebihan ( tidak membiarkannya dan tidak pula menumpukan perhatian kepadanya)
Ø  Mengutamakan bahagian kanan dalam semua perkara yang mulia seperti ketika mandi, berwuduk menghormati, berjabat tangan, memakai pakaian atau kasut, memotong kuku, mengambil dan menerima pemberian, makan dan minum. Mengutamakan bahagian kiri yakni perkara yang tidak mulia seperti membuang hingus, meludah, menanggalkan pakaian dan kasut, beristinjak dan menyentuh aurat. Daripada aisyah katanya, Rasulullah s.a.w menggunakan tangan kanan untuk bersuci dan makan, sedangkan tangan kiri untuk bersuci dan yang kotor-kotor.
Ø  Jangan menghadap kiblat ketika meludah, membuang hingus dan kahak, tetapi hendaklah ke arah kiri dan pada sapu tangan yang khusus supaya tidak mengganggu orang lain.
Ø  Mengalihkan wajah ketika bersin dari muka manusia, dan dari makanan serta minuman agar percikan hingus tidak mengenai orang lain dan meletakkan sapu tangan atau tangan ke mulut, memperlahankan suaranya sedapat mungkin. Daripada Abi Hurairah katanya, Apabila Rasulullah s.a.w bersin beliau meletakkan tangannya di mulutnya dan dengannya suaranya menjadi tidak kuat.
Ø  Memuji Allah sesudah bersin. Orang yang bersin dan memuji Allah hendaklah diwajib dengan (Yarhamukallah) dan orang yang bersin pula menjawabnya dengan doa yang berikut (Yahdikumullahu wa yushlihu balakum)
Ø  Meletakkan tangan di mulut ketika menguap untuk menutup pandangan yang tidak layak ketika mulut terbuka, juga untuk menghalang sesuatu dari masuk ke mulut. Juga disuruh mengurangkan suara dan jika dapat jangan sampai mengeluarkan suara. Selepas menguap hendaklah beristighfar kepada Allah kerana menguap adalah bukti kemalasan. Oleh itu Allah tidak menyukainya dan menyatakan bahawa ia disebabkan syaitan. Dari Abu Hurairah berkata Nabi, "Sesungguhnya Allah suka akan bersin dan benci akan menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan 'Yarhamukallah'. Adapun menguap adalah dari syaitan, jadi jika salah seorang dari kamu menguap maka hendaklah ia mengembalikannya sedapat mungkin kerana apabila kamu menguap syaitan ketawa melihatnya."
Ø  Berusaha tidak sendawa, menghindari makanan yang menyebabkan sendawa atau makanan yang memperbanyakkannya. Jika tidak dapat dihindari bersendawalah dengan suara yang ringan kemudian bacalah istighfar sesudah bersendawa. Daripada Abu Hurairah katanya, "Aku memakan kepingan roti dan daging kemudian aku mendatangi nabi lalu aku sendawa. Beliau bersabda, pendekkan sendawamu kerana sesungguhnya orang yang paling lapar pada hari kiamat kelak ialah orang yang paling kenyang di dunia."
Ø  Mengingat Allah dan bersyukur kepadaNya ketika berkaca(melihat wajah cermin) kemudian berdoa dengan doa yang warid dari nabi: "Segala puji bagi Allah, sebagaimana engkau elokkan kejadian aku maka elokkanlah akhlakku."
Ø  Menggunakan telefon bila perlu sahaja bukan untuk bermain-maian, bergurau atau untuk mengejutkan orang lain, dan bertelefonlah pada waktu-waktu yang sesuai, awali percakapan dengan salam, mengenalkan diri kemudian menyebut maksud.
Ø  Membiasakan diri dengan amal yang salih seperti beribadah bersedekah, solat sunat, menghampiri diri kepada Allah, berzikir dan membaca Al-Quran. Jangan meninggalkan demikian kerana malas, enggan atau kesibukan dunia. Daripada Aisyah katanya, amalan yang disukai Rasulullah ialah amalan yang terus menerus dilakukan seseorang.
Ø  Meninggalkan berlebihan dalam segala suatu, tidak melakukan sesuatu yang tidak berguna selalu memperbaiki diri dan berusaha memperbaikinya. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, "Sebahagian tanda kebagusan Islam seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak dimaksudkannya."
Ø  Memberi nasihat kepada orang yang mengenai kebaikan, yakni dengan nasihat yang baik bagi orang itu samada pada agamanya atau dunia.
Ø  Menerima nasihat orang lain, mahu mengakui kebenaran dan kembali semula kepadanya juga mengakui kesalahan diri sendiri jika memang benar bersalah dan jangan berterusan padanya, kerana kebenaran itu ialah barang orang mukmin yang hilang yang terus dicarinya dan akan berterima kasih kepada orang yang menyerahkannya kepadanya serta memuji setiap orang yang sudi memberi nasihat.
Ø  Membiasakan hidup sederhana mensyukuri yang sedikit dan meninggalkan hidup bermewah-mewah dan bersenang-senang di dunia kerana sifat tu menjauhkan diri dari takabur dan ujub serta selamat dari sifat sombong memuji-muji dari dan angkuh. Dari Aisyah katanya, "Tikar Rasulullah s.a.w diperbuat daripada kulit yang disamak setelah dipenuhi dengan sabut."
Ø  Ikhlas kerana Allah dalam semua pekerjaan, menjadikan matlamat utama dari kehidupan sebagai syiar orang mukmin yang diletakkannya di hadapan dan terus-menerus mengulang-ulang sebutan, 'Oh Tuhanku, Engkaulah tujuanku dan Redhamulah yang kucari."

Saturday, December 11, 2010

SMS Merah Jambu

"Tetap istiqomah Ukhti..Selamat Berjuang. Semoga Allah sentiasa bersamamu."
Sender : Akhi +6013xxxxxxx

Senyum timbul dari wajahnya. Seperti ada kehangatan menjalar di dada yang membuatkan degupan jantungnya bertambah cepat. Akal sihatnya bertanya-tanya, "Kenapa dengan aku ni?" Namun segera disangkalnya, "Tak ada apa-apalah! Aku cuma gembira sebab ada rakan seperjuangan yang mendoakan."

Dia segera mengunci pintu bilik dan berlalu ke arah motorsikalnya, ada dauroh. Dia berlari sambil membawa sekeping rasa bahagia membaca sms tadi yang sebahagian besarnya bukan kerana isinya, tetapi kerana nama pengirimnya.

"Ana tengah mengisi halaqoh ni. Doakan agar mad'u-mad'u ini semakin meningkat kefahamannya."
Sender : Akhi +6013xxxxxxx

"Kenapa dia cerita pada aku?" Nada protes bergema di benaknya. Tetapi di suatu tempat, entah di mana, terasa bagaikan ada hembusan lembut angin lalu. Tidak semena-mena dirinya merasa bangga kerana menjadi wanita terpilih menerima SMS tersebut.

Pagi itu telefon bimbit kesayangannya berbunyi,

 "Allah pasti membantu mereka yang memperjuangkan agama-Nya. Ukhti, jawab exam betul-betul! Ma'a At-Taufiq Wa An-Najah Fi Al-Imtihan!"

Hatinya melonjak-lonjak bahagia. "Mesti aku dapat jawab dengan mantap hari ni!" Dibacanya SMS dengan berbunga-bunga. Tetapi pengirimnya...

Sender : Ukhti +6013xxxxxxx

Senyumannya memudar. Tarikan nafas panjang. Kecewa. Bukan dari dia. Telefon bimbit berbunyi lagi.

"Semoga Allah membantu hamba-hambanya yang sentiasa memperjuangkan agama-Nya. Selamat Maju Jaya Dalam Peperiksaan."
Sender : Ikhwah +6013xxxxxxx

Dia! Sinaran mentari pagi itu kelihatan seperti warna spektrum yang indah memancar. Senyumannya mengambang lagi. Hatinya bagai bunga-bunga yang mengambang di musim semi. Mekar dan indah.

Biasa dengar?
Cerita di atas adalah corat-coret gerak hati seorang aktivis dakwah di negeri atas angin yang boleh jadi negeri yang sangat dekat dengan kita. Gerak hati yang mungkin pernah bersemayam di dada kebanyakan daripada kita juga. Mungkin ada yang sedang tertawa kecil atau tersenyum-senyum dan berbisik perlahan, "Macam cerita aku je ni," saat membacanya. (^_^)

Penggunaan kata akhi dan ukhti tadi bolehlah diubah kepada sahabat atau sahabiah, mana-mana kata yang biasa diguna dalam kehidupan seharian pembaca. Boleh juga pengirimnya adalah perempuan dan penerimanya adalah lelaki. Pokoknya ia SMS yang dihantar kepada lawan jenis.

Mari cermati bahagian akhir daripada cerita tadi. Kalimat SMS keduanya hampir sama, yang isinya mengucapkan dan mendoakan agar berjaya dalam peperiksaan. SMS yang sama tetapi menghasilkan perasaan yang amat jauh berbeza. Kerana baginya yang lebih utama itu siapa yang mengirimnya, bukan apa yang dikatanya.

Namun sebenarnya, apakah Allah itu membezakan doa antara lelaki dan perempuan? Mengapa menjadi bahagia saat dia yang berlawanan jantina yang mendoakan?

Perkara inilah yang perlu kita cermati dan lihat dari kaca mata yang benar. Terkadang kita tidak perasan dan membiarkan diri kita hanyut dalam alam luar sedar. Dengan berbekalkan alasan bahawa, "Itu hanya sebuah SMS,” atau “Alah, email je.”

Perangkap
Sedarlah, bahawa itulah perangkap syaitan. Ia menguji kita dengan menggunakan fitrah insani yang telah lama berada dalam jiwa. Fitrah ketertarikan terhadap lawan jenis.

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).
[Q.S. Ali ‘Imran, 3:14]

Apalah gunanya kita jadi bersemangat dan semakin kuat, lantaran sumber semangat dan kekuatan itu adalah sesuatu yang tidak jelas? Malah kemungkinan ia hanyalah jelas-jelas sebuah dosa. Kerana hati berbunga-bunga, menikmati sorotan nafsu di dalam jiwa. Jadilah zina hati yang membuahkan dosa.

“Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.”
[Sahih Muslim, hadis ke 2282]

Nak SMS juga?

Wahai hati, apabila engkau menginginkan SMS-SMS seperti itu, maka tanyakanlah kepada hatimu. “Apa yang aku inginkan sebenarnya? Penghargaan daripada dia atau Dia?” Lalu beristighfarlah. Sungguh, kita semua mengetahui bahawa diri kita lemah. Maka kuatkanlah dengan zikrullah.

Wahai hati, apabila tanganmu gatal untuk menaip email-email yang berkemungkinan mengundang musim bunga dalam jiwa mereka, maka pertanyakan kepada dirimu, “Bukankah masih ramai ikhwah-ikhwahku yang memerlukan kata nasihat dan pemangkin semangat?”
Lalu hantarlah SMS tersebut kepada mereka. Layarkanlah email penguat semangat kepada teman-teman seperjuangan tercinta. Itu jauh lebih diredhai-Nya, insya-Allah.

Penutup : Saat Itu Pasti Tiba

Ada saatnya. Akan ada saatnya nanti telefon bimbit kita akan berdering dengan masuknya SMS-SMS romantis. SMS-SMS yang walaupun hurufnya hitam semua, tetapi tetap ber’aura’kan merah jambu. Untuk seseorang dan dari seseorang yang telah dihalalkan untuk berbagi hidup dan segala kata cinta yang ada di dalam kamus-kamus cinta. Cinta yang bermuara kepada pencipta-Nya. Cinta dalam Cinta.

Bersabarlah untuk saat indah itu.

“Salam. Abang nak mengisi dauroh ni. Kat depan ni ada lautan bidadari bertudung labuh. Tapi tak ada secantik bidadariku di istana Baiti Jannati. Tunggu abang balik ye.”

“Salam. Jaga hati ye. Nanti saya masak sedap-sedap untuk abang.”

Ya, hanya untuk dia akan ditaip semua SMS itu. The Pinkest Short Message Services. SMS-SMS paling merah jambu!

Maal Hijrah


1432 Hijrah.
Berapa kali sudah meraikan Ma’al Hijrah?
Tahun Baru Azam Baru adalah ayat wajib pada setiap tahun. Ucapan-ucapan agar kita melakukan lebih baik pada tahun baru adalah ayat yang memang akan berkumandang.
Akhirnya itu semua boleh disimpulkan sebagai rutin.
Setiap tahun, itulah yang kita laksanakan. Baik datang Awal Muharram, mahupun 1 Januari Masihi.
Satu persoalan yang kita patut tanyakan kepada diri kita adalah, sepanjang kita melalui tahun-tahun yang baru, apakah peningkatan yang berlaku kepada diri kita?
Itu yang menjadikan kehidupan seorang mukmin bermakna.
Yang sepatutnya berlaku kepada seorang mukmin
Mukmin bukan malaikat. Mukmin adalah manusia. Mukmin juga melakukan kesilapan. Dia juga berdosa. Tetapi seorang mukmin yang sebenar tidak akan redha dengan kesilapannya. Maka setiap kali dia tersilap, setiap kali dia terjatuh, dia akan bersegera naik dari kejatuhannya. Apabila dia naik, dia akan naik lebih tinggi daripada sebelumnya.
Begitulah seterusnya.
Kerana apa?
Kerana dia tahu bahawa Allah sedang menilainya.
Dia tahu bahawa Allah memberikan cabaran kepadaNya adalah untuk menguji keimanannya.
Maka graf kita sepatunya adalah seperti di atas. Naik dan turun. Tetapi dalam bentuk yang meningkat. Bukan semakin merudum.
Persoalan, apakah tahun-tahun yang telah berlalu, graf keimanan kita sebegitu?
Belajar daripada kesilapan, jarang manusia melakukan
Benar-benar belajar dan mengambil hikmah daripada kesilapan, itu adalah perkara yang jarang manusia lakukan. Walaupun berulang kali diperingatkan.
Hal ini kerana, manusia mudah lupa akan keburukannya. Dia tidak ambil peduli dengan kesilapannya. Sangkanya esok masih ada.
Tetapi bagi mukmin, hari baru, waktu baru, adalah hadiah daripada Yang Esa. Seorang mukmin tidak sepatutnya membiarkan dirinya jatuh ke lubang yang sama berkali-kali. Sebab seorang mukmin akan peka dengan segala perkara yang membawanya dekat kepada Allah, begitulah juga dia sensitif dengan segala perkara yang menjauhkannya daripada Allah SWT.
Maka untuk membuatkan diri kita dapat melakukan peningkatan, belajar daripada kejatuhan yang telah berlaku, belajar daripada kesilapan yang telah kita laku, itu adalah antara seninya yang sebenar. Belajar daripada kesilapan orang lain juga adalah perkara yang penting.
Tetapi kita jarang memerhati dan mengambil pengajaran bukan?
Sebab itu kita asyik mengulang kesilapan kita yang sama, dan mengulang juga kesilapan yang sama yang dilakukan oleh orang sebelum kita. Menjadikan graf kita turun dan menurun.
Azam tanpa perancangan, itu omongan.
Lafaz-lafaz tahun baru yang membakar semangat, biasanya dilepaskan tanpa keseriusan. Sekadar menjadi tradisi tahunan. Akhirnya kelihatanlah awal tahun seakan membakar semangat diri menjadi raksasa yang bakal menggemparkan dunia pada tahun itu. Namun di pertengahan, yang berlaku hanyalah penurunan demi penurunan.
Seorang mukmin yang serius, akan meluahkan azamnya dengan serius juga. Serius di sini bermaksud dia sudah menjadi jurutera kepada tahun itu. Dia sudah mendesign apa yang hendak dibina pada tahun itu. Apa perkara yang hendak dicapai. Apa peningkatan yang mesti dia usahakan untuk berlaku. Apa kekuatan yang mesti dia tambah.
Seterusnya gerak kerja ke arah itu semua.
Bukan sekadar lafaz-lafazan. Lafaz-lafazan yang terlaung kemudian sebulan kemudian, apabila ditanya semula, lupa. Atau apabila ditanya semula, gerak kerjanya belum bermula.
Bagaimana hendak menumbangkan jahiliyyah jika mukmin terus bersikap demikian?
Keseriusan mengisi kehidupan kerana Allah SWT
Masa terus berlalu, waktu terus berjalan. Semua itu adalah kehidupan. Tidak akan kembali. Walau bergunung emas kita tawarkan untuk membeli sesaat, tetap tidak akan mampu menjadi ganti.
Mukmin sepatutnya paling memahami perkara ini apabila wujud sudah pesanan Allah khas akan perkara ini.
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.” Surah Al-’Asr ayat 1-2.
Rugi kerana itu semua tidak akan kembali walau apa yang dilakukan. Dan Allah mendeklarasikan bahawa yang tidak akan rugi hanyalah mereka yang beriman. Mereka yang beriman inilah yang akan menggerakkan diri mengisi masa dengan amal kebaikan. Amal kebaikan yang membawa manusia sabar menjalani kehidupan dalam ketaatan, dan memandu pula manusia lain ke arah kebenaran.
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”Surah Al-’Asr ayat 3.
Persoalannya, apakah keimanan kita berfungsi sehingga kita mampu bergerak sedemikian?
Atau tahun ini akan terbiar sebagaimana tahun-tahun yang lepas?
Jika benar serius, maka apakah bukti keseriusan?
Seperti kita serius hendak menawan kota, apakah serius itu dibuktikan dengan terus menyerang masuk tanpa perancangan, atau menyusun strategi sebaik mungkin sebelum merempuh mencapai kemenangan?
Hadiah yang kita lempar-lempar
Berapa tahun sudah ma’al hijrah? Berapa kali kita lihat poster baru ma’al hijrah dilukis tayang? Berapa banyak tazkirah ma’al hijrah kita dengar?
Setiap hari baru adalah hadiah, bagaimana kita gunakan?
Setiap bulan baru adalah anugerah, bagaimana kita manfaatkan?
Setiap tahun baru adalah masa tambah, bagaimana kita gerakkan?
Bukankah orang-orang yang membiarkan semua ini berlalu begitu sahaja, tidak melayan semua ini sebaiknya, sama sahaja dengan orang yang melempar hadiah daripada orang yang pemurah? Dan waktu bukanlah hadiah yang boleh dibeli di tepi jalan. Hanya Pemilik Waktu yang mampu memberikannya kepada kita.
Sekarang kita berada di tahap mana?
Islam sekarang berada di tahap apa?
Persoalan, apa yang kita telah lakukan?
Persoalan, apa yang kita sedang lakukan?
Persoalan, apa yang kita sudah rancang untuk lakukan?
Berikan jawapan itu kepada hati kita.
Atau kita ini hakikatnya tergolong di kalangan yang melempar hadiah Tuhan?
Penutup: Ma’al Hijrah pada saya bukan rutinan kosong.
Tidak sama 1432H dengan 1431H. Saat ini tidak sama dengan saat lepas. Hari ini tidak akan pernah sesekali sama dengan hari yang lepas. Bulan ini tidak akan pernah sama dengan bulan yang lepas. Apatah lagi setahun yang mengandungi 31104000 saat, setahun yang mengandungi 8640 jam, setahun yang mempunyai 365 hari, dan setahun yang mempunyai 12 bulan itu?
Tidak akan sesekali sama.
Maka tidak sepatutnya kita melayan Ma’al Hijrah kali ini dengan kebodohan kita yang sama juga.
Peningkatan adalah satu kewajipan sebenarnya untuk kita usahakan.
Jangan sekadar menjadikan 1 Muharram, peralihan tahun ini, satu rutinan kosong, yang kita isi perkara sama, dengan diri kita yang nampaknya sama tetapi sebenarnya, hakikatnya, merudum jatuh.
Marilah kita duduk sebentar pada 1 Muharram ini.
Berfikir, muhasabah dan melakukan perubahan.
Dipetik dan diubahsuai : http://ms.langitilahi.com/perkongsian-maal-hijrah-rutin-kosongan