Sunday, January 16, 2011

Enta, Enti, Kita Sahabat Baik

Enta kan sahabat baik ana..."

Majdi angguk.

"Jangan tinggalkan ana ok?"

Majdi tersenyum.

****
Hujan di luar rintis-rintis. Bergabung bersama embun malam yang sedia sejuk.

Majdi menghembus nafas. Termenung. Perkataan 'sahabat baik' berlegar di kepalanya.

Memang sahabat baik. Tapi dia, seorang Zainah. Yang mana: Saya, enta. Dan kamu, enti.

Dan hari-hari yang berlalu. Dan dengan telinga yang semakin mendengar. Dan bersama mata yang terus membaca. Hati ingin terus berubah.

Hanzalah memerhati.

"Apa termenung bro?"

"Tak ada apa.."

Majdi jawab segan-segan.

" 'Dia' yang kamu tunggu, adalah kamu sendiri.."

Majdi mengangkat kening.

"Maksudnya?"

"Kamu yang menyunting dan gubah bunga yang kamu mahukan.."

Majdi sayang akan Zainah. Dia tak mahu sahabatnya itu menangis. Dia kenal akan sahabatnya yang amat memerlukannya. Yang selalu mengadu masalah padanya. Yang selalu bersama berkongsi cerita.

But she is still she. Still ustazah and not ustaz.

"Jom malam ni?"

"Ke mana?"

"Forum pembangunan Islam.."

Hanzalah tersenyum.

****
"Kenapa enta macam lain je?"

"Erm, tak ada apa. Ok je.."

"Ana tanya, jawab sepatah-sepatah je.."

"Tak ada apa Zainah. I'm ok je, dun worry :) "

****


"Saya pelik dengan remaja sekarang.. Terutama dengan yang Ustaz dan Ustazah.."

Ustaz Zahazan memulakan bicara forum.

"Mereka mengajak orang berbuat kebaikan.. tapi ada yang diorang sendiri tak buat.."

Semua khuyuk mendengar.

"Di neraka, nanti ada orang yang disiksa dengan amat teruk.. sehingga ahli neraka hairan dan bertanya kepadanya kenapa dia disiksa begitu. Malah mereka pelik, 'bukankah kamu dahulu mengajak kami ke arah kebaikan'?"

Sungguh, mereka adalah orang yang menyuruh berbuat kebaikan, tetapi tidak melakukan.."

Tenang Imam Muda Asyraf menasihati.

"Jadilah mujahid dan mujahidah Islam yang sebenar.."

Di satu sudut, air mata seorang muslimah sudah mengalir.

Zainah tertunduk.

 ****
"Orang call tak angkat.."

"Tak sengaja lah.."

"Dia tak sengaja tak apa, kita tak sengaja tak boleh.."

Majdi buat merajuk.

Zainah ketawa.

"Bukan selalu.."

"Ye lah. Wslm.."

"Majdi!!"

" :) "

 ****
Majdi menghempaskan badannya ke katil. Meletakkan tangannya di kepala.

Tersenyum.

"Nak message Zainah lah.."

Majdi bangun, ingin mengambil handphone di atas meja. Terpandang sahih Muslim yang diletakkan di tepi handphonenya.

Dia menyelak..

Telah berkata Hanzalah r.a : Aku bertemu Abu Bakar as-Siddiq lalu Abu Bakar bertanya

Abu Bakar : bagaimana kamu wahai Hanzalah?"

Jawab Hanzalah : Aku telah jatuh munafiq! :

Abu Bakar : Mahasuci Allah, apa yang kamu katakan ini?.

Jawab Hanzalah : Kita bersama rasulullah s.a.w mengingatkan kita berkenaan neraka dan syurga sehingga seolah-olah kami melihatnya di hadapan mata, namun apabila kami keluar dari majlisnya kami bermain-main mesra dengan anak kami dan isteri kami, dan kami telah lupa banyak yang kami pelajari...

Maka berkata Abu Bakar : aku juga begitu. Lalu kami pergi bertemu RasuluLlah saw.

Setelah bertemu aku berkata : Hanzalah telah menjadi munafiq.

Lalu RasuluLlah saw bertanya : kenapa (kamu berkata) begitu ?.

Lalu aku menjelaskan : Sesungguhnya kami bersama Rasulullah s.a.w mengingatkan kami tentang syurga dan neraka seolah kami melihatnya di hadapan kami namun apabila kami keluar dari majlisnya kami bermain-main mesra dengan anak kami dan isteri kami, dan kami sesungguhnya telah lupa banyak dari yang dipelajari.

Lalu RasuluLlah saw bersabda : Jika sekiranya kamu ini kekal begitu (insaf dan takut semasa pengajaranku) dan sentiasa dalam zikir mu maka kamu akan bersalaman dengan para malaikat di tempat tidur mu dan di jalan-jalan kamu akan tetapi satu masa (untuk ibadat) dan satu masa (untuk melakukan perkara lain) - RasuluLlah saw mengulang 3 kali.

(Riwayat Muslim)

Majdi sebak. Ini Hanzalah, sahabat nabi. Sedangkan diri mereka yang hebat merasakan dirinya munafiq hanya kerana bermesra dengan anak dan isteri yang halal.

Aku?

Air matanya mula mengalir. Kali kedua selepas forum tadi.

Bukankah tadi kamu merasakan seakan sudah di tepian neraka Majdi? Apa guna tangisanmu?

Hanzalah masuk. Pelik memerhatikan sahabatnya yang sedang menangis.

"Kenapa ni Majdi?"

Majdi melangut.

"Hanzalah, aku amat berharap malaikat akan turun bersalaman denganku.."

 ****
Hujan sudah reda. Lampu-lampu perang memancar perlahan menemani malam.

Zainah merenung luar tingkap, mengambil angin malam yang menyejukkan.

Hatinya benar-benar lembut sekarang. Terasa murah dengan tangisan. Forum sebentar tadi ibarat bayu yang menyampaikan salam. Salam hidayah ke hati.

Dia mahu menjadi pejuang Islam. Dan bukankah tanggungjwab sebagai seorang mujahidah itu amat besar? Sebesar pengorbanan.

Nekad.

"Salam, free x? Nak cakap sket.."

Inbox keluar. Zainah. Majdi tersenyum bersahaja.

"Wslm, yup. Silakan.."

"Ana tak tahu nak cakap macamna. Macam mana ya? Erm, perasan tak bila kita selalu message-message, kadang-kadang call.. Perasan tak sepatutnya semua tu berlaku? Hmm.. ana nak calon suami ana yang jaga muamalatnya. Tapi camna ana nak dapat mcm tu kalo ana pun x jaga muamalat? hmm.. banyak benda malam ni yang buat ana menyesal. Ana tak menyesal jadikan enta sahabat baik ana. Tapi kita yang tersilap langkah. Betul tada rasa antara kita. Ana dan enta tada perasaan antara satu sama lain. tapi itu bukan tiket untuk kita selalu message, gurau.. ana selalu cakap pada diri..

'majdi sahabat aku. 'Tada salah untuk berhubung dengan dia sebab kami bukannya ada rasa apa-apa'.

Tapi ana silap.. Ana nak jadi baik, sebab ana nak dapat suami yang baik. Ana nak enta jadi baik supaya enta dapat isteri yang baik. maybe pasni kita da tak yah message yang mengarut dah. Ana menyesal dengan semua yang ana lalui.. ana nak minta maaf pada enta, kalau-kalau selama ni ana wat enta terlalai or apa-apa la.. mohon Allah ampunkan ana.. Mohon Allah jaga kita.. doakan ana.. Syukran suma2.. ana nak berubah.."

Majdi diam. Menatap setiap huruf.

"Tak salah kan kalau ana reply?..."

Hujan kembali rintis di luar.

"Tak.."

Zainah menunggu.

"Maha suci Allah yang menjadikan malam ni untuk kita. Untuk ana, juga untuk enti. Allah benar-benar bantu bila kita mahu berubah kan? Sebelum ni enti pernah tanya, "Majdi, enta macam lain sikit je.." "Kenapa macam acuh tak acuh je dengan ana.." Sebab ana rasa apa yang enti rasa sekarang, Zainah. Tapi ana sayangkan enti sebagai seorang sahabat. Ana nak enti lupakan ana perlahan-lahan. Ana tak nak tinggalkan enti tiba-tiba. Ana tak nak enti menangis. Dan ana takut, seandainya satu hari nanti, ana akan rindukan dan amat rindukan enti. Ana juga benar-benar nak berubah. Sekarang, kita sama-sama berubah ya? Semoga Allah menjaga enti selalu. Semoga Allah menjaga hati kita sentiasa. teruskan menjadi wanita solehah ya.."

Tenang. Setenang hujan di luar.

"Allah.. terima kasih ya Allah.. Terima kasih juga Majdi.. Ana sebelum ni masih keliru. takut enta tinggalkan ana. benar-benar tak nak enta tinggalkan ana. Tapi kita punya tanggungjawab besar. bagaimana mahu menyeru pada kebaikan sedangkan kita bergelumang noda. Ana benar-benar mahu berubah. Moga Allah jaga ana, enta, dan sahabat semua. Terima kasih untuk semua-semua. Segala nasihat, dan perhatian enta, segala-galanya.. Wslm."

Majdi tersenyum. Walau syahdu.

Zainah menangis. Walau pedih.

Redha Allah lebih penting.

Bukankah sahabat yang baik itu membawa ke jalan menuju Allah?


****
Epilog:

Umar bin Abdul 'Aziz.

'Umar pernah jatuh cinta pada seorang gadis. Hanya Fathimah binti 'Abdul Malik, sang isteri bidadari hati yang belum mengizinkan 'Umar menikahi gadis itu.

Namun cinta itu tetap ada.

Kemudian hari itu datang menghampiri. Di puncak pengorbanan yang harus diberikan Umar. Untuk diri, rakyat, dan negerinya.

Walau dirinya sendiri tanpa rehat. Tanpa ruang sedikit walau untuk sekadar tertawa.

Saat Umar bertanya.

"Bagaimana keadaan kaum muslimin hari ini?"

Muzahim, si Perdana Menteri tersenyum.

"Semua kaum muslimin dalam keadaan sangat baik wahai Amirul Mukminin. Kecuali saya, anda, dan baghal anda ini.."

Ditumpukan segalanya hanya untuk perjuangan.

Fathimah amat merindukan senyum sang suami. Lalu dibawanya sang gadis yang dicintai 'Umar untuk dinikahi.

Gadis yang amat dicintainya, begitu juga sebaliknya pada sang gadis.

Nyala cinta itu kembali. Meronakan harapan. Mewarnakan hati yang sebelumnya lelah.

Namun, di sinilah cinta semasa dan cita besar perubahan bertemu dan bertarung. Di perlantaran hati sang khalifah.

Ajaib, 'Umar menikahkan gadis tersebut dengan pemuda lain.

Kata Ustaz Anis Matta. Tak ada cinta yang mati di sini.

Sebelum meninggalkan kediaman 'Umar, gadis itu bertanya sendu.

" 'Umar, dulu kau pernah sangat mncintaiku. Tapi kemanakah cinta itu sekarang?"

'Umar bergetar haru. Ada sesak di dadanya.

"Cinta itu tetap ada.."

"Bahkan kini rasanya jauh lebih mendalam..."

(Dipetik dari buku Agar bidadari cemburu padamu- Salim A. Fillah)

 ****
Bukankah sahabat yang baik itu mengajak ke arah Syurga dan bersama menjauhi neraka?

Friday, January 14, 2011

Malas Jaga Ikhtilat Elak Zina Hati?

Baru-baru ini, sahabat kesayangan meminta pendapat saya berkenaan persoalan dari seseorang. Mari kita lihat kepada persoalan yang diutarakn, 'lebih baik bergaul selamba dengan laki (mcm kawan kita yang biasa bergaul) daripada asyik mejaga hati sehingga timbulnya penyakit hati spt terminat dengan kesolehan/kebaikan seseorang muslimin itu? Kadang-kadang orang yang berfikrah lebih teruk zina hatinya dari yang tal berfikrah”

Maka, dengan itu, izinkan saya bertanyakan satu persoalan:

1)  perlukah bergaul dengan lelaki-lelaki (kawan-kawan) andai tiada kepentingan disitu?

Perlukah?

Perlu difahami kepentingan itu maksudnya yang bagaimana. Kalau sekadar bersembang kosong di laman FB, saling alert dengan notification, ketawa-ketawa dan bergurau senda, maka saya tak rasa ada kepentingan disitu. Samalah juga halnya jika duduk lepak di kafe, bersembang-sembang dengan kawan-kawan lelaki dan perempuan tanpa ada hala tujunya. Disitu kita ada pilihan, sama ada untuk pergi atau terus-menerus duduk berbual kosong sebegitu.

Jika ada yang kata ‘ingin berdakwah dengan mereka’ (yang bukan sejantina ya maksud saya) sila lupakan niat kamu yang sebegitu.  Saya lebih galakkan agar kamu berdoa, moga Allah menggerakkan hati sesiapa sahaja yang sejantina dengannya untuk membimbingnya. Yakinlah, doa kamu tidak akan sia-sia.  Allah pasti akan kabulkan permintaan dari hati orang yang tulus berdoa untuk kebaikan orang lain. Itu pun andai orang yang didoakan itu memang benar-benar  kuat kesungguhan hatinya untuk mengislahkan dirinya. Percayalah, orang-orang yang baik, pasti akan Allah temukan mereka dengan kawan-kawan yang baik dan soleh juga.

Jangan tertipu.

Aduh, ini agak parah. Buat kamu si muslimah solehah yang kuat berdakwah dan tajam fikrahnya, sila jangan tertipu dengan orang lelaki yang mengaku kawan kamu, dan menginginkan kamu untuk mendidiknya. Dalam ayat yang lebih senang, mahukan kamu utk terus-menerus berdakwah dengannya. Nah tengok, permulaannya adalah mengaku 'kawan'..... Permulaannya adalah  ’aku kawan dia, aku nak berdakwah dengan dia, dia pun cuma boleh masuk and terima nasihat aku sorang je’  Ceh, tipu! Dusta semata. Yang sebenarnya dah nampak sangat si lelaki memang ada hati dengan his so-called friend itu. Dan percayalah, syaitan yang sangat licik dan halus tipu dayanya itu akan mengambil peluang dengan mencampakkan pelbagai jenis perasaan dalam hati kalian berdua. Elok-elok niat nak berdakwah terus jadi lain ceritanya.

Hati kita bagaimana?


2) " bila kita terlalu asyik menjaga hati,  takut timbul masalah hati seperti terminat dengan kesolehan muslimmin?" Begitu? 

Kita memang dituntut untuk menjaga kesucian hati. ‘Lagi-lagi jaga hati. Lagi-lagi jaga hati! Aku kalau jumpa budak-budak geng-geng malaikat nih, mesti diorang pesan suruh jaga hati. Sana sini jaga hati je! Ya, mungkin ada yang sampai naik rimas jika dipesan begitu. Apa sibuk sangat nak jaga hati ni?!’

Kerana apa? Kerana hati lah tempat pertama yang akan dilihat dan dinilai Allah. Jika kita terlalu asyik dengan penjagaan hati, bukankah itu tanda sensitiviti kita terhadap kebersihan hati kita. Dan itu juga semestinya satu jihad buat kita. Bayangkan orang yang terlalu menjaga hatinya (andaikan dia adalah muslimah), jika ternampak lelaki yang handsome, agak2 kita, apa yang akan terjadi?

"masya Allah hensemnya dia subhanallah! Eh apa aku ni! Astaghfirullah ampunkan aku ya Allah, bantulah aku dalam menjaga hatiku agar kekal hatiku bersih ya Allah"

Lihat. Kerana terlalu peka dalam menjaga hatinya, dia cepat-cepat memohon ampuanNYA dengan istighfar. Dia mahu hatinya kekal bersih . Kita yakin dia tidak lah sampai ke tahap membayangkan yang bukan-bukan terhadap lelaki itu (boleh je kalau dia nak tapi, perempuan, lebih-lebih lagi muslimat yang ditarbiyyah tidak akan begitu). Tetapi sebaliknya, apa tindakannya? Cepat-cepat  dia bersegera dalam menundukkan pandangan dan menutup segala macam lubang-lubang maksiat yang lain. Tiada ruang langsung dibuka untuk membiarkan perasaan nya (nafsunya) dibuai-dibuai dengan rasa terpesona melihat kesempurnaan wajah sang adam.  Saya ulangi, bukankah itu satu jihad? Jihad melawan nafsu (perasaan) itulah jihad yang paling besar. Nafsu dalam diri kita bersamaan dengan 70 ekor syaitan. Itu lah namanya menjaga hati. Mujahadah. Dan mujahadah itu memang bukan senang. Kalau senang, tidak akan sesekali ia dinamakan mujahadah.

Allah Maha Tahu betapa peritnya mujahadah itu sebenrnya. Agak-agak kita kan, bagaimana agaknya Allah bisa tahu? Pastilah kerana DIA yang menciptakan kita. Maka seharusnya memang menjadi satu kemestian untuk DIA Yang Maha Berkuasa itu tahu betapa susah bagi kita untuk melawan nafsu dan mengawal fitrah kita. Maka kerana itu jihad melawan nafsu itulah jihad yang paling terbesar. Betapa Allah menyediakan ganjaran yang besar utk itu.

Hati kita, siapa yang pegang?

Yang ketiga, persoalan terminat pada muslimin. Kita sedia tahu bukan, segala apa yang kita rasa ini, hadirnya dari siapa. Kita sedia maklum bukan, segala perasaan kita terhadap seseuatu dan terhadap seseorang, didatangkan oleh siapa.

Ya, Allah yang hadirkan perasan itu. Dia yang Maha Membolak-balikkan hati itu tidak menghadirkan perasaan itu dengan suka-suka dan sia-sia. Dan  Allah juga menghadirkan perasaan sedemikian bukanlah dengan tujuan supaya nanti kita boleh kata,

"eh kau apa tahu. Aku cintakan dia nih sebab Allah tau yang hadirkan perasaan ni.[1]  Kitorang saling bercinta saling couple, berkasih sayang ni, sebab Allah tau yang hadirkan perasaan ni kat kitorang. Kan ke Allah tu Pemilik Hati?[2]"

[1] Itu betul. Rasa cinta, minat atau sekadar suka itu satu fitrah.
[2] ini yang tidak betul. Melayan perasaan (nafsu) dan menjadikan Allah sebagai alasan.

Allah Maha tahu andai kita terminat akan seseorang muslimin, kita akan merasakan betapa kotornya hati kita. Justeru, kita akan tingkatkan mujahadah kita, sedaya upaya mengawal perasaan itu. Sedaya upaya menyembunyikan perasaan itu dari diketahui orang lain lebih-lebih lagi empunya diri yang diminati. Dan mungkin juga Allah sengaja mencampakkan perasaan sedemikian, agar kita kecewa. Kenapa saya kata begini?

Ubat kecewa adalah kembali kepada Allah.
Saya berkata begini kerana boleh jadi, muslimin yang kita minati itu telahpun berpunya. Andai kita di tempat muslimat yang meminati muslimin itu, bayangkan bagaimana perasaan kita? Pastilah hancur dan luluh! Kemungkinan besar, tangisan itu pasti terluah juga. Dan bukankah manusia itu hanya akan lebih mengingati Allah saat dia kesedihan? Bukankah manusia itu begitu sifatnya? Di saat-saat begitu lah dia akan meletakkan sepenuh-penuh pergantungan dan kepercayaan kepada Allah, dan lebih menghampirkan diri kepada Allah. Agak-agak kita lah, apa kesan dan konsekuensi dari kekecewaan melampau begitu? Ya, cintanya terhadap Allah Yang Maha Sempurna akan bertambah dengan lebih hebat! Masakan tidak? Dia sudah menjadi semakin hampir dengan Allah, pasti cinta kpd Allah itu akan bertambah. Bila cinta dengan Allah telah bertambah, automatik pekerjaannya setiap saat menjadi ibadah. Masakan tidak? Setiap kerja yang dibuatnya diiringi dengan niat yang baik untuk Islam semata dan semestinya ditemani zikrullah. Maka dengan itu, pasti keimanan akan bertambah!

Oh, rupanya Allah sengaja mencarikan dia asbab untuk mengangkat darjatnya ke tempat yang lebih tinggi. Masya Allah Maha Baiknya Allah! Allah yang mencarikan kita peluang untuk menghapuskan dosa-dosa menggunung kita dengan memberikan kita sakit, dan juga kesedihan. Dan Dia menunggu peluang untuk mengangkat darjat kita bilamana kita bersabar. Dia Maha Pemberi. Allah yang tidak sabar-sabar untuk mengurniakan sesuatu buat kita. Betapa Dia terlalu Maha Mengasihi kita. Itulah Allah, yang setiap saat mencintai kita, y ang setiap saat mengasihi dan mengawasi kita. Yang terlalu inginkan kebaikan buat kita, hambaNYA ini.

Orang berfikrah lebih teruk diuji.

Persoalan yang keempat, orang berfikrah lebih teruk zina hatinya berbanding orang biasa. Bagi diri saya yang terlalu lemah dan teramat hina tida punya apa ini, cukuplah andai kata-kata ini yang sentiasa menjadi ingatan.

‘semakin tinggi thaqofah (kefahaman dalam agama) kita, semakin hebat dan dahsyat ujian Allah dah tersedia di hadapan kita’

Satu kepastian andai masalah hati bagi mereka yang bergelar pejuang Allah itu lebih serius berbanding orang biasa. Sekali lagi, agak-agak kita lah ya, mengapa demikian jadinya? Kerana mereka ini pejuang Islam! Mereka membawa agama Allah. Sudah pasti syaitan menganggap adalah menjadi satu kemenangan besar andai golongan daie sendiri terfitnah. Sudah pasti, untuk mencapai kemenangan sedemikian, syaitan akan berusaha sedaya upaya tanpa mengenal erti putus asa dan menggunakan taktik dan strategi yang begitu licik dan halus. Tak jemu-jemu syaitan merancang dan melakukan perbincangan demi perbincangan dan diskusi ilmiah untuk merancang strategi yang hebat dalam menjahanamkan kita, terlebih-lebih lagi bagi mereka yang terlibat dalam gerakan dakwah.

Apa perlindungan  yang kita ada?

Allah. Allah lah perlindungan kita. Cukuplah Allah bagi kita. Allah pasti akan melindungi kita dan menolong kita, andai kita bersungguh-sungguh melawan syaitan, andai kita bersungguh-sungguh cuba melindungi diri kita dari godaan dan gangguan syaitan. Yakin dgn Allah!

“dan jika syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah. Sungguh, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”
[Al-A’raf : 200]

Zina hati? Tapisan Allah?

Seperkara lagi, apa yang kita faham dengan zina hati? Zina hati itu bagi saya, kita membayangkan yang bukan -
bukan (sila faham sdiri) dengan si dia yang kita minati. Saya kira, sbg seorang perempuan, kita tidak akan sampai ke tahap ini (saya kira) dan andai betul ada yang sampai ke tahap itu (membayangkan adegan-adegan 18sx dgn si dia yang diminati, Allahuakbar, naudzubillah dan mereka adalah orang yang bergelar daie, anggaplah itu adalah salah satu tapisan Allah buat kamu.

Perlu diingat, tapisan Allah itu berlangsung setiap saat. Orang lain tak tahu kita sedang ditapis, kerana orang lain tak tahu masalah hati kita. Tapi kita sendiri sedar kita sedang ditapis Allah. Harus kita sedar, dalam perjuangan membawa Islam, bukan semua orang akan terpilih. Dan dalam segenap yang terpilih itu, Allah akan tetap menapis dan melakukan tapisan demi tapisan hingga akhirnya yang tinggal kelak adalah mereka  yang benar-benar  ikhlas, sabar dan istiqamah dalam perjuangan.

Haa, ni kan pula, jangan ada yang memandai ingin memandang rendah kepada mereka yang dirasakannya tergelincir dari jalan dakwah,  futur dari perjuangan. Sangka baiklah dan yakinlah, mungkin Allah sudah pun menetapkan, mereka itu telah dipilih Allah untuk menyumbang terhadap Islam dengan cara menyumbangkan buah fikiran yang bernas, idea-idea yang mantap. Dan mungkin juga ada yang memang Allah sudah tetapkan, dia hanya akan menyumbangkan wang dalam membantu perjuangan membawa Islam ini.

Tapi, adakah andai satu hari nanti kita tertapis (naudzubillahi min dzaalik), maka kita pun berkata pada diri sendiri,

“oh, Allah dah tapis aku. Sebab aku memang tak layak untuk terus berada dalam jalan dakwah. Takpe, Allah dah tapis aku, biarlah aku mengundur diri. Aku kan tak layak”

Adakah kita akan berfikiran sebegitu? Sangka buruk pada ALlah sebegitu? Jangan! Ketahuilah, tidak sekali Allah tapis kita dengan bermaksud untuk kita terus-menerus menjauh dari jalan dakwah. Tidak! Bukan begitu! Sesekali tidak begitu maksud Allah.

Allah menapis, agar kita lebih bersemangat waja untuk menggenggam semula tali Allah. Agar kita lebih hebat berlari dalam kembali ke jalan dakwah, jalan perjuangan. Bukan dengan tujuan untuk menghinakan kita, bukan dengan maksud untuk merendah-rendahkan diri kita. Allah sekali-kali tidak akan berbuat begitu, kerana Dia telalu mengasihi kita setiap saat. Moga kita semua akan istiqamah dalam jalan juang, aamiin.

Kesimpulan: Sangka baiklah pada Allah dalam menghadapi ujian hidup.

Kesimpulannya, ingatlah, Allah itu menurut persangkaan kita sebagai hambaNYA. Bagaimana yang kita sangkakan pada NYA, maka begitulah Dia Yang Maha Sempurna itu. Sangka baik lah sentiasa denganNYA, letakkan sepenuh keyakinan dan pergantungan kpd NYA. Nescaya tidak akan kau kecewa dan sedih.

“dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin”
[Adz-Dzariyat : 55]


Thursday, January 13, 2011

Dia Ingin Kita Lebih Cantik

Sepasang datuk dan nenek pergi ke sebuah kedai cenderamata untuk mencari hadiah buat cucu mereka. Kemudian, mata mereka tertuju kepada sebuah cangkir yang cantik.

“Lihat cangkir itu,” kata si nenek kepada suaminya.

“Hmm, inilah cangkir tercantik yang pernah aku lihat,” balas si datuk.

Ketika mereka mendekati cangkir itu, tiba-tiba cangkir yang dimaksudkan itu berkata. “Terima kasih untuk perhatian kalian. Perlu diketahui bahawa aku dahulunya tidak cantik. Sebelum menjadi cangkir yang dikagumi, aku hanyalah selonggok tanah liat yang tidak berguna. Namun satu hari, ada seseorang dengan tangan yang kotor melempar aku ke dalam roda berputar. Kemudian, dia mulai memutar-mutar hingga aku berasa pening. Berhenti! Berhenti! Aku berteriak. Tetapi orang itu berkata, belum! Lalu dia mulai menyodok dan menumbukku berulang-ulang kali. Berhenti! Berhenti! Teriakku lagi. Tapi orang itu terus saja menumbukku tanpa menghiraukan teriakanku. Bahkan lebih buruk lagi, dia memasukkan aku ke dalam ketuhar. Panas! Panas! Teriakku dengan kuat.

Berhenti! Cukup! Teriakku lagi. Tapi orang itu berkata, belum! Akhirnya, dia mengeluarkan aku dari ketuhar itu dan membiarkan sehingga aku sejuk. Aku berfikir telah selesailah penderitaanku. Tetapi ternyata belum. Setelah sejuk, aku diserahkan kepada seorang wanita muda dan dia mulai mewarnai aku. Bau warna yang digunakannya begitu memualkan. Berhenti! Berhenti! Aku berteriak.

Wanita itu berkata, belum! Lalu dia memberikan aku kepada seorang lelaki dan dia memasukkan aku ke dalam ketuhar yang lebih panas dari sebelumnya! Tolong! Hentikan penyeksaan ini! Sambil menangis aku berteriak sekuat-kuatnya. Tetapi lelaki itu tidak peduli dengan teriakanku. Dia terus membakarku. Setelah puas ‘menyeksaku’, aku dibiarkan sejuk.

Setelah benar-benar sejuk, seorang wanita cantik mengangkatku dan menempatkan aku di dalam sebuah almari kaca. Aku melihat diriku. Aku terkejut sekali. Aku hampir tidak percaya kerana di dalam cermin di hadapanku adalah sebuah cangkir yang begitu cantik. Semua kesakitan dan penderitaan yang aku lalui sirna tatkala aku melihat diriku.”


PENGAJARAN: Begitulah Allah membentuk kita. Pada saat Allah SWT membentuk kita, tidaklah menyenangkan, sakit, penuh penderitaan, dan banyak air mata. Tetapi, itulah satu-satunya cara bagiNya untuk mengubah kita supaya menjadi cantik dan memancarkan kemuliaanNya.

Anggaplah sebagai satu kebahagiaan apabila kita jatuh ke dalam pelbagai dugaan, kerana kita tahu bahawa ujian terhadap kita menghasilkan ketekunan. Dan biarkanlah ketekunan itu menghasilkan buah yang matang supaya kita menjadi lebih baik dan utuh.

Apabila sedang menghadapi ujian hidup, jangan berkecil hati kerana Dia sedang membentuk kita. Pembentukan ini memang menyakitkan tetapi setelah semua proses itu selesai, kita akan melihat betapa cantiknya Allah membentuk kita.

Lebih-lebih lagi Dia telah berjanji dalam kalan-Nya, “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” Pada siapa lagi harus diletakkan sepenuh kepercayaan jika bukan pada Pencipta kita Yang Maha Agung.

Wallahu a’lam.

Wednesday, January 12, 2011

Cinta tak harus memiliki

Yakinlah, hanya cinta Allah cinta yang sejati..


Kisah 1:

Lelaki ini adalah think tank di dalam Perang Khandaq. Di Madinah, seorang muslimah telah mengambil hatinya… Bukan sebagai kekasih..tetapi sebagai pilihan hati. Pilihan menurut perasaan yang halus dan suci..pilihan untuk dinikahinya.


Tetapi Madinah adalah tempat yang asing baginya. Madinah memiliki adat, bahasa, dan wajah-wajah yang belum begitu dikenalinya. Pemuda itu berfikir, melamar seorang gadis tempatan tentu menjadi urusan yang pelik bagi seorang pendatang.Mestilah perlu ada seorang yang akrab dengan tradisi di Madinah berbicara untuknya dalam khithbah…


Maka pemuda ini menyampaikan isi hatinya kepada sahabat Ansar yang dipersaudarakan kepadanya, Abu Dharda’.
“Subhanallah, walhamdulillah ..”, girang Abu Dharda’ mendengarnya.
Maka setelah dilakukan segala persiapan, beriringanlah kedua sahabat itu menuju ke sebuah rumah di penjuru kota Madinah. Rumah seorang wanita yang solehah lagi bertaqwa.


“Saya adalah Abu Dharda’ dan ini adalah saudara saya, Salman seorang Parsi. Allah telah memuliakannya dengan Islam dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah SAW, sehingga baginda menyebut beliau sebagai ahli baitnya. Saya datang untuk mewakilisaudara saya ini melamar puteri anda untuk disunting”, fasih Abu Dharda’ menutur bicaranya.


“Adalah satu penghormatan bagi kami menerima anda berdua, sahabat Rasulullah yang mulia. Dan adalah penghormatan bagi keluarga ini bermenantukan seorang sahabat Rasulullah yang utama. Akan tetapi hak menerima ini sepenuhnya saya serahkan pada puteri kami”. Tuan rumah memberi isyarat kea rah hijab yang di belakangnya sang puteri menanti dengan penuh debaran.


“Maafkan kami kerana terpaksa berterus terang”, kata suara lembut itu. Ternyata sang ibu yang berbicara mewakili puterinya. “Tetapi kerana anda berdua yang datang, maka dengan mengharap redha Allah saya menjawab bahawa puteri kami menolak pinangan Salman. Namun jika Abu Dharda’ juga memiliki urusan yang sama, maka puteri kami telah menerima pinangan itu.”


Jelas sekali. Sikap terus terang yang begitu mengejutkan, ironi dan indah! Sang puteri lebih tertarik kepada pengantar daripada pelamarnya!
Ya, memang mengejutkan dan ironi. Apa yang indahnya?? Yang indahnya adalah reaksi Salman. Bayagkan sebuah perasaan, di mana cinta dan persaudaraan bergejolak berebut tempat di dalam hati.


“Allahu Akbar!!” seru Salman. “Semua mahar dan nafkah yang telah ku sediakan akan aku serahkan kepada Abu Dharda’, dan aku akan menjadi saksi pernikahan kalian!”


Cinta memang tak harus memiliki…


Kisah 2:
Lelaki ini adalah sebaik-baik raja. Pemerintah selepas Khalifah Ali bin Abu Talib…
Hatinya bergetar dan ia tahu dia telah jatuh cinta.. Pada seorang muslimah solehah, iaitu rakyatnya sendiri .Tiada ada yang istimewa pada wanita itu dari segi kecantikannya. Namun itu lah yang membuatnya jatuh cinta.


Maka dengan kekuasaanya ia menikahi wanita itu.Tapi dia tidak tahu yang dia tak pernah mampu menikahi hati wanita itu.Wanita itu telah melatakan hatinya pada pemuda desanya….
Hingga di keheningan malam di 1/3 terakhir, terdengarlah olehnya bait-bait puisi dalam lantunan doa…. Tentang kerinduannya pada pemuda desa itu…Dia sedar. Ini adalah deklarasi jiwa isterinya. “Aku Tak Mencintaimu”


Maka dengan berat hati. Dia menceraikan isterinya.
Lelaki ini adalah Muawiyyah bin Abu Sufyan. Duta pertama dari Rasulullah SAW yang datang dan melaporkan keadaan Kepulauan Nusantara kepada Nabi SAW


Cinta memang tak harus memiliki…


Kisah 3:

Lelaki ini adalah ideologi Ikhwanul Muslimin. Orang nombor dua yang sangat berpengaruh setelah Hasan Al-Banna, pada harakah itu..

Ia adalah lelaki soleh. Dulu dia pernah jatuh cinta pada gadis desanya. Namun gadis desa itu menikah.. 3 tahun setelah lelaki ini pergi belajar ke luar negeri untuk belajar. Hal ini membuat ia sedih namun ia tidak mahu larut dalam kesedihannya.


Kisah cintanya mulai dari awal lagi. Ia kemudian jatuh hati pada wanita Cairo. Meskipun tidak terlalu cantik, ia tertarik pada gelombang unik yang keluar dari sorot mata wanita tersebut.
Tapi pengakuan bahawa gadis tersebut pernah menjalin cinta dengan lelaki lain, membuat runtuh cinta lelaki ini.


Ia hanya ingin wanita yang benar-benar perawan, baik fizikal mahupun hatinya. Akhirnya ia membatalkan niatnya menikahi gadis tersebut. Hal ini membuat lelaki itu sedih cukup lama….
Sampai kemudian ia putuskan untuk menerima kembali wanita tersebut. Namun apa yang terjadi? Ditolak. Inilah yang kemudian membuat lelaki itu menulis roman-roman kesedihannya.
Yang luar biasa adalah, lelaki ini sedar dirinya berada dalam alam realiti. Bukan dalam dunia ideal yang indah dan ideal.


Kalau cinta tidak mahu menerimanya, biarlah ia mencari sumber kekuatan lain yang lebih hebat dari cinta. “Allah”. Kekuatan itulah yang kemudian membawanya ke penjara selama 15 tahun. Menulis karya agungya Tafsir “Fi Zilaalil Qur’an”
Dan syahid di tiang gantungan. Sendiri!!! Tidak ada air mata, tidak ada kecupan, tidak ada sentuhan wanita. Benar-benar sendirian!! Lelaki ini adalah Sayyid Qutb. Lelaki yang Allah Maha Tahu… Bahawa dirinya lebih dihajatkan langit… Daripada wanita bumi….

Cinta memang tak harus memiliki…


Kisah 4:


Lelaki ini adalah Khalifah ke empat, setelah Usman bin Affan…Dia memandang seorang budak perempuan. Di pelataran rumah seorang sahabatnya…‘Aisyah binti Thalhah, nama gadis itu…
Maka teringatlah kembali kenangan tentang sahabatnya itu ….Thalhah.. Thalhah lah lelaki yang mengatakan pada perang Uhud..


“Khudz bidaamii hadzal yauum, hattaa tardhaa…”.“ Ya Allah, ambil darahku hari ini sekehendakMu hingga Engkau redha.” Tombak, pedang, dan panah yang menyerpih tubuh dibiarkannya, dipeluknya badan sang Nabi seolah tak rela seujung bulu pun terkena.
Tapi ia juga yang membuat Arasy Allah bergetar dengan perkataannya. Maka Allah menurunkan firmanNya kepada Sang Nabi dalam ayat 53 surat Al Ahzab.
Ini di sebabkan ketika Thalhah berbincang dengan ‘Aisyah, isteri sang Nabi, yang masih terhitung sepupunya.


Rasulullah datang, dan wajah beliau seperti tidak suka. Dengan isyarat, baginda SAW meminta ‘Aisyah masuk ke dalam bilik.Wajah Thalhah merah. Ia undur diri bersama gumam dalam hati, “Beliau melarangku berbincang dengan ‘Aisyah. Tunggu saja, jika beliau telah diwafatkan Allah, takkan kubiarkan orang lain mendahuluiku melamar ‘Aisyah.”


Maka bergetarlah langit..
“Dan apabila kalian meminta suatu hajat kepada isteri Nabi itu, maka mintalah pada mereka dari balik hijab. Demikian itu lebih suci bagi hati kalian dan hati mereka. Kalian tiada boleh menyakiti Rasulullah dan tidak boleh menikahi isteri-isterinya sesudah wafatnya selama-lamanya.”
(QS Al Azhab 53)


Ketika ayat itu dibacakan padanya, Thalhah menangis. Dia lalu memerdekakan hambanya, menyumbangkan 10 untanya untuk jalan Allah, dan menunaikan haji dengan berjalan kaki sebagai taubat dari ucapannya.


Kelak, tetap dengan penuh cinta dinamainya putri kecil yang disayanginya dengan nama ‘Aisyah.
‘Aisyah binti Thalhah. Wanita jelita yang kelak menjadi permata zamannya dengan kecantikan, kecerdasan, dan kecemerlangannya. Persis seperti ‘Aisyah binti Abu Bakar yang pernah dicintai Thalhah.


Cinta memang tak harus memiliki…
Pada Salman..
Pada Mu’awiyyah
Pada Sayyid Qutb
Pada Thalhah
Kita belajar bahawa cinta itu harus diletakkan di tangan, bukan di hati kerana sebelum akad diucapkan, tidak ada hak pada dirimu akan wanita yang engkau cintai itu…..!!
Engkau hanya punya doa dan ikhtiar. Selanjutnya biarlah Allah yang menentukan akhir kisah
 kita….Tiada air mata untuk mengenang kegagalan cinta mereka..Yang ada hanyalah air mata dalam doa-doa mereka. Semoga Allah memberikan gantinya yang lebih baik.. Lebih dari
segala-galanya..

Friday, January 7, 2011

Talian dibuka 24 jam

Pernahkah Anda bayangkan bila pada saat kita berdoa, kita mendengar ini:

Terima kasih, Anda telah menghubungi Baitullah".

Tekan 1 untuk 'meminta'.
Tekan 2 untuk 'mengucap syukur'.
Tekan 3 untuk 'mengeluh'.
Tekan 4 untuk 'permintaan lainnya'."

Atau....Bagaimana jika Malaikat memohon maaf seperti ini:

"Saat ini semua malaikat sedang membantu pelanggan lain.
Tetaplah sabar menunggu. Panggilan Anda akan dijawab berdasarkan urutannya."

Atau, pernahkah Anda bayangkan bila pada saat berdoa,
Anda mendapat respons seperti ini:

"Jika Anda ingin berbicara dengan Malaikat,
Tekan 1. Dengan Malaikat Mikail,
Tekan 2. Dengan malaikat lainnya,
Tekan 3. Jika Anda ingin mendengar sari tilawah saat Anda menunggu,
Tekan 4. "Untuk jawapan pertanyaan tentang hakikat syurga & neraka,silahkan tunggu sampai Anda tiba di sini!!

"Atau mungkin juga Anda mendengar ini :

Sistem kami menunjukkan bahawa Anda telah satu kali menelefon hari ini. Silakan cuba lagi esok." atau...Pejabat ini ditutup pada hujung minggu.
Sila hubungi semula pada hari Isnin selepas pukul 9 pagi.

"Alhamdulillah. .. Allah SWT mengasihi kita,
Anda dapat "menghubungi-Nya" setiap saat!!!

Anda hanya perlu untuk "menghubungiNya" bila-bila saja dan Dia mendengar anda.

Kerana bila memanggil Allah,tidak akan pernah mendapat talian sibuk. Allah menerima setiap panggilan dan mengetahui siapa pemanggilnya secara pribadi.

Ketika Anda memanggil-Nya, sila gunakan nombor utama ini:

24434

2 :solat Subuh
4 :solat Zuhur
4 : solat Asar
3 : solat Maghrib
4 : solat Isya'

Atau untuk lebih sempurna dan lebih banyak afdhalnya, gunakan nombor ini :

28443483

2 : solat Subuh
8 : solat Dhuha
4 : solat Zuhur
4 : solat Asar
3 : solat Maghrib
4 : solat Isya
8 : Solat Tahajjud atau lainnya
3 : Solat Witir

Maklumat terperinci terdapat di Buku Telefon berjudul "Al Qur'anul Karim & Hadis Rasul

"Talian terus , tanpa Operator tanpa Perantara, tanpa bil..Nombor 24434 dan 28443483 ini memiliki jumlah talian hunting yang tak terhingga dan dibuka 24 jam sehari 7 hari seminggu 365 hari setahun!!!Sebarkan maklumat ini kepada orang-orang di sekeliling kita. Mana tahu mungkin mereka sedang memerlukannya..

Sabda Rasulullah S.A..W : "Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisiAllah dan Malaikat serta diampuni dosa- dosanya walau sebanyak buih laut"7 Kalimah ALLAH:

1. Mengucap "Bismillah" pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.
2. Mengucap "Alhamdulillah" pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.
3. Mengucap "Astaghfirullah" jika lidah terselip perkataan yang tidak patut.
4. Mengucap "Insya-Allah" jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.
5. Mengucap "La haula wala kuwwata illa billah" jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.
6. Mengucap "inna lillahi wa inna ilaihi rajiun" jika menghadapi dan menerima musibah.
7. Mengucap "La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah" sepanjang siang dan malam sehingga tak terpisah dari lidahnya.

Dari tafsir Hanafi, mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat. ... mudah- mudahan selalu, walau sambil lalu... mudah-mudahan jadi bisa, kerana sudah biasa.


http://tishanurinsani.blogspot.com/search?updated-max=2010-12-17T16:10:00%2B08:00&max-results=10