Friday, January 27, 2012

Golden Rule

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

 “Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.

“Mengapa?” balas saya.

“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali.

Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji? Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, 

“kakak punya berapa orang anak?” Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan. 

“Oh ramai encik…”

“Bagaimana dengan anak-anak kakak?” Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz. 

“Kakak, boleh saya bertanya?”

“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?” 

Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”
Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya. “Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. 

Hampir berbisik. “Maksud encik?”

“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”

“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…” “Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. 

Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”

“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”

“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. 

Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”

“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.

“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…” 

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti. 

“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. 
.
Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?” 
.
Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”

“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’ 

“Pasti ada! Insya-Allah.”

“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.” 

“Subhanallah!”

“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”

“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!” 

“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”

“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.” 

“Maksud encik?” 

“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.” 

“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”
Giliran saya pula tersenyum. 

“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar. 

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”

“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. 
Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”

“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.” 

“Kenapa?” 

“Kita akan sakit jiwa!” 

“Kenapa?” 

“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.

“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”

 “Ah, kita terlalu ego…” 
Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

Sunday, December 11, 2011

Turning Point

Assalamualaikum wbt.
Ketika awal-awal bulan saya di sini, saya banyak bertemu dengan senior yang “memeluk” Islam setelah sekian lama berada dalam jahiliyah. Saya berasa pelik;
Wah, ramai ye berubah sejak datang ke sini” detik hati saya.
Tidak dapat tidak, perasaan ingin tahu saya menyala-nyala, lantas setiap kali bertemu kakak-kakak yang kembali ke pangkal jalan, jika dirasakan sudah cukup rapat, saya akan bertanya;
Akak, kenapa akak berubah ye? Sejak bila? Apa turning point hidup akak?” Soalan seorang budak yang ingin tahu.
Jawapan yang saya terima pelbagai. Bermacam-macam. Melihat perubahan mereka, saya mahu juga! Ketika awal-awal bulan pertama itu, saya mulakan proses mahu mencari kebaikan. Saya terfikir:
Apa agaknya akan jadi turning point hidup aku ye? Mesti ke kena ada 1 peristiwa yang macam tu? Kalau tiada adakah maksudnya aku tak boleh berubah?”
Saya tahu saya tidak boleh tunggu, kerana saya takut “turning point” itu tidak saya alami. Kerana itu, saya menghadiri semua kuliah agama yang ada, ceramah semua saya cuba untuk tunjuk muka. Saya pernah berusrah dengan 3 orang yang berlainan, dan setiap orang akan buat setiap minggu. Maksudnya, masa tahun pertama saya di UK, saya berusrah tiga kali seminggu. Saya dalam pemburuan mencari makna Islam.
Ya, banyak aktiviti keagamaan saya hadiri. Tetapi saya sendiri dapat merasakan sejujurnya hati saya tidak “basah”. Saya rasa sama sahaja pandangan saya terhadap Islam, tidak berubah. Saya masih tidak nampak di manakah Islam sebagai Ad-Deen itu. Saya masih tidak dapat menghayati Islam. Yang beza bila saya banyak menghadiri aktiviti agama, ilmu itu bertambah sedikit demi sedikit. Tetapi seperti saya katakan, tidak basah. Masih tidak dapat menghayati.
Allah memberi pada yang mencari.
Salah satu naqibah saya menjemput pergi ke Program Ini Sejarah Kita (ISK). Saya beri respon positif. Saya hadir dengan harapan yang sama saya letakkan pada setiap majlis ilmu yang saya hadir, semoga Allah melemparkan hidayah dalam hati saya.
Pagi itu, saya hadir, duduknya di tengah-tengah, agak hadapan. Mahu fokus yang penuh dan maksimum. Nama pun sejarah kita. Nah! Saya dihidangkan dengan sejarah Islam, sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi, sehinggalah zaman sekarang ini. Sejak Rasulullah SAW dilahirkan, berdakwah secara rahsia, terang-terangan. Baginda membina negara Islam pertama, lalu empayar Islam disambung dengan khalifah-khalifah unggul. Yang akhirnya tersungkur kerana Islam yang diamalkan tidak lagi Islam dalam hati yang disanjung.
Saya sedar juga. Wah. Selama ini saya ada tugas rupanya. Agar membantu menegakkan Islam kembali. Saudara di Palestin yang menderita, itu bukan omong kosong rupanya. Rupa-rupanya Palestin itu memang isu bersama. Rupa-rupanya Al-Aqsa itu memang harus direbutkan. Rupa-rupanya itu memang milik kita.
Itu semua memang berat untuk fikiran saya. Terasa satu pencerahan tentang satu isu besar tentang kehidupan yang selama ini hanya dianggap sebagai isu sebelah mata.
Tapi bukan itu saja. Saya ceritakan zaman jahiliyah saya bukan mahu membuka aib sendiri. Tetapi saya hanya mahu berkongsi. Malaysia sekarang dilanda arus hiburan dari Korea tidak kira perempuan mahu pun lelaki. Malangnya saya tidak terkecuali. Ketika itu saya bangga saya tahu semua berita mengenai hiburan Korea. Saya fikir, alah sembahyang juga, datang usrah juga. Oklah ni, hiburan sikit apa salahnya. Saya bangga kalau sebut apa-apa, saya sudah tahu dahulu. Boleh kira saya berada di saf hadapan (haha!). Tetapi! Semasa ISK. Ada video pendek. Dimainkan di hadapan saya. Pertengahan video itu, ada tulisan “berhala zaman moden” dengan gambar-gambar yang dimaksudkan berhala ialah artis-artis kegemaran saya. Tersentap saya seketika. Saya diam. Saya sudah tidak peduli isi video yang selepas itu. Otak saya ligat berfikir. Berhala? Korea? Saya selama ini menyembah mereka tanpa saya sedari! Saya diam. Sesi-sesi selepas itu, saya tahu dalam program ini ada sesuatu. Saya tambah fokus saya. Terus bertanya apa yang akal saya tidak dapat mencerna.
Perjalanan balik dari ISK, saya merasakan satu perasaan yang kompleks. Saya berasa diperhatikan. Saya rasa ada “sesuatu” yang melihat, dan saya tahu yang melihat itu ialah Allah. Saya rasa concsious dengan “sesuatu” yang melihat saya itu. Tiba-tiba sahaja benda ini terjadi. Ketika itu, saya rasa vulnerable. Saya rasa lemah. Saya rasa bila-bila masa saya boleh mati jika Dia mahu. Saya rasa kaki saya sangat tidak berdaya untuk melangkah. Saya rasa langit yang besar itu tiba-tiba boleh runtuh dan menghempap saya. Saya terbayang ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan tentang hari kiamat, neraka dan azabnya, yang selama ini tidak dapat saya hayati, saya rasakan ayat-ayat itu sesak mengasak dada. Sukar bernafas. Itu semua terjadi dalam perjalanan balik.
Balik ke dalam bilik, saya tenangkan hati. Saya fikir, “Wah hebat betul penangan ISK tadi”. Saya fikir perasaan ini akan reda. Sebab saya pernah juga merasa insaf tiba-tiba, tetapi bukan dalam magnitude sebegini.
Saya silap. Seminggu perasaan saya kacau bilau. Sejak itu, bila saya berjalan, saya berjalan cepat, akan lari masuk ke dalam bangunan. Kerana saya takut langit akan menghempap saya bila Dia mahu. Tetapi bila saya masuk ke dalam bangunan, saya tidak boleh duduk diam. Saya rasa bangunan itu boleh runtuh. Satu benda lain terjadi. Dulu saya duduk di Opal 2. Kiblat saya menghadap tingkap. Dan langsir memang saya selalu biarkan terbuka. Sejak saya balik dari ISK, kalau mahu solat saya kena duduk dulu 5 minit tenangkan hati, sebab kalau tidak, semasa solat kaki saya akan longlai sendiri, dan saya jatuh. Kenapa? Sebab sembahyang saya menghadap langit yang luas itu. Terutamanya malam. Saya rasa saya berhadapan betul-betul dengan yang Maha Kuasa itu. Saya rasa malaikat-malaikat semua memandang saya. Saya sangat merasakan Allah melihat saya.
Akhirnya, keadaan menjadi lebih teruk. Saya takut mahu keluar bilik. Perasaan ini terlalu berat untuk saya tanggung. Akhirnya, saya tak tahan lagi, saya bertemu salah satu naqibah saya untuk bercerita. Nampak saja mukanya air mata saya berderai. Saya ceritakan padanya. Perihal langit mahu menghempap saya. Perihal di kala solat kaki saya longlai tidak boleh berdiri. Perihal saya tiba-tiba merasakan semua ini. Perihal saya tidak peduli lagi hal-hal yang lain, yang hanya saya terfikir, kiamat, neraka, azab dan mati.
Naqibah saya. Saya speechless. Saya sangat bersyukur diberi kesempatan untuk berusrah dengannya. Dalam ketiga-tiga usrah yang saya hadiri, usrah dengannya paling menyentuh hati. Dalam pertemuan itu, dia berkata, ketakutan yang saya rasa itu, adalah ketakutan kepada Allah. Itu sepatutnya memang kita kena rasakan. Tetapi dalam masa yang sama, harapkan keampunan dariNya. Percaya Dia itu penyayang, pengampun. Perasaan itu sepatutnya diuruskan seperti apa yang diajarkanNya. Ada khauf dan raja’. Ada takut dan mengharap. Penyelesaiannya bukan lari. Tetapi taubat.
Perjalanan balik. Saya mendongak melihat langit. Saya bersyukur. Saya lega. Saya faham sekarang. Saya rasa seperti satu kelubung hitam yang selama ini menutupi 20 tahun kehidupan saya, telah diangkat. Saya rasa satu perasaan yang tidak pernah saya rasakan. Saya rasa “Islam”. Satu demi satu ilmu yang selama ini saya katakan saya tidak faham dan tidak dapat hayati, satu persatu saya terbayang dalam kepala, satu persatu semua menjadi jelas dan sempurna. Sempurna setelah saya faham Islam. Benarlah, tahu dan faham itu lain. Tahu Allah itu Maha Besar, tidak sama dengan faham Allah itu Maha Besar.
Hanya kesyukuran dapat saya panjatkan, setelah Allah beri kefahaman Islam.
Oh cerita berhala tak habis lagi. Alhamdulillah, berhala-berhala itu semua sudah lama saya tinggalkan. Korea? Saya tidak minat, saya tidak tahu. Malahan jelik mendengarnya.
Kesimpulan.
Saya bukanlah mahu berkata jalan saya ini harus atau akan ditempuhi semua orang. Tetapi hidayah Allah itu perlu dicari. Bayangkan jika kita mahu ke Kota Marudu. Mahu menumpang kereta, tetapi berdiri di jalan yang arahnya ke Lawas. Sampai bila tiada yang mahu menumpangkan. Mahu mencari hidayah, cari di tempat yang betul. Cari di majlis ilmu. Jangan cari di tempat maksiat bercampur gaul lelaki perempuan dengan bebasnya tanpa batasan.
Saya tidak katakan semua orang akan berjumpa turning point ini. Saya sendiri tidak tahu adakah semua orang akan mengalaminya. Satu tahap di mana kita sendiri menyanjung tinggi Allah di dalam hati. Saya tidak katakan juga anda akan bertemu hidayah di ISK seperti saya, itu rezeki saya, yang Allah susunkan untuk saya. Yang saya boleh cakap hanyalah, harap, harap dan sentiasa berharap yang Allah akan beri kita hidayah, tidak kiralah dalam apa jua keadaan. Oleh itu jika ada aktiviti keagamaan, lapangkan waktu dan beri kesempatan. Setiap kali ke majlis ilmu, lapangkan dada selapang-lapangnya. Terima ilmu itu, cuba untuk faham dan fokus. Kita tidak tahu bagaimana Allah mahu memberi hidayah.
“Hidayah itu umpama bilik yang tertutup, kita harus berusaha untuk membuka. Hidayah juga seperti air hujan, yang jika kita mahukan perlu ditadah bukan hanya termengadah”
Namun, kita juga harus berdoa, agar hidayah yang diberi Allah itu, tidak ditarik semula. Sebab itu doa kita harus bergandingan.
“Ya Allah, Kau berikanlah aku taufiq dan hidayah”
“Ya Allah, kau berikanlah aku petunjuk dan kekuatan”
Doa agar diberi kekuatan untuk terus tsabat atas jalanNya. Dan doa juga agar Dia tidak menarik kembali hidayah yang telah Dia campak ke dalam hati kita.
Banyak benda kita harus berdoa. Doa itu senjata orang mukmin.
Wallahualam bissawab.
* diedit dr sebuah blog..=)

Tuesday, September 27, 2011

Jika Cinta, Apa Buktinya?

Ya, kita ‘tahu’ kita perlu mencintai Allah SWT. Tapi adakah kita ‘faham’ dan ‘jelas’ samada kita sudahpun mencintai Allah SWT ataupun belum? Apakah bukti kita mencintai Allah SWT? Mari ikuti ‘checklist’ berikut untuk mengenalpasti sejauh mana kita meletakkan Allah SWT menempati cinta paling utama di hati kita.

1. Segera Menyahut Call Daripada-Nya.
“Allahu akbar! Allahu akbar!” Allah SWT memanggil. Tika itu kita sedang asyik menonton rancangan kegemaran. Apa selalunya reaksi kita pada panggilan-Nya?

“Di atas nama cinta pada yang selayaknya…kunafikan yang fana…” Melodi handphone pula berirama. Tika itu kita sedang sibuk studi sebab esok final exam. Kita tangguhkan atau kita segera mengangkatnya? 
Bukti cinta, letakkanlah Kekasih Agung sebagai prioriti. Letakkan keinginan kita sama dengan keinginan Kekasih, tidak bertentangan. Jika Allah SWT ingin berjumpa, tunjukkanlah kita juga ingin berjumpa Allah SWT. Malah, apa yang kita inginkan pun ditanya kepada Allah, bukan berasal daripada diri kita sendiri.Misalnya, keinginan memilih pakaian. Wajarkah orang yang cinta kepada Allah SWT berkata begini: “Aku tak nak pakai tudung ke, nak pakai jeans ke, tak pakai apa-apa ke, suka hati akulah.” Sudahkah ditanya kepada Allah SWT, pakaian bagaimanakah yang Allah SWT suka? Jika Allah SWT diletakkan sebagai kekasih, tentulah kesukaan-Nya yang akan kita utamakan.

Orang yang egois, suka dirinya disanjung dan dipuja tapi tidak suka menyanjung dan memuja. Dia mahukan Allah SWT mengikuti keinginannya tetapi dia tak suka mengikuti keinginan Allah SWT, enggan melakukan apa yang Allah suruh. Benarkah kita cinta kepada Allah SWT tatkala kita memaksa Dia memakbulkan doa-doa kita sedangkan hidup seharian kita asyik bergelumang dosa tanpa taubat?

2.  Memberi Perhatian Kepada SMS dan Email Daripada Allah.
Kecintaan Rasulullah SAW dan para sahabat nampak jelas buktinya apabila mereka sangat cintakan al-Quran. Al-Quran itulah SMS dan Email daripada Allah SWT supaya kita perhatikan selalu.
Generasi awal membudayakan al-Quran dalam hidup seharian. Apabila saling bertemu, mereka suka minta dibacakan al-Quran untuknya.

Rasulullah SAW pernah meminta Ibnu Abbas membacakan al-Quran untuknya. Kata baginda,  “Bacakan al-Quran kepadaku.”

Ibnu Abbas lalu membaca sehingga ke surah An-Nisa’:  ayat 41. Rasulullah SAW minta dicukupkan kerana tidak tahan menanggung air mata sebak. (Rujuk HR BukhariMuslim).

Suatu malam, Rasulullah SAW melewati rumah Abu Musa al-Asya’ri yang sedang membaca al-Quran dalam solat malam, Rasulullah terus terpegun dan menangis. (HR BukhariMuslim).

Suatu saat Abu Musa al-Asya’ri datang kepada Umar. Umar berkata, ”Ingatkan kami kepada Tuhan kami.” Lalu al-Quran dibacakan. Umarpun menangis.
            
Jadi, jika benar kita cintakan Allah, cintailah juga kalam-Nya. Ajaklah kawan-kawan kita membudayakan al-Quran. Biar al-Quran menjadi perbualan harian dan mimpi malam kita. Jadikan kerinduan menatap al-Quran lebih mendalam daripada kerinduan menatap sms, email dan facebook.

3. Memandang MMS-Nya Selalu.

Memandang MMS Allah? Aik, macam mana tu? Ya, kita tidak dapat memandang zat Allah yang Maha Tinggi di dunia. Namun, kita masih boleh memandang ‘kebesaran-Nya’.

Allah SWT sudah hantar MMS pada kita. Lihatlah pesona alam yang menghijau, lihatlah gumpalan awan yang memukau, lihatlah gelora laut yang membiru dan lihatlah kehidupan yang penuh ranjau. Semuanya membentangkan sifat-sifat Allah SWT yang Maha Agung, Maha Pencipta, Maha Bijaksana, Maha Pengasih dan Penyayang. Semakin direnung, semakin diri terasa kerdil. Tatkala diri terasa kerdil, akan timbul rasa pergantungan pada Yang Maha Besar. Tika rasa ingin memandang-Nya makin kerap menjengah hati, ia suatu bukti kita semakin cinta kepada Ilahi.

4. Malu-malu Saat Dating dengan-Nya.

Anda pernah bertembung mata dengan seseorang yang dikagumi agama dan akhlaknya? Rasa malu tak? Biasanya, hanya terdaya memandang sepintas lalu sahaja.

Anda pernah dirisik atau bertunang? Bagaimana perasaan saat direnung bakal ibu mertua?  Hmm, rasa ingin tunduk sampai mencium lantai, kan?

 Bagaimana pula saat berhadapan dengan ‘orang besar’ atau Raja? Sanggupkah kita membiarkan mata melilau ke mana sahaja? Sudah tentu kita memfokuskan perhatian kepadanya dengan kepala yang sedikit menunduk. Betul tak? Kenapa? Kerana dorongan rasa malu dan kerana kita meletakkan mulia pada kedudukan orang yang memandang kita itu. Allah SWT pernah memuji kesempurnaan adab kekasih-Nya, Muhammad SAW pada malam israk mi’raj. 

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Penglihatanya (Muhammad) tidak berpaling (fokus) dari yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya (tidak memandang dengan tajam).” (An-Najm: 17).

Bukankah saat solat itu adalah saat kita dating malah kadang kala itulah saat kita berkhalwat dengan Allah SWT? Jika benar kita cintakan Allah SWT, buktikan dengan menjaga adab memandang di dalam solat. Rasulullah SAW melarang kita solat sambil memandang ke atas. Berdiri di hadapan Allah SWT, kita mestilah berdiri tegap, menundukkan kepala dan memfokuskan pandangan ke tempat sujud. Hakikatnya, Allah SWT bukan sahaja memandang kita di dalam solat, bahkan setiap saat. Sama-samalah kita menjaga rasa malu pada-Nya sebagai bukti kita cintakan Dia.

5. Sentiasa rindu dan ingat pada -Nya.

Wujudkah cinta tanpa rindu? Jika benar kita mencintai Allah SWT sebagai cinta agung, Dialah yang sepatutnya paling kita rindui. Bagaimana merindui suatu yang kita tidak tahu zat-Nya? Bersabar dan berharaplah saat-saat indah dapat menatap wajah-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Barangsiapa rindu dan berharap pertemuan dengan Allah,
maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang.” (Al-Ankabut: 5).

Rindu pada Allah SWT terubat seketika apabila kita menghadiri majlis ilmu yang mentauhidkan Allah SWT. Rindu pada Allah SWT juga terbias pada rindukan al-Quran, rindukan tahajjud, rindukan orang-orang soleh dan rindukan kebenaran.

6. Banyak Menyebut-nyebut Nama-Nya.

Apakah topik perbualan harian kita dengan kawan-kawan? Soal artis? Soal drama TV? Soal pelajaran? Soal si dia?
Kalau kita cintakan Allah SWT, apa kata,  kita sama-sama jadikan Allah SWT sebagai perbualan harian. Ingin berbicara topik apa sahaja, pastikan Allah tidak lekang di bibir dan dikaitkan bersama. Mudah sahaja, contohnya:

“Alhamdulillah, Allah izin saya dapat juga A- dalam subjek ni.”
“Dia sedang mengumpat saya! Tak mengapalah, Allah ada. Allah akan bela saya.”
Selalunya, dalam kesusahan, atau tika ditimpa bahaya sahaja, orang mudah kembali ingat pada Allah SWT. Beruntunglah orang yang sering mengingati Allah SWT di saat senang, nescaya Allah SWT akan mengingatinya di saat susah.

Ingatan pada Allah SWT terzahir juga pada banyaknya zikir. Ada 4 tingkat zikir menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
1) Tertinggi: Berzikir dengan lidah dan hati yang sama-sama merasai. Hati lebih-lebih lagi menikmati.
2) Berzikir dengan lidah dan hati tapi tidak merasai.
3) Berzikir dengan hati sahaja, sekadar ingat bukan merasai.
4) Berzikir dengan lidah sahaja, hatinya lalai.

Samada zikir kita di tingkat pertama atau keempat, Allah SWT tidak akan mempersiakan setiap zikir hamba-Nya ini melainkan diberikan pahala. Begitulah Allah SWT menghargai setiap rindu dan ingatan kita pada-Nya. Adakah kita juga menghargai Dia?

7.Bersabar dengan Ujian Allah

Lumrah cinta akan ada ujian. Ujian itu bagi mengenalpasti setakat mana dalamnya cinta. Kadangkala kita melalui beratnya ujian, tidak tertanggung rasanya. Ketahuilah, seberat manapun ujian kita, kita tidak pernah diuji supaya menyembelih anak sendiri atau meninggalkan insan tercinta di padang sahara. Kita juga belum lagi diuji dengan lemparan batu, sanak-saudara memboikot dan membenci atau berperang menentang musuh.

Ujian-ujian yang besar ini menjadikan para Nabi istimewa di mata Ilahi. Jadi, kalau benar kita cinta pada-Nya, usah mengharapkan hidup tanpa ujian. Usah juga meminta-minta ujian yang lebih besar . Berdoalah agar diberi kekuatan menghadapi apa jua ujian dari-Nya. Dia lebih tahu ujian mana yang layak bagi kita. Apa yang perlu diingat, Allah SWT sengaja menguji kita untuk mengenal dan membuktikan siapa yang lebih mencintai Dia.

8.Mencintai Segala Sesuatu yang Berkait dengan Allah.
Jika sudah terpikat, melihat atap kolej si diapun sudah mengubat. Apa-apa sahaja yang ada kaitan dengannya memberi rasa debaran di dada. Malah, perkara yang ada kaitan itupun terasa istimewa. Begitulah lumrah cinta.

Apakah pula bukti kita terpikat pada cinta Allah SWT?  Sudah tentu apabila kita mencintai sesuatu yang ada kaitan dengan-Nya, itu bukti kita ingin lebih akrab dengan-Nya. Contohnya kerinduan muslim kepada Kaabah kerana Kaabah adalah baitullah (Rumah Allah). Maka, Kaabah juga dirasakan istimewa. Itu suatu bukti cinta.

Jika masih belum mampu meluah rindu di Kaabah, manfaatkan rumah-rumah Allah yang berhampiran kita. Jangan biarkan masjid dan surau sunyi tanpa kunjungan para pencinta. Buktikanlah cinta kita pada-Nya.

9.Luapan Perasaan Luar Biasa Saat Berhubungan dengan Allah. (Khusyuk).

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sungguh, orang-orang yang beriman ialah apabila disebut nama Allah, akan gementar hati mereka, bila dibacakan ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya, dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakkal.”(Al-anfal:2).

Mendapat khusyuk amat sukar. Namun kita masih mampu berusaha mendapatkannya. Semoga amalan kita tika ini lebih baik daripada yang tadi. Sentiasa lakukan yang lebih baik untuk mencapai yang terbaik.

10. Cemburu

Cemburu dan cinta tidak dapat dipisahkan. Tanda cinta kepada Allah SWT, kita akan cemburu apabila ada orang yang lebih mencintai kekasih kita hingga kekasih kita juga lebih cinta kepadanya. Ianya cemburu yang positif bukan cemburu yang dibiarkan bertukar menjadi fitnah.

Cemburulah kepada orang yang lebih berilmu, ulama’, dan orang yang lebih banyak beramal. Bukan cemburu kosong tapi dalam rangka untuk mencontohi mereka. Dalam solat pula, cemburulah kepada orang yang solatnya lebih awal waktu, dapat berjemaah, dan solatnya lebih khusyuk kerana dia lebih mendapat perhatian Allah SWT ketika itu.

11. Berusaha keras meraih redha Allah.

Seterusnya, bukti kita mencintai Allah SWT ialah apabila kita sanggup melakukan apa sahaja demi menggapai redha Allah SWT. Ada 3 kondisi pencinta menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:

            1)Berat hati untuk mencintai namun dia memaksakan diri.
            2)Cinta makin menguat dan dia patuh.
            3)Cinta menetap di hati dan dia sanggup mengorbankan apa sahaja.

Cinta kita kepada Allah di tahap mana? Apapun tahapnya, mulai saat ini, buktikanlah kepada Allah SWT, kita sangat cinta pada-Nya. Jom!