Thursday, August 20, 2009

Kunci Kejayaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Kadang-kala, di dalam perjalanan hidup yang berliku mengejar cita-cita, ada sahaja halangan dan dugaan yang mendatang. Diri mula terasa lemah, jiwa mula terasa gelisah, hati tidak tenang, fikiran menjadi tidak tentu arah. Namun, itu semua harus dilalui, kerana matlamat akhir, iaitu kejayaan yang ingin dimiliki.

Diri ditarbiah, dimotivasikan untuk mendapatkan kembali semangat baru untuk bergerak maju ke hadapan tanpa menoleh ke belakang. Kegagalan silam dijadikan kunci kejayaan yang mendatang. Tetapi, mampukah semangat ini terus dinyalakan di dalam diri? Agar tidak padam seperti dahulu tatkala diri ditimpa dugaan sekali lagi.

Ingatlah, jangan sesekali berputus asa. Jangan sesekali mensabotaj diri sendiri dengan mengatakan bahawa diri tidak mampu mengharungi dugaan-dugaan itu. Ingatlah, Allah S.W.T. tidak menurunkan sesuatu dugaan itu kepada hamba-hambanya jika hamba-hambanya tidak mampu menghadapinya. Antara salah satu kaedah atau tindakan yang boleh diambil untuk terus menyemarakkan api perjuangan di dalam diri adalah, dengan menjadi seorang insan yang istiqamah. “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan Tuhan kami adalah Allah, kemudian,mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tiada (pula) berduka cita.” ( Surah Al-Ahqaaf: 13)

Latih diri dalam menjadi seorang yang insan yang istiqamah dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan. Kenali diri, sayangi diri, dan letakkan matlamat jangka panjang. Antara cara-cara yang boleh dipraktikkan untuk menjadikan diri seorang insan yang istiqamah dan secara tidak langsung, lebih berjaya dan disayangi yang Maha Esa adalah:

1) Menjaga hubungan dengan Allah S.W.T
Jagalah ibadat-ibadat wajib dan seelok-eloknya, perbanyakkanlah ibadat-ibadat sunat.

2) Masukkan matlamat di dalam doa
Mohonlah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar.

3) Mulakanlah pekerjaan dengan berdoa
Bagi yang masih belajar, mulakan belajar dengan berdoa dan seelok-eloknya,
duduk menghadap ke arah kiblat.

4) Berterusan dalam mencari ilmu
Hal ini kerana, ianya dapat memberi semangat kepada diri untuk terus berusaha.

5) Amalkanlah perkara-perkara yang dapat menarik hidayah Allah S.W.T
Contohnya, solat berjemaah, membaca Al-Quran dan saling memaafkan serta
kasih-mengasihi sesama manusia.

6) Kenali diri
Ubah sikap-sikap yang negatif kepada positif.

7) Menolong insan lain untuk berjaya
InsyaAllah, Allah akan pula menolong kita untuk berjaya. Allah akan menolong hamba-
hambanya selagi mana hamba-hambanya menolong antara satu sama lain.

8) Iklankan matlamat
Tampal atau tulis matlamat tersebut dipapan kenyataan tempat belajar kita, agar dapat
dibaca selalu, seterusnya dapat mengingatkan diri dan memberi semangat untuk kita
terus berusaha untuk mencapai matlamat tersebut.

Allah sayang akan hamba-hambanya yang istiqamah di dalam pekerjaan. Janganlah berputus asa dengan rahmat Allah. “ Katakanlah, hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah..” (Surah Al-Zumar:53)

Berusaha sebaik mungkin dan kemudian bertawakallah kepada-Nya. Istiqamah dalam pekerjaan dan berjuanglah selagi masih ada peluang yang diberikan. Kuatkan semangat. Apa yang penting adalah usaha dan tawakal, insyaAllah kejayaan yang dicari-cari selama ini mampu dimiliki.


(Dipetik dari www.iluvislam.com )

Sunday, August 16, 2009

Ramadhan datang lagi..

Ramadhan Datang Lagi



RAMADAN bakal menjelang lagi. Peluang keemasan ini sewajarnya dimanfaatkan oleh semua umat Islam dengan sebaik-baik mungkin. Malah kita perlu merasakan Ramadan kali ini adalah yang terakhir dalam hidup untuk membangkitkan motivasi agar dapat beramal dengan lebih baik.

Justeru, kita perlu memperbaiki azam untuk menjadikan Ramadan ini lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelumnya. Antaranya, kita perlu memperbetul dan memperelokkan niat.

Kita perlu ikhlas bahawa ibadah ini demi Allah SWT semata-mata. Niat yang betul kerana Allah berupaya mendorong kita untuk lebih berusaha memperoleh pelbagai ganjaran.

Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amalan dinilai berdasarkan niat dan bagi setiap orang apa yang dia diniatkannya. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Ini bermakna, kita perlu menumpukan kepada usaha mendapat ganjaran yang dijanjikan Allah dan bukannya berlumba-lumba membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya.

Perkara kedua ialah kita perlu bersedia daripada segi fizikal, mental dan material bagi meraih bonus yang tidak terhingga di bulan Ramadan. Umat Islam disaran menjaga kesihatan tubuh badan agar dapat berpuasa di siang hari.

Mereka juga perlu bersedia daripada segi mental untuk melawan nafsu tidur, makan dan keinginan lain yang boleh mengurangkan pahala ketika berpuasa.

Begitu juga seseorang perlu bersedia daripada aspek kewangan untuk memperbanyakkan amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Nabi Muhammad bersabda:Barang siapa yang memberi iftar (jamuan untuk berbuka puasa) nescaya akan diampunkan dosanya dan dibebaskan daripada api neraka.

Ketiga, kita perlu berazam untuk tingkatkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi ibadat puasa. Ini bermakna, kita perlu berazam untuk meningkatkan kualiti puasa. Ia boleh dilakukan dengan tidak membataskan puasa hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Sebaliknya ditingkatkan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat. Di samping itu perkara-perkara wajib yang lain seperti sembahyang fardu dan menutup aurat juga turut dilaksanakan.

Keempat, kita perlu berazam untuk diberi peluang beribadat di malam Lailatulqadar. Ia adalah malam kemuliaan yang datang sekali setahun. Malam yang pahala beribadah padanya menyamai 1,000 bulan atau kira-kira 83 tahun 4 bulan. Justeru setiap individu Muslim perlu mempersiap diri untuk menjejaki malam itu.

Dan yang kelima, kita perlu sentiasa berharap dan berdoa agar ibadah puasa diterima oleh Allah. Setiap umat Islam perlu menaruh harapan tinggi agar puasanya diterima.

Oleh itu, kita digalakkan memperbanyak amalan sunat seperti bersedekah, tadarus al-Quran, iktikaf di masjid dan sebagainya bagi menampung kecacatan dan kekurangan ketika berpuasa.

Akhirnya diperingatkan juga agar sesiapa yang masih berhutang puasa agar segera mengqada puasa berkenaan. Kegagalan melunaskannya kemungkinan menyebabkan seseorang dinafikan daripada berbagai-bagai keistimewaan yang disediakan oleh Allah SWT di bulan Ramadan.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru