Seorang nyonya tua melintas jalan
memikul bakul yang penuh dengan ubi kayu. Badannya bongkok terserlah beban
beratnya ubi kayu yang dipikul. Berseorangan tanpa berteman. Mengusap peluh
yang mengalir laju dari dahi yang berkedut.
“Kesian aku tengok nyonya tu. Dah tua
pun masih buat kerja berat lagi. Mana pergi anak dia. Tak patut betul anak dia
biar ibunya buat kerja teruk macam ni,” ujar Ehsan kepada Taufiq.
“Itu pandangan mata kau. Tapi pada
mata aku. Ada suatu yang kita perlu belajar daripada hidup nyonya tu. Walaupun
dia dah tua, tetapi sikap dia yang tidak meminta-minta kepada orang lain.
Mungkin itu yang diajar oleh
masyarakat Cina.
Bekerja hingga ke hujung usia.
Lagipun dalam agama kita sendiri,
kerja dan urusan dunia tidak terpisah dari perihal akhirat. Bukankah jika kita
bekerja sehingga akhir usia dalam keadaan mencari rezeki yang halal dan
hasilnya disalurkan kepada yang perlu itu satu ibadah.
Cuma orang kita yang selalu sangat
membahagikan usia mereka kepada tempoh kerja dan tempoh ibadah. Lalu akhirnya
wujud pemikiran ‘beribadah selepas pencen’,” hurai Taufiq dari sudut pandang
agama yang amat positif.
“Tak terfikir pulak aku. Yang aku
nampak hanya negatif saja. Yang buruk saja mata aku menangkap,” Ehsan tunduk
malu dengan gaya pandang negatif ia melihat sesuatu peristiwa.
“Tidak mengapa…cara manusia melihat
itu berbeza. Aku melihat dari sudut yang lain. Kau lihat dari sudut yang lain.
Persitiwa sama, kesimpulan berbeza. Namun kita kena bijak melihat dengan cara
yang positif.
“Sebenarnya ada satu kisah motivasi
yang terkenal di Amerika Syarikat. Ianya kisah duka seorang isteri juga
merupakan ibu kepada dua orang anak kembar. Dia berkahwin dengan lelaki
pilihannya. Malang sekali, setelah berkahwin dia baru mengetahui bahawa
suaminya merupakan seorang penagih dadah tegar.
Setiap hari dia akan menanti
kepulangan suaminya. Sudah pasti hidangan pukulan, tendangan dan tampar dari si
suami menjadi rutin harian. Suaminya akan pulang dalam keadaan menggigil dan
membelasah si isteri yang enggan memberikan wang kepadanya. Ketagihannya yang
melampau membuatkan isteri terpaksa bekerja keras mencari wang untuk menyara
kedua anak kembar mereka.
Yang lebih menyedihkan, setiap kali
si isteri dibelasah suaminya, perbuatan itu diperhatikan oleh kedua-dua anak
mereka. Fenomena ini memberi kesan yang mendalam kepada kedua-dua anak
tersebut.
Masa berlalu pantas, rumah tangga ini
punah sama sekali. Si suami kemudian meninggal dunia dengan mulut berbuih di
bawah jambatan. Si isteri pula tidak lama kemudian meninggal dunia akibat kesan
tekanan yang sangat dahsyat. Tinggallah kedua-dua anak kembar ini meneruskan
kehidupan sendirian.
Bertahun-tahun kemudian orang menemui
seorang daripada kembar tersebut sedang hancur ketagihan dadah terbongkang di
bawah jambatan. Di mana saudara kembarnya? Mereka menemuinya di wisma miliknya
sendiri di bawah nama syarikat guaman paling terkemuka. Dia menjadi seorang
peguam hebat. Ketika ditanyakan kepada mereka berdua tentang nasib hidup yang
berbeza, jawapan kedua-duanya adalah sama.
“Saya tengok apa yang ayah lakukan.”
Seorang melihat kemusnahan itu dan
menirunya.
Seorang lagi melihat benda yang sama
dan bertekad untuk segera membesar bagi membebaskan ibu daripada seluruh
kesakitan itu!!
Seorang lagi melihat kehidupan lampau
mereka dan motivasinya musnah. Sementara yang seorang lagi melihat kehidupan
lampau sebagai pendorong motivasi.
Dua anak membesar daripada susuan ibu
yang sama, tinggal di rumah yang sama, bermain di lorong yang sama, makan
hidangan yang sama serta menyaksikan semua benda yang sama, tetapi membesar
sebagai manusia yang berbeza. Si penagih melihat perangai si ayah untuk
dijadikan ikutan. Si peguam melihat perjuangan ibunya membuatkan ia gigih
menegakkan keadilan.
Bukan apa yang dilihat, tetapi
bagaimana seseorang melihatnya. Itu lebih penting!” Cerita taufiq dengan
panjang lebar menyedarkan Ehsan dari lamunan.
Akhirnya mereka membuat kesimpulan,
pandanglah peristiwa seperti mata lebah. Segala bau busuk, najis dan kotoran
ditolak ketepi. Namun lebah terus mencari bunga lalu mencipta madu. Bukannya
seperti pandangan mata sang lalat. Haruman dan bunga ditinggalkan. Mencari
najis dan kotoran membiakkan penyakit dan melumpuhkan alam.