Sunday, February 21, 2010

RENUNGAN: JANGAN MALU KE MAJLIS ILMU


Orang yang hendak mendapatkan ilmu itu mesti bersungguh-sungguh dan memberikan perhatian yang besar kepada ilmu. Hendaklah ia berusaha sekuat tenaga yang dimilikinya untuk mendapatkan ilmu. Jangan malu untuk belajar dan jangan malas. Ia hendaklah mempunyai hati cekal dan kuat. Sentiasa menggunakan kesempatan yang ada untuk menambah ilmu. Tidak perlu disuruh untuk belajar, tetapi ia memang sentiasa siap untuk belajar apabila ada kesempatan. Maka dengan kerajinan dan perhatian yang besar ini ia akan dapat mengumpulkan ilmu sebanyak-banyaknya.

Adapun orang yang malas, patah semangat, tidak ada usaha untuk mempelajari ilmu dan sentiasa menunggu dorongan dari orang lain, maka orang yang seperti ini jarang sekali dapat berjaya dalam mencari ilmu apatah lagi jika berniat selain mencari keredhaan dari Allah s.w.t

Saturday, February 20, 2010

PENYEBAB KERESAHAN DALAM HIDUP




Penyebab keresahan dalam hidup manusia menurut pandangan Islam sangat banyak tetapi yang menjadi punca utama ialah :-


1) Tidak adanya iman atau lemahnya iman seseorang.

2) Percampuran antara iman dan syirik.

3) Kurangnya kesedaran bahawa dalam usaha manusia ada ketentuan Allah yang Maha Berkuasa. Manusia hanya sebagai makhluk yang diciptakan dan berada dalam kekuasaanNya.

Firman Allah Ertinya : "Dan kepunyaan-Nyalah apa-apa yang di langit dan di bumi, semua makhluk tunduk kepadaNya" (Surah al-Rum : 26)

4) Umat Islam kurang menghayati dan mengamalkan kehidupan berumah tangga berlandaskan ajaran Islam.

5) Ibu bapa atau penjaga kurang memberi perhatian ilmu pengetahuan dan pendidikan keagamaan kepada anak di samping ilmu pengetahuan yang lain.


6) Kebebasan dalam pergaulan tanpa didasari dengan keimanan sehingga boleh mempengaruhi manusia melakukan perkara yang haram mengikut hukum syarak.

7) Manusia terlalu membanggakan ilmu pengetahuan hasil daripada pemikiran akal manusia tanpa disertai iman sedangkan pemikiran manusia amat terbatas.

8) Pengaruh makanan dan minuman haram ke atas umat Islam secara sedar atau tidak sedar.

Adanya penyakit rohani yang membahayakan dan merosakkan peribadi dan martabat manusia seperti hasad, dengki, khianat, dusta, takbur, riak dan sebagainya.

Kurangnya kesedaran rasa syukur sewaktu mendapat nikmat Allah S.W.T. dan terlalu mementingkan urusan duniawi.

Sentiasa diselubungi perasaan bersalah atau berdosa kerana telah melakukan perbuatan terkutuk yang bertentangan dengan hati nuraninya sehinga terjadi konflik batin. Konflik batin ini menyebabkan gangguan fikiran seperti tidak tenteram dan tertekan.

Semoga dengan apa yang akan disampaikan dapat menjadi peringatan, nasihat dan bimbingan terutama pada diri kita dan seluruh kaum muslimin dan muslimat dalam rangka meyempurnakan displin kehidupan agar sentiasa memperoleh taufik, hidayah dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Wednesday, February 17, 2010

Rahsia Khusyuk dalam Solat

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya.
Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlisseorang abid bernama Hatim Al-Assam dan
bertanya, 'Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?'

Hatim berkata, 'Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu zahir dan batin.'

Isam bertanya, 'Bagaimana wudhu zahir dan batin itu? '

Hatim berkata, 'Wudhu zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu dengan air'. Sementara wudhu batin ialah membasuh anggota dengantujuh perkara:-

1)Bertaubat
2)Menyesali dosa yang telah dilakukan
3)Tidak tergila-gilakan dunia
4)Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
5)Tinggalkan sifat berbangga
6)Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7)Meninggalkan sifat dengki.'

Seterusnya Hatim berkata, 'Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan aku sedang berhadapan dengan Allah,Syurga di sebelah kananku, Neraka di sebelah kiriku,Malaikat Maut berada dibelakangku, dan aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.'

'Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham makna nya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.'

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibanding-kan dengan Hatim.

Dipetik dari : www.iluvislam.com

Monday, February 15, 2010

KASIH DAN SAYANG SESAMA MANUSIA



Seorang wanita Muslimah yang telah menyedari tentang hukum-hakam agamanya dan telah melaksanakannya dalam kehidupan seharian, maka dengan sendirinya akan timbul dari lubuk hatinya kasih sayang dengan sesama manusia. Mata air rahmat sentiasa terpancar dari hatinya, kerana ia menyedari bahawasanya mengasihi hamba-hamba Allah yang berada di bumi menjadi sebab untuknya menerima rahmat dari langit.


Rasulullah s.a.w bersabda:

“Kasihanilah siapa yang di bumi supaya kamu akan dikasihi oleh siapa yang di langit”

HR. Tabrani

“Sesiapa yang tidak mengasihi manusia, Allah tidak mengasihinya”

HR Tabrani

“Kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mereka berkata: “ Kami semua pengasih.” Rasulullah kembali bersabda: “Sesungguhnya bukanlah mengasihi seseorang akan sahabatnya sahaja, akan tetapi membawa rahmat kepada manusia, mengasihi seluruhnya.”

HR. Thabrani

Wahai ukhti Muslimah! Inilah dia kasih sayang yang menyeluruh, rahmat yang meliputi semua manusia. Ini pulalah yang diletakkan oleh Islam dalam hati seorang muslim. Dengan demikian, masyarakat Islam akan menjadi masyarakat yang berkasih sayang antara satu dengan yang lain seperti kata peribahasa; “cubit di kanan kiri terasa”.


HAK SESAMA ISLAM




Rasulullah saw bersabda:

“Hak orang Islam terhadap orang Islam lainnya ada lima:

  1. Menjawab salam
  2. Melihat orang sakit
  3. Mengiringi jenazah
  4. Menghadiri undangan
  5. Mendoakan orang yang bersin”

HR Bukhari dan Muslim

SOLAT JUMAAT BANDUAN

Soalan: Apakah hukum solat Jumaat dan solat berjemaah banduan-banduan yang berada di dalam penjara? Ini kerana, mereka mengikut seorang imam melalui pembesar suara dari sel penjara mereka?

Jawapan:

Ahli Majlis Ulama tidak bersetuju dengan cara ini kerana hukum solat Jumaat tidak wajib bagi mereka yang mempunyai sebab-sebab tertentu.

Tetapi, mereka boleh hadir menunaikan solat Jumaat jika terdapat masjid di dalam kawasan penjara itu. Jika tidak ada, gugurlah kewajipan itu dan mereka perlu menunaikan solat zuhur.

Selain itu, mereka juga boleh menunaikan solat fardhu lain secara berjemaah di dalam sel penjara.

Rujukan:

Tajuk buku: FATWA KEMUSYKILAN SOLAT

PENULIS: MUHAMMAD BIN SOLEH AL-MUNAJJID

MUHAMMAD B. SOLEH AL-‘UTHAIMIN

ABDUL AZIZ BIN BAZ

SELENGGARAAN: AZIZAH MAT ISA (IJAZAH PENGAJIAN ILMU WAHYU, FIQH DAN USUL FIQH, UIAM)

TERBITAN: KARYA BESTARI

IMAM DAN KHATIB YANG BERBEZA

Soalan: Bolehkah tugas khatib dan imam solat Jumaat dilakukan oleh orang yang berbeza. Adakah perbuatan ini sah daripada segi syarak?

Jawapan:

Ibn Qudamah r.h berkata:

“Mengikut sunnah, solat dan khutbah mesti dilakukan oleh orang yang sama. Rasulullah s.a.w menyampaikan khutbah dan mengimami solat Jumaat. Begitu juga yang dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin setelah kewafatan baginda s.a.w.

Mengikut pendapat Imam Ahmad r.h, perkara itu dibolehkan jika terdapat keuzuran. Tetapi baginda tidak menggalakkan penggantian ini jika tidak ada sebarang keuzuran sama ada khatib atau imam.”

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Kerjakanlah solat, sebagaimana kalian melihat aku mengerjakannya.” – Bukhari dan Ahmad.

Tujuan pelaksanaan khutbah adalah untuk menggantikan kedudukan solat dua rakat pada hari-hari biasa iaitu solat zuhur. Ini kerana, khutbah merupakan perbuatan yang terpisah dengan solat dan berbeza.


Rujukan:

Tajuk buku: FATWA KEMUSYKILAN SOLAT
PENULIS: MUHAMMAD BIN SOLEH AL-MUNAJJID

MUHAMMAD B. SOLEH AL-‘UTHAIMIN

ABDUL AZIZ BIN BAZ

SELENGGARAAN: AZIZAH MAT ISA (IJAZAH PENGAJIAN ILMU WAHYU, FIQH DAN USUL FIQH, UIAM)

TERBITAN: KARYA BESTARI