Friday, October 19, 2012

Pecutan akhir sebelum peperiksaan


Saat ini, sedang hangat dengan musim peperiksaan. Sama ada di sekolah atau pun di institusi pengajian tinggi sama ada awam ataupun swasta.
Antara terma yang biasa kita dengar di musim-musim sebegini  ialah “study last minute”. Mudah kata, studi saat-saat akhir. Apa persepsi kita tentang hal ini? Ia sangat sinonim dengan para pelajar tidak kira lelaki atau perempuan, mana-mana bangsa atau agama  pun dan di mana sahaja mereka berada.
Justeru, bagi saya – kita boleh manfaatkan masa yang berbaki sebelum memasuki dewan peperiksaan walaupun kita sedang berada di saat-saat “last minute” ini.

Peluang, ruang dan  kesempatan yang ada : Manfaatkan!
Last minute, di penghujung masa atau tidak punyai harapan bukanlah suatu yang berbau negatif atau pasif. Walau bagaimana pun persiapan dan persediaan kita – setiap saat yang ada adalah sangat-sangat berharga! Kerana itu, strategi yang baik perlu digerakan agar study last minute boleh kita manfaatkan walaupun kita ini kaki study dan ulat buku.
Apakah strategi tersebut? Saya kongsikan beberapa langkah yang dicedok daripada ahli-ahli studi yang pakar serta terbukti kejayaan mereka. Antaranya :

(1) Enjoy the moment!
“ Jadikan peperiksaan sebahagian daripada hidup anda!”
Rasailah, hayatilah dan bergembiralah dengan musim peperiksaan anda! Secara logiknya, sememang sukar bagi kita untuk merasai seronok dengan peperiksaan. Tetapi, asas inilah yang harus kita letakan di minda dan jiwa.
“ Perlu rasa ghairah, gembira dan seronok untuk melaluinya!.”
Jika mindsetting sebegini menjadi  asas kita dalam belajar, insyaAllah – kita akan bertindak dengan bijak dan bersistematik. Tiada lagi tension, gerun, takut dan sebagainya dalam menempuhi peperiksaan!

(2) Fokus, fokus dan fokus
Apa itu fokus?
Saya bersembang dengan seorang sahabat saya, katanya – fokus ibaratnya sebegini :
“ Kamu pegang sekeping talam yang dipenuhi air di dalamnya, perlu membawanya dari satu tempat ke satu tempat tanpa membiarkan walaupun setitis air tumpah ke bawah.”
Kita akan penuh berhati-hati menatang talam tersebut sambil langkahan kaki yang cermat, halus dan tulus. Diri amat-amat tenang dan aman. Serta tiada terburu-buru lagi kalut!
Maknanya – kita harus teliti, memberi 100 % perhatian dan tentunya ada strategi yang praktikal. Boleh kan?

(3)Study Group yang berkesan
Seterusnya, belajar dan buat ulangkaji secara berkumpulan. Mudah sahaja saya ingin sebut tentangnya. Kunci utama kepada study group ialah keberkatan!
Kenapa?
Di sini, wujudnya semangat bantu-membantu, tolong-menolong dan bekerjasama. Bayangkan – suasana gembira, harmoni dan tolak ansur yang sangat baik akan mewarnai perjalanan study group kita jika semuanya bersepakat dan satu hati. Justeru, amat malang bagi mereka yang belajar tetapi tidak pernah ada study group.
Malang dan sangat malang!

(4) Latih tubi yang berterusan
Saat-saat akhir juga, amat penting untuk membiasakan kita dengan format-format kertas peperiksaan dan teknik menjawab. Latih tubi soalan-soalan yang lepas adalah kaedah ulangkaji yang terbaik, praktikal dan menepati suasana musim peperiksaan.
Akar dan dasarnya : – Kita buat, buat dan terus buat latih tubi sehingga kita selesa, yakin dan mampu meramal bentuk-bentuk soalan yang mendatang. Itulah kesan dan hasilannya, Insya-Allah.

(5) Minta keampunan daripada Allah SWT
Musim-musim peperiksaan ini, disamping sibuk dengan studi, ulangkaji dan sebagainya – usahlah kita lupa kepada Sang Maha Kuasa yang menentukan segalanya.
Banyakan memohon keampunan kepada Allah SWT di atas segala kelalaian, kesalahan dan kesilapan kita. Walaupun, kita rasa kita tidak berbuat salah! Sememangnya, kita ini hamba Allah SWT yang banyak dosa dan bintik-bintik hitam di hati.
Solat taubat sebanyaknya dan lazimi istighfar setiap masa dan ketika. InsyaAllah.

(6) Doa, Solat Hajat dan Tawakkal kepada Allah SWT.
Akhirnya, tidak dapat tidak – Kita harus kembali kepada Allah SWT. Sebagai hamba Allah SWT yang lemah, kecil dan kerdil kita perlu mendekati-Nya setiap masa dan ketika.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai umat manusia, kamulah Yang sentiasa memerlukan  kepada Allah (dalam Segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”
( Al-Fatir 35 : 15)
Solat hajat kita perkasakan, doa dilabuhkan sentiasa dan hubungan sifat tawakkal kita kepada Allah SWT dengan usaha yang semaksima.

Penutup : Alangkah Untungnya Kita
Berbahagia dan beruntunglah kita jika kita telah berusaha semaksima dan bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik. Yakinlah Allah SWT, akan memandang setiap titik peluh kita serta segala usaha untuk memetik kejayaan di penghujungnya.
Jika kita memperolehi kemenangan dan kejayaan yang cemerlang, – Alhamdulillah – bersyukurlah. Jika sebaliknya, – bersabar dan redhalah – kerana tiadalah istilah kegagalan, kecuali Allah SWT tangguhkan kejayaan sementara  waktu agar kita terus berusaha dan berusaha.
Ketahuilah, melalui usaha ini – terdapat banyak pahala dan ganjaran daripada Allah SWT. Itulah Rabb yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Usaha maksima + Strategi berkesan + Doa Tawakkal berterusan = Kejayaan Digenggam^^

Dipetik dari : http://langitilahi.com/10521 

Tuesday, October 9, 2012

Beri aku nasihat


"Akh, bagi ana nasihat."

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ


"Akh, bagi ana nasihat."

Satu mesej simple dari seorang ikhwah yang biasa kita dapat. Membacanya hanya memerlukan waktu dan tenaga yang sangat sedikit. Tetapi, cuba kita lihat pada insan yang mahu membalas mesej tersebut.

"Hmm, nak reply apa ya?"

Mulalah nanti dia scroll semula himpunan mesej-mesej yang pernah dia bagi pada mad'u atau ikhwah lain sama ada sent item, draft atau inbox-nya. Ada yang mula membuka internet untuk cari kata-kata pujangga yang menarik untuk diberikan pada ikhwah yang meminta nasihat tadi. Mulalah membelek-belek buku halaqoh kut-kut ada ayat best atau buka al-Quran terjemahan nak cari ayat yang sesuai dan mengena. Ada juga yang memikir terlalu panjang hinggakan dia tidak reply mesej ikhwah tadi lalu meninggalkan insan yang memerlukan sesuatu untuk mengisi jiwanya terus berada dalam kekosongan.

Sebelum kita membahas dengan lebih jauh, cuba kita tanya dahulu pada diri kita, kenapa seseorang itu meminta dinasihati?

Kenapa? Kalau diri kitalah, kenapa kita minta diri kita dinasihati?

Pertama? Mungkin kerana kita bosan. So, kita pun taiplah ayat tadi tu untuk mengisi waktu lapang, tengok apa yang akan di-reply. Kut-kut ada yang menarik, boleh buat cerpen ke, letak kat status ke, dan lain-lain.

Kedua? Mungkin kerana kita nak menambah ilmu. Manalah tahu nanti ikhwah tu akan reply dengan ayat al-Quran ke, kata-kata Imam Hasan al-Banna ke, boleh jadi modal untuk pengisian dan taujih.

Ketiga? Letaklah sebab anda sendiri. Sebab di sini tiada jawapan yang salah atau betul.


Cuma, satu sebab yang saya rasa paling popular adalah,

Kerana iman kita sedang merundum.

Duk sibuk tengok harga barang naik, yuran naik, minyak konsisten mahal, tol pun sama, tiba-tiba iman kita pula sibuk menurun. Melampau-lampau pula tu kadang-kadang menurunnya. Tambah, keluar result yang juga menurun! Wah~ Sungguh sempurna kombinasinya.

Jadi, apa perlu kita buat?

"Jagalah Allah dengan menjaga keimanan dan ketakwaan kita. Nescaya Allah akan menjaga kita dan keluarga kita."

Jagalah Allah. Maka Allah akan menjaga kita. Jangan sesekali kita merasakan kita tidak layak untuk ditarbiyah lagi apabila iman kita menurun. Kerana, apa bila kita sudah menyatakan ketidaksertaan kita bersama dakwah dan tarbiyah, maknanya kita sudah menghentikan proses menjaga Allah itu sendiri. Kalau kita lihat dalam surah Muhammad, 47 ayat ke-7,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”  
[QS Muhammad, 47:7]

Di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW,

اْحْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ 
"Jagalah Allah, niscaya dia akan menjagamu, Jagalah Allah niscaya Dia akan selalu berada di hadapanmu." 
[HR Tirmizi: Hasan shahih]
  
تَنْصُرُوا. Satu perkataan yang meminta kita menolong dan terus menolong. Menolong apa? تَنْصُرُوا اللَّهَ Menolong Allah. Bagaimana? Tidak boleh tidak, itulah dengan dakwah. Itulah dengan tarbiyah. Jadi, apabila kita merasakan bahawa kita sudah tidak layak bersama dakwah, tidak ikhlas, tidak suci dan lain-lain, kemudiannya kita membuat keputusan untuk meninggalkan usaha-usaha untuk menolong dan menjaga Allah (اْحْفَظِ اللهَ), melupakan masalah ibadah, bahkan kita mula bermaksiat, maka kita telahpun membuat keputusan untuk tidak lagi menerima pertolongan dan penjagaan dari Allah. Jadi, apakah selepas kita keluar dari jalan dakwah dan tarbiyah kita akan menjadi semakin kuat, suci dan ikhlas, ketika Allah tidak lagi bersama kita?

Ada ikhwah mahupun akhwat kita yang memberikan alasan tidak silaturrahim kerana masalah iman. Tidak berukhuwwah kerana masalah emosi. Tidak menulis atau lambat siapkan tugasan kerana alasan tiada motivasi. Pada saya, tidak sepatutnya kita jadi macam itu. Kerana sedar atau tidak, itu semua merupakan suatu maksiat pada diri seorang da'ie. Seorang da'ie tidak berdakwah, itukan maksiat.

Pesan murobbi saya,

"Ketika mana iman kita menurun, kita kena pastikan minima kuantiti mutabaah kita tetap sama seperti ketika kita punya iman sedang tinggi. Yang turun mungkin kualiti, tetapi kuantiti jangan sekali."

Kerana, ketika kita merasa lemah, tiada motivasi, dan lain-lain, maka di saat itulah sepatutnya kita semakin menjaga hubungan dan kedekatan kita dengan Allah. Bukannya semasa iman tengah stabil mutabaah semua full. Saat down je, habis semua binary code. Lebih teruk daripada orang yang tidak ikut halaqoh. Jangan! Belajarlah untuk memastikan kuantitinya tetap sama, atau sepatutnya semakin tinggi! Itulah orang yang ditarbiyah. Seperti Nabi Ayub, diuji oleh Allah hinggakan yang mampu bergerak cuma mata. Keluarga, anak, harta, kesihatan semua ditarik oleh Allah! Tapi apa doa dia pada Allah?

"Ya Allah, kau ambillah semua yang Engkau mahu daripada aku, tetapi janganlah Engkau ambil hatiku agar aku dapat sentiasa mengingat Engkau."

Kita macam mana? Agak-agak, berdoa pun kita lupa sedangkan doa itu juga ibadah.

  



Kesimpulan 

Jadi, ayuh. Jangan kita rasa lemah. Jangan kita rasa sedih hati. Kalau kita adalah orang-orang yang menjaga keimanannya, ketakwaannya serta menjaga Allah bahkan menolong Allah itu sendiri, maka kita adalah orang yang terhebat! Maka keluarlah sebagai insan yang hebat.

Hanya syaitan sahaja yang suka melihat kita melemah. Ketika kita meninggalkan kerja dakwah, yang bergembira hanyalah syaitan dan rakan-rakannya. Takkanlah Allah, malaikat, dan Rasul-Nya gembira dengan benda tu, tak logik. Jadi, jangan kalah dengan syaitan. Ikhlaskan niat kita, kerana syaitan akan kalah dengan orang-orang yang ikhlas. Ikhlas dalam berislam. Ikhlas dalam beriman. Ikhlas dalam bertakwa. Dan ikhlas dalam menjaga dan menolong Allah.

“Dan (Iblis) berkata, “Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih (الْمُخْلَصِينَ) di antara mereka.”  
[QS al-Hijr, 15:39-40]